Halaman

01 October 2012

“HAYATI IKRAR PERKHIDMATAN AWAM” DATO’ MAZLAN NGAH.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah meminta penjawat awam supaya menghayati prinsip ikrar perkhidmatan yang telah diikrarkan pada masa mula-mula menjawat jawatan yang diberikan. 

Antara lain ikrar perkhidmatan awam ialah:
Kami yang telah dilantik berkhidmat dengan kerajaan Malaysia membuat ikrar di sini bahawa semasa dan selagi kami berkhidmat dengan Kerajaan, kami akan patuh dengan mengamalkan teras-teras perkhidmatan semasa menjalankan tugas. Ke arah ini kami:
·        Berazam meningkatkan mutu perkhidmatan;
·        Bekerja dengan penuh tanggungjawab;
·        Berusaha mengikis sikap mementingkan diri sendiri;
·        Berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan;
·        Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara;
·        Bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh-musuh negara; dan
·        Berpegang teguh kepada ajaran agama.

Berikutan adalah sambungan wawancara Pengarang Teganukita merangkap Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Negeri , Ruslan Abdul Rahman dengan Dato’ Haji Mazlan baru-baru ini.

60 peserta menerima agihan Touh Point Parlimen Besut


Peserta menunggu giliran menerima agihan Touh Point

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 60 peserta mewakili pelbagai pertubuhan dalam kawasan Parlimen Besut menerima pengagihan Touch Point untuk menjalankan pelbagai aktiviti dalam komuniti masing-masing.

Penerima terbabit termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Jawatankuasa Masjid dan Surau,Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan belia, wanita dan Pejabat Penyelaras DUN dalam parlimen berkenaan.

Majlis pengagihan touch point itu disampaikan Ahli Parlimen Besut,Dato’ Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri di kediaman beliau di Kampung Alur Lintang, dekat Jertih, semalam.

Dr Abdullah berkata, pengagihan dalam bentuk wang tunai dan barangan yang diseliakan oleh Pejabat Khidmat Masyarakat Perlimen Besut, dilaksanakan mengikut permohonan yang dipohon oleh pihak terbabit.

Katanya, pengagihan juga dilakukan secara berperingkat-peringkat berdasarkan permohonan pihak berkenaan dan urusetia akan memaklumkan kepada pihak terbabit setiap permohonan yang diluluskan.

Beliau berkata, pengagihan touch poont itu dari peruntukkan kerajaan pusat kepada pelbagai pertubuhan dan agensi bertujuan membantu pihak terbabit menjalankan aktiviti kemasyarakatan selain menyediakan kemudahan peralatan.

Dr Abdullah berharap, dengan adanya kemudahan yang disediakan masyarakat akan dapat menikmat pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan menerusi organisasi yang mewakili mereka.

Pembangunan wujud seiring dengan peluang pekerjaan kepada rakyat-Sultan Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin percaya usaha kerajaan membangunkan produk pelancongan seperti pembangunan Kawasan Bebas Cukai di Pulau Bayas dan produk Kenyir Island Hoping dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negeri ke negeri ini.

Titah baginda, projek dalam pembinaan ini dijangka siap pada Jun 2014 itu akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan negeri di mana kecantikan dan keunikan tasik buatan manusia itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah demikian di Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istana Maziah semalam.

Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Kerabat-kerabat Raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Dewan Negara dan pegawai-pegawai kerajaan.

“Beta berharap tindakan awal dapat diambil dalam memastikan tenaga kerja tempatan dibekalkan secukupnya dengan latihan kemahiran yang diperluakan oleh pelabur-pelabur seperti di kawasan pembangunan Taman Biopolimer Kertih yang menawarkan 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat,”.

“Beta percaya lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan apabila beberapa kilang seperti Taman Intergrasi Akuakultur Udang di Setiu, Kilang Keluli Bersepadu di Teluk Kalong dan Kilang Bersepadu Pemerosesan dan Pengeluaran Silika di Kawasan Perindustrian Saujana, Setiu beroperasi sepenuhnya nanti,”.

“Beta gembira dengan prestasi pelaksanaan projek-projek ECER di negeri ini yang terdiri daripada lima kelompok ekonomi utama iaitu pelancongan, minyak, gas dan petroleum, pembuatan, pertanian dan pendidikan,”.

Sultan Mizan Zainal Abidin berharap kerajaan terus mengorak langkah dalam bidang pendidikan dan berharap usaha bersungguh-sunguh dilakukan agar impian menjadikan Terengganu negeri anjung ilmu dapat direalisasikan secepat mungkin.

