Halaman

17 September 2012

PKMM sokong MB


Oleh; Esah Abdullah

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menyokong penuh pandangan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang hanya memberi peluang kepada kontraktor yang berkualiti dan berintegriti untuk menyiapkan projek kerajaan.

Naib Presiden PKMM Dato’ Mohd Rosdi Abdul Aziz (gambar) berkata, dalam dunia hari ini jika ingin merebuat peluang dari kerajaan atau swasta perlu persiapkan diri untuk menjadi kontraktor berwibawa dan berkualiti.

“Sebagai seorang kontraktor perlulah mematuhi syarat yang diberikan dalam tender kerja serta ketepatan masa sesuatu projek agar tidak mendatangkan kerugian kedua belah pihak,” katanya kepada pemberita di Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-36 PKMM Terengganu di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Pengerusi PKMM Terengganu, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Dalam ucapan perasmian, Menteri Besar bertegas untuk menyenaraihitam mana-mana kontraktor yang gagal menyiapkan projek atau projek siap tetapi tidak memenuhi syarat tender yang diberi.

Katanya, sekiranya kontraktor tidak menepati kualiti yang disyaratkan oleh pihak kerajaan sudah pasti kesan negatif akan kembali kepada kerajaan yang akan dipersalahkan oleh rakyat.

“Saya menyeru kepada semua kontraktor alaf baru ini agar menyahur cabaran ini agar memperlengkapkan diri sebagai kontraktor yang berkualiti untuk bersaing dengan bangsa lain yang lebih jauh terkedepan,” katanya.

Menurutnya semua kontraktor perlu pro aktif untuk mencari peluang hingga ke negara luar dan jika tidak segala peluang yang datang menjadi halangan besar untuk berjaya manakala peluang dalam negara direbut oleh kontraktor bangsa lain.





Pertandingan bot berhias tawar hadiah RM50,000

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Pertandingan Citra Bot Berhias sempena sambutan ulangtahun yang ke-50 hari Keputeraan Sultan Terengganu bakal menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000.

Pertandingan yang akan diadakan pada 6 Oktober itu bertempat di Marina Haritage & Spa Pulau Duyong, Kuala Terengganu di mana johan ditawarkan hadiah wang tunai RM20,000, naib johan (RM15,000) dan ketiga (RM10,000) manakala dua saguhati RM5,000 setiap satu beserta plak dan sijil.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, setakat ini 15 pasukan telah mengesahkan penyertaannya.

“Selain tujuh daerah dari Kemaman hingga ke Besut ia turut disertai oleh Petronas, Epic, TDM , Tesdec, Kolej Universiti TATI (TATIUC), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah),”.

Dato’ Haji Abdul Rahin berkata demikian dalam sidang media di Wisma Darul Iman hari ini. Hadir sama Ketua SekretariatTahun Melawat Terengganu (TMT) Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Terengganu Haji Wan Supian Dato’ Wan Ishak.

“Pertandingan ini diharap menjadi kayu pengukur kepada kerajaan untuk menghadapi TMT pada 2013 nanti ,” katanya.

Katanya, perasmian pertandingan akan diadakan serentak dengan pembukaan Payang Walk yang akan diadakan secara besar-besaran dengan persembahan kebudayaan seperti nyanyian dan tarian dari semua daerah di negeri ini.

Sehubungan itu, gerai-gerai jualan pelbagai produk tempatan akan dibuka sepanjang jalan mulai pukul 6 petang dari pentas utama di Taman Shah Bandar hingga ke Pasar Payang di mana jalan berkenaan akan ditutup kepada semua kenderaan untuk memberi laluan kepada peniaga membuka gerai di situ.

“Pada malam berkenaan turut diadakan pertunjukan bunga api, tarian tradisional serta cabutan bertuah dan paling menarik pelancong asing akan diarak dengan menaiki beca berhias yang disediakan ke tapak program,” katanya.





27 kakitangan YT terima anugerah cemerlang

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Seramai 27 kakitangan Yayasan Terengganu (YT) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) YT 2012, pada majlis yang diadakan di Primula Beach Hotel, hari ini.

