Halaman

18 September 2012

Kempen gerakan membaja tambah hasil pekebun

Oleh; Esah Abdullah

Pelaksanaan kempen 'Gerakan Membaja' yang diperkenalkan RISDA berjaya meningkatkan pulangan kepada pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah, apabila pengeluaran hasil mencapai kadar maksimum.

Keadaan berubah sejak pelaksanaan kempen itu apabila pekebun kecil yang sebelum ini kurang kesedaran mengenai kepentingan membaja tanaman mula mengikuti amalan pertanian baik dengan membaja tanaman, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil.

Pengarah RISDA negeri, Haji Zakaria Mat Zin berkata, sejak kempen berkenaan dilaksanakan November tahun lalu, RISDA merekodkan pertambahan hasil anggaran 25 peratus bagi sehektar tanaman getah.

"Untuk tempoh tujuh bulan tahun ini (Januari hingga Julai), kita merekodkan pengeluaran hasil sebanyak 1,100 kilogram (kg) getah bagi setiap hektar, berbanding 900 kg per hektar bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya di majlis Hari Raya RISDA.

Beliau yakin menjelang akhir tahun ini, mampu merekodkan pengeluaran hasil mengikut sasaran ditetapkan iaitu 1,600 kg per hektar dan gembira kerana kalangan pekebun kecil semakin faham mengenai kepentingan membaja tanaman mereka.

"Ini kerana dengan pembajaan yang baik, tanaman dapat mengeluarkan hasil berganda, sekali gus memberi pulangan memberansangkan kepada pekebun kecil sendiri yang memperoleh lebih keuntungan," katanya

Beliau berkata, menerusi kempen itu, pegawai RISDA akan turun padang menemui pekebun kecil getah dan memberi penerangan serta kursus pendek bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan membaja tanaman.

"Kalau ikutkan, asas penanaman dan perkebunan sudah tentulah kita perlu membaja tanaman yang ditanam. Namun, disebabkan kurang kesedaran, ramai pekebun kecil tidak kisah untuk membaja tanaman mereka,” katanya.

Tambahnya , sikap ini menyebabkan kerugian kepada mereka kerana memperoleh hasil yang sedikit, berbanding jika tanaman dibajai dengan baja yang baik boleh mengeluarkan hasil berkali ganda banyaknya.

"Justeru, selepas melihat hasil pelaksanaan kempen ini, kita akan terus menggalakkan pekebun kecil membaja tanaman mereka dan akan turun padang lebih kerap bagi memastikan lebih ramai pekebun kecil mempunyai kesedaran membaja tanaman," katanya.