“Justeru itu penekanan kepada pendidikan agama di samping keperluan dalam bahasa Inggeris, matematik dan teknologi maklumat di kalangan generasi muda perlu dimantapkan lagi demi untuk melahirkan generasi masa depan yang kukuh imannya, mulia akhlak dan memiliki budaya kerja yang hebat,” titah baginda.

Bagi menambah pengeluaran hasil pertanian kerajaan hendaklah meningkatkan keberkesanan mekanisma pelaksanaan dan teknologi pertanian dan tumpuan hendaklah diberi kepada industri asas tani dengan meningkatkan nilai tambah melalui penggunaan teknologi moden dan berskala besar.

Sultan Terengganu juga berpuas hati mengenai tahap perkhidmatan penjawat awam negeri ini di samping perlu melakukan penambahbaikan sejajar dengan kepelbagaian tuntutan rakyat masa kini.

Penjawat awam perlu berfikir di luar lingkungan kebiasaan, menerima pakai langkah-langkah agresif dan berani untuk memastikan penyampaian perkhidmatan lebih baik kepada rakyat dan perlu menghadapi cabaran menghasilkan idea inovatif.

Baginda juga melahirkan rasa gembira dengan kejayaan beberapa anak Terengganu mewakili negara ke Sukan Olimpik London baru-baru ini dan berharap lebih ramai lagi jaguh-jaguh bertaraf dunia kalangan anak tempatan dapat dilahirkan pada masa akan datang, InsyaAllah.

Baginda kemudiannya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Ahli Exco , wakil rakyat, penjawat awam, pasukan keselamatan Polis dan Tentera, pendidik dan seluruh rakyat di negeri ini yang sentiasa menjunjung kasih dan taat setia yang tidak berbelah bagi.

 “Beta ingin semua pihak bersatu hati dan bergabung tenaga dalam mengekalkan keharmonian, kesejahteraan, kemakmuran negeri dan negara,” titah baginda.

 

Pameran Kebudayaan Kampung Cina papar warisan, sejarah

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (pelatih)

Pelbagai koleksi bahan sejarah dan keseniaan Kampung Cina akan dapat dihayati melalui Pameran Kebudayaan Kampung Cina yang bakal diwujudkan di perkampungan warisan itu tidak lama lagi.

 Pameran yang diwujudkan menerusi Koperasi Kampung Cina dengan peruntukan RM300,000 sumbangan MCA Kebangsaan itu menjadi satu lagi produk tarikan pengunjung ke destinasi bersejarah di Bandar Raya Kuala Terengganu itu.

 Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata peruntukan yang disalurkan kepada MCA negeri untuk tujuan itu dapat merealisasikan hasrat masyarakat Kampung Cina untuk mengabadikan sejarah dan warisan nenek moyang mereka di satu pusat khas untuk tatapan orang ramai.

“Hasil sokongan padu semua pihak, MCA Kebangsaan serta Kerajaan Terengganu yang dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membolehkan Koperasi Kampung Cina diwujudkan dan pelbagai aktiviti dilaksanakan menerusi dana dan bantuan yang diberikan pihak yang prihatin kepada koperasi itu.

“Usaha koperasi untuk mewujudkan Pameran Kebudayaan Kampung Cina juga tercapai dengan peruntukan RM300,000 sumbangan MCA ini,” kata beliau di majlis pelancaran Pesta Tanglung, di Pulau Warisan, Kampung Cina, baru-baru ini.

 Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Mohd Dagang dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Tuan Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

 Dato’ Toh berkata, sokongan kerajaan negeri juga membolehkan pihaknya menganjurkan pelbagai acara sampingan yang menarik penyertaan ramai generasi muda di Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri Bandar khasnya.

 “Pesta Tanglung pada tahun ini bukan sahaja mempunyai tema ‘Saya Cintai Terengganu’ tetapi turut memberi fokus kepada pelbagai program untuk golongan muda seperti `paintball’, pertandingan fotografi, pertandingan fotografi model, pertandingan yo-yo, persembahan motor klasik dan sukan untuk orang muda selain satu program yang baru dinamakan `flash mob’.

“Saya pun tidak tahu apa itu (flash mob), tetapi katanya ini trend orang muda. Asalkan orang muda suka, kita anjurkan untuk mereka dengan sokongan daripada pihak YAB Menteri Besar, kita dapat melakukan kesemuanya,” katanya.

 

Anwar sering kutuk Pas

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, merupakan antara mereka yang lantang mengutuk Pas sebelum PKR mengadakan hubungan dengan parti itu.