Barisan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) YT 2012 bersama Dato' Haji Mazlan Ngah dan Encik Zakaria Yusof.

Mereka yang meraih anugerah itu menerima wang tunai RM1,000 seorang serta sijil sebagai menghargai usaha mereka meningkatkan prestasi serta gigih berusaha bagi mencapai matlamat dan objektif YT.

Anugerah berkenaan disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, yang turut hadir pada majlis berkenaan yang juga merupakan acara tahunan YT.

Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof, dalam ucapannya berharap semua penerima anugerah berkenaan menjadikannya sebagai dorongan ke arah meningkatkan prestasi kerja mereka dari semasa ke semasa.


“Cemerlang itu satu tanda aras yang berubah dari semasa ke semasa dan tidak sama pada semua masa. Ia bergantung rapat dengan persepsi penilai pada ketika itu.

“Hubungan yang lahir secara dua hala di antara pihak dinilai dan yang menilai juga mempengaruhi keputusan. Berpeganglah kepada prinsip bahawa tanggungjawab lebih utama dari penghargaan,” ujarnya.

Encik Zakaria turut mengingatkan sebagai penjawat awam kakitangan dan pegawai YT mempunyai tanggungjawab dan peranan yang perlu diurus dengan menjadikan faktor masa dan keadaan sekeliling sebagai panduan.

Katanya, kehendak pelanggan dan kerajaan perlu diberi keutamaan dan sentiasa diletakkan di barisan depan dalam segala hal, melebihi kepentingan peribadi.

“Sebagai penjawat awam yang kita sendiri mohon dulu, sepatutnya ikrar yang dibuat ketika mula-mula menerima tawaran jawatan sentiasa menjadi panduan dan asas dalam memberi khidmat kepada pelanggan,” tambahnya.



Terengganu terima tempias himpunan haram Bersih

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Terengganu turut menerima tempias akibat tindakan segelintir rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan haram Bersih di Tanah Suci Makkah, awal tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata akibat tindakan yang tidak bertangggungjawab itu, kerajaan negeri hanya mampu menghantar 50 kakitangan kerajaan mengerjakan haji di Tanah Suci pada tahun ini.

Beliau berkata, sepatutnya semua 100 kakitangan kerajaan serta imam dan bilal yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun ini dihantar mengerjakan haji sebagai sebahagian daripada ganjaran mereka meraih anugerah tersebut.

“Bagaimanapun, disebabkan Kerajaan Arab saudi mengehadkan kuota bagi tujuan tersebut, kita hanya boleh menghantar 50 kakitangan kerajaan menunaikan haji tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Yayasan Terengganu (YT) di Primula Beach Hotel, hari ini.

Hadir sama Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof dan pegawai-pegawai kanan serta warga kerja YT.

Dato' Haji Mazlan Ngah menyampaikan anugerah kepada kakitangan YT yang cemerlang.

Dato’ Haji Mazlan berkata, jika kejadian yang mencemarkan imej Malaysia di luar negara itu tidak berlaku, kerajaan negeri mendapat kuota tambahan bagi membawa lebih ramai kakitangan kerajaan serta imam dan bilal menunaikan haji.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk negeri ini supaya menghindarkan diri daripada melakukan tindakan yang boleh mencemarkan imej negara, termasuk menjejaskan kuota haji.



Filem hina Rasulullah perbuatan biadab



Oleh: Mohammad Ishak 

Pembikinan filem kontroversi “Innocence of Muslims” yang membangkitkan kematahan umat Islam seluruh dunia disifatkan satu usaha untuk melaga-lagakan pengunut agama di dunia.

Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, perbuatan itu satu gerakan terakhir pihak barat untuk melemahkan umat Islam yang dilihat cuba mengambil kesempatan daripada keadaan tidak stabil di negara Islam.

Katanya, dunia barat kini sedang melihat perkembangan umat Islam tetapi mereka lupa kebangktkan semangat umat Islam seluruh dunia boleh mengancam keselamatan dan kestabilan dunia barat.

Dr Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata,filem berkenaan sepatutnya tidak diterbitkan kerana masyarakat Islam tidak pernah menghina agama lain termasuk Kristian.

“Apa perasaan penganut agama lain jika agama yang dianuti mereka juga dihina dan diperlekehkan oleh pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menutup Pertandingan Membakar Lemang sempena sambutan Hari Malaysia anjuran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Daerah Besut di perkarangan R&R Seberang Jertih, semalam.

Menurutnya, kerajaan Malaysia sudah pasti skan mengambil tindakan yang sesuai untuk menyekat pengedaran filem berkenaan melalui apa cara sekali pun.

Katanya, terserahkah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk bertindak memantau penerbitan dan pengedaran filem yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

Kraftangan Terengganu sasar peningkatan 40 peratus tembaga sempena TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu mensasarkan peningkatan sehingga 40 peratus jualan produk tembaga sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengarahnya, Encik Khairul Hafizi Naharuddin (gambar), berkata keyakinan itu berdasarkan kepada permintaan tinggi daripada peminat kraf berkenaan terutama di kalangan pelancong luar Terengganu sejak dari dulu lagi.

Malah, sepanjang tahun ini (Januari hingga Ogos), jualan produk kraf menerusi Satu Daerah Satu Industri yang hanya terdapat di Terengganu serta terkenal berikutan keaslian dan kualiti pembuatannya itu berupaya mencecah sehingga RM2 juta.

“Saya tidak mahu mensasarkan jumlah jualan yang tinggi, namun yakin produk yang hanya terkenal di Terengganu itu dapat meningkat sehingga 40 peratus pada tahun depan (TMT 2013) dari aspek jualan, dibantu pula dengan kewujudan usahawan baru dan juga fasiliti baru,” katanya di kepada media di Majlis Aidilfitri Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, di Chendering, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain itu, Encik Khairul Hafizi berkata pihaknya juga menggandakan usaha bagi menarik minat golongan muda menceburi bidang pembuatan tembaga sebagai langkah menyelamatkan industri kraf warisan Terengganu sejak beratus tahun dahulu itu daripada terus malap.

Menurutnya, selain kelas dan bengkel, kraftangan turut menyediakan insentif khas kepada golongan muda supaya melibatkan diri dalam industri itu serta berusaha memperelokkan lagi tembaga dan juga bahan yang digunakan bagi menghasilkan produk tradisional tersebut.

Sehingga kini, hanya terdapat 13 pengusaha kraf itu yang masih bertahan di seluruh Terengganu dengan majoriti mereka berusia 55 tahun ke atas.

Antara produk tembaga mendapat permintaan tinggi di kalangan pelanggan termasuk bekas cincin, bekas renjis air mawar, bekas serbaguna, pahar, pasu dan mangkuk.



Terengganu yakin UPSR terus capai kedudukan terbaik

Oleh: Suriati Ali

Terengganu yakin dapat mempertahankan kedudukannya sebagai negeri terbaik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) buat kali ke-12 berturut-turut pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keyakinan itu berdasarkan peningkatan penglibatan komuniti setempat bersama guru dan murid.

Katanya, Istimewanya di Terengganu, terdapat segelintir ibu bapa yang bekerja sanggup mengambil cuti sepanjang peperiksaan berlangsung semata-mata mahu menemani anak dengan membaca yasin dan menunaikan solat hajat di surau sekolah.

" Terdapat sekolah menyediakan makan minum secara percuma kepada murid sebelum menduduki UPSR, ini membuktikan betapa prihatinnya pengurusan sekolah dalam memastikan kebajikan murid terjaga.

"Inisiatif yang diambil oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ini adalah sebahagian contoh betapa pendidikan kini menjadi tangungjawab semua pihak, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai kuasa baharu dunia pendidikan tanah air," katanya.

Penyediaan makanan berkhasiat secara percuma itu adalah untuk memastikan murid kekal bertenaga sepanjang menjawab soalan dengan nutrien penting, sebagai satu usaha PIBG untuk persediaan fizikal murid.