Ketika berucap di Padang Astaka, Dungun, Terengganu Ketua Pembangkang itu pernah mencadangkan nama baru untuk Pas iaitu ‘Parti Al Maki Wal Hamun’ kerana pemimpin Pas cukup pakar dalam menggunakan perkataan yang berbentuk demikian, terutama dalam ceramah-ceramah mereka.

Beliau membuat saranan tersebut ketika berucap pada 24 Januari, 1995, bagi menggesa Pas agar berhenti berbohong serta tidak menyumbangkan sebarang idea bagi membina negara dan meningkatkan ekonomi rakyat.

Umum sudah mengetahui bahawa pemimpin Pas hanya tahu memaki hamun pemimpin kerajaan, Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam setiap ceramah mereka.

Malangnya, setelah bersengkokol dengan Pas melalui Pakatan Rakyat, Anwar yang sebelum ini lebih dikenali dengan imej Islam, bukan saja tidak menegur kelakukan buruk pemimpin Pas itu, tetapi lebih malang lagi beliau sendiri kini turut terikut-ikut dengan perangai buruk mereka.

Anwar kini bukan saja pandai berbohong, tetapi turut memaki hamun pemimpin Umno dan BN dalam ceramah-ceramah anjuran PR di seluruh negara.

Selain itu, beliau turut terkenal dengan sikap gemar menyalahkan orang lain bagi menutup kesalahan yang dilakukannya, bagi mengalih isu dan meraih simpati orang ramai.

Pemimpin begini tidak sepatutnya mendapat tempat dalam pentadbiran negara, apatah lagi menjadi ketua sebuah negara kerana banyak pihak akan menanggung kerugian jika beliau diberi kuasa.

 

Sultan Terengganu berangkat ke majlis santapan petang di Istana Badariah

Oleh; Esah Abdullah

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nuh Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis santapan petang sempena sambutan ulangtahun yang ke-50 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Badariah Kuala Terengganu.



Berkenan berangkat nenda baginda Tengku Ampuan Intan Zaharah dan bonda Tengku Ampuan Besar Terengganu serta dua puteri baginda Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimuz Zahra.

Majlis santapan petang adalah bagi meraikan penerima Gelaran dan Bintang –Bintang Darjah Kebesaran Negeri sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Terengganu tahun ini.

Turut hadir Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Hadir sama, kerabat-kerabat Raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Dewan Negara dan pegawai-pegawai kerajaan.

Keberangkat tiba baginda di sambut dengan tarian ‘Menjunjung Duli’ persembahan Kumpulan Suktra kerajaan negeri. Penyanyi Dayang Nur Faizah turut membuat persembahan sepanjang majlis santapan berlangsung.

Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah kemudiannya berkenaan menerima mengadap semua tetamu yang hadir sebelum  majlis berakhir jam 5.30 petang.

 

Tahniah Buat Ketua Setiausaha Negara



Sekalung tahniah diucapkan kepada YBhg. Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara dan isteri, YBhg. Datin Sri Dato’ Rohani Abdullah atas pengurniaan Pingat Kebesaran Tertinggi Negeri Terengganu kepada Penjawat Awam iaitu Pingat Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin pada 30 September 2012 di Istana Maziah, Kuala Terengganu yang membawa gelaran Dato’ Seri dan To’ Puan Seri. Tahniah diucapkan.


2.7 juta orang bujang layak terima BR1M 2.0

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih 2.7 juta individu bujang berumur 21 tahun ke atas layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang akan diagihkan awal tahun depan.

Perkembangan terbaru yang pasti menggembirakan banyak pihak, bukan saja mereka yang bekerja dan berpendapatan RM2,000 ke bawah yang berpeluang menikmati bantuan itu, tetapi ia meliputi golongan pelajar universiti serta siswazah menganggur.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek (gambar), menjelaskan mekanisme dan prosedur pemberian BR1M sama seperti tahun lalu di mana mereka perlu mengisi borang terlebih dahulu bagi urusan pembayaran.

Golongan berkenaan perlu mendaftar secara ‘on-line’ (talian terus) atau di kaunter Pejabat Pembangunan Negeri, pejabat daerah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri di seluruh negara. Mengikut Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, semua individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah layak menerima bantuan RM250 atau separuh daripada BR1M yang dimulakan tahun lalu.

Bagi bajet 2013, kira-kira 4.3 juta isi rumah yang menikmati BR1M tahun lalu turut layak menerima bantuan yang serupa tahun ini.

Mereka yang telah menerima BR1M sebelum ini, tidak perlu mendaftarkan nama kerana ia akan menggunakanpakai pendaftaran sedia ada.