Pelajar Tatiuc bakal terima ijazah dan diploma

Oleh: Suriati Ali dan Umi Ikrimah bt. Abdillah (Pelatih)

Seramai 288 pelajar akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen TATIUC kali ke-6 bertempat di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman pada 22 September ini.

Majlis ini akan disempurnakan oleh Canselor TATIUC, Tan Sri Dato’ Ir. (Dr) Wan Abdul Rahman Wan Yaakob.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata seramai 18 graduan sulung program Sarjana Muda Mekatronik turut sama menerima Ijazah pada konvokesyen itu.

Katanya, jumlah graduan terkumpul bermula dari penubuhan TATIUC 1993 hingga sekarang ini adalah seramai 2807 orang.

“Setiap tahun Tatiuc mencatatkan peningkatan jumlah pelajar di mana pada tahun ini, seramai 843 orang mendaftar masuk untuk mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan.

“Pertambahan bilangan pelajar membuktikan dan memberi gambaran positif terhadap sistem pendidikan di Tatiuc berkualiti dan diyakini semua pihak,” katannya pada sidang media di pejabatnya baru-baru ini.

Pesta Konvo turut diadakan sempena majlis konvokesyen TATIUC selama tiga hari iaitu bermula 20 September ini.

Pelbagai acara menarik telah disusun sepanjang pesta ini, antara konsert perdana, forum perdana, kejohanan futsal, senamrobik, gerai pameran, gerai jualan, pertandingan mewarna, kayuhan mesra dan tayangan amal.


Belia Marang sertai bengkel pemantapan

Oleh: Aida Abd Rahman
Seramai 120 pemimpin persatuan dan badan gabungan belia Marang akan mengikuti bengkel pemantapan dan kepimpinan dalam usaha memantapkan pertubuhan yang dipimpin belia berusia kurang 30 tahun di daerah itu.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Encik Zaidi Muda, berkata bengkel selama tiga hari dua malam di sebuah pusat peranginan di Marang pada awal November ini bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemimpin baru supaya lebih matang sekali gus berupaya memimpin persatuan dengan jayanya.

“Setiap persatuan diwakili pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha terpilih menyertai bengkel yang menjadi platform penting memastikan hala tuju persatuan dapat dicapai.

“Mereka kebanyakannya di kalangan generasi pemimpin baru berusia 20-an yang kurang pengalaman tetapi mempunyai bakat kempimpinan yang boleh diasah dengan baik bagi menerajui persatuan,” katanya kepada Teganukita, di majlis sambutan Merdeka Raya Majlis Belia Daerah Marang dan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu, di Dewan Sivik Bukit Payong, semalam (17 september).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad; Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Marang, Senator To’ Puan Zaitun Mat Amin; Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Pengerusi MAYC Negeri Terengganu, Encik Amirullah Othman.

Sehingga kini, terdapat 40 persatuan belia dan badan-badan gabungan belia yang aktif di Marang, sementara 20 MAYC serta 17 Gerakan Belia 4B sedang menunggu kelulusan pendaftaran dengan pejabat pendaftar pertubuhan belia sebelum beroperasi secara sah selewat-lewatnya awal 2013.

Encik Zaidi yang juga Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, berkata pihaknya akan mengatur pelbagai aktiviti bagi memastikan persatuan dan badan gabungan belia dapat bergerak aktif di peringkat daerah serta negeri, selain mereka mengadakan aktiviti dengan komuniti di kawasan masing-masing menggunakan saluran yang betul.

“Kita tidak mahu melihat kuantiti pertubuhan dan persatuan belia semata-mata. Kalau jumlah banyak tidak guna juga, jika mereka gagal aktif dan memanfaatkan peluang serta menganjurkan aktiviti untuk manfaat ahli serta komuniti setempat.

“Menerusi pertubuhan yang sah, kita harap kewujudan persatuan belia dapat memberi impak kepada pembangunan sahsiah dan ekonomi di kalangan generasi muda seterusnya memajukan lagi kawasan setempat, negeri dan juga negara amnya,” katanya.



Teganukita 65