Cuma mereka yang tercicir daripada senarai penerima bantuan sebelum ini perlu mendaftar bagi menikmati bantuan tersebut pada tahun ini. Bajet 2013 menunjukkan dengan jelas keprihatinan Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) bagi meringankan beban rakyat, termasuk golongan pelajar dan siswazah menganggur.

Bagi siswazah mereka turut menerima bantuan baucer buku bernilai RM250 bagi memberi pelbagai keperluan pembelajaran mereka.

Dan untuk rakyat Terengganu pula, golongan remaja lebih bertuah kerana sebelum Aidilfitri baru-baru ini mereka telah menerima ‘duit raya’ daripada kerajaan negeri sebanyak RM200 seorang melalui program Bakti Remaja.

Inilah kelebihan yang terdapat pada Kerajaan BN yang sentiasa mengambil berat masalah rakyat dan menunaikan setiap janji yang dilafaz, sekaligus menepati slogan “Janji Ditepati”.

 

30 September 2012

Sultan Terengganu gembira kejayaan negeri di bawah kepimpinan MB

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin melahirkan sukacita kerana banyak kejayaan telah dicapai oleh negeri ini di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 Antaranya kejayaan mengekalkan kecemerlangan akademik dalam UPSR selama 11 tahun berturut, PMR, SPM dan STPM masing-masing selama empat tahun berturut dan juga menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) empat tahun berturut sekali gus meletakkan nama Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu dan kuasa baru sukan di negara ini.

 “Beta percaya dan yakin melalui perancangan rapi kerajaan, lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan serupa akan dicapai dalam bidang yang lain pada masa hadapan, InsyaAllah,” .

Baginda bertitah demikian di Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Singgahsana Istana Maziah hari ini.

Sultan Mizan Zainal Abidin juga menghargai usaha kerajaan yang menitikberatkan kebajikan dan keperluan rakyat ke arah melahirkan persekitaran yang lebih sempurna dan memperbaiki taraf hidup rakyat .

“Pelbagai bantuan telah disalurkan bagi mengubah taraf hidup rakyat bermula daripada bantuan pakaian sekolah, pemberian percuma e-book, bantuan menyambung pelajaran ke institusi pendidikan tinggi, penyakit kronik, kebajikan, bencana alam sehinggalah penyediaan tempat tinggal yang selesa,” titah baginda.

 Titah baginda, rakyat perlu memupuk budaya berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan dan usaha yang dilakukan dan pada masa yang sama budaya meminta dan mentaliti subsidi perlu dikikis segera di kalangan rakyat.

“Beta percaya dengan usaha murni ini kerajaan mampu membantu mengurangkan taraf kemiskinan rakyat terutama golongan miskin tegar yang dianggarkan 603 ketua isi rumah dan 7,579 ketua isi rumah golongan miskin,” titah baginda.

Sultan Mizan Zainal Abidin turut melahiran keyakinan, pelaksanaan projek perumahan mampu milik yang kerajaan sasarkan sebanyak 10,000 buah sehingga 2013 bagi golongan berpendapatan rendah akan tercapai dan iltizam untuk rakyat menikmati suasana kehidupan lebih baik akan menjadi realiti.

 “Beta berharap kerajaan dapat mengambil langkah berjimat cermat dan berhemah dalam urusan pentadbiran negeri tanpa mengabaikan penekanan kepada kepentingan mengurangkan dan meringankan beban hidup rakyat,” titah baginda.

 

103 terima Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri

Oleh: Esah Abdullah

Seramai 102 menerima Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istiadat Penghadapan dan Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri sempena sambutan Hari Keputeraan Yang Ke-50 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Singgahsana Istana Maziah Kuala Terengganu hari ini.


Pada istiadat itu, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Dato’ Haji Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus dikurniakan gelaran Engku Kelana DiRaja yang membawa gelaran ‘Engku Kelana’.


Manakala Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Seri Dr. Ali Hamsa dikurniakan Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z).


Tiga orang penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) ialah Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali Daud dan Tan Sri Dato’ Shamsul Azhar Abbas.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abd. Razak Ismail di antara enam penerima Darjah Setia Sultan Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, salah seorang daripada 11 penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang turut membawa gelaran Dato’.

Seramai 14 orang menerima Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.M.Z), Darjah Setia Mahkota Terengganu (S.M.T) (15 orang), Darjah Ahli Mizan Zainal Abidin Terengganu (A.M.Z) (21 orang) dan Darjah Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T) (30 orang).

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan berangkat di istiadat tersebut dan mengurniakan gelaran dan bintang-bintang darjah kebesaran kepada semua penerima.


Turut berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah beserta anakanda Baginda Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Kerabat-kerabat Raja; Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara.

Sebelum ini, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Kerajaan Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Kerabat yang pertama (D.K) kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.