Halaman

01 October 2012

2.7 juta orang bujang layak terima BR1M 2.0

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih 2.7 juta individu bujang berumur 21 tahun ke atas layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang akan diagihkan awal tahun depan.

Perkembangan terbaru yang pasti menggembirakan banyak pihak, bukan saja mereka yang bekerja dan berpendapatan RM2,000 ke bawah yang berpeluang menikmati bantuan itu, tetapi ia meliputi golongan pelajar universiti serta siswazah menganggur.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek (gambar), menjelaskan mekanisme dan prosedur pemberian BR1M sama seperti tahun lalu di mana mereka perlu mengisi borang terlebih dahulu bagi urusan pembayaran.

Golongan berkenaan perlu mendaftar secara ‘on-line’ (talian terus) atau di kaunter Pejabat Pembangunan Negeri, pejabat daerah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri di seluruh negara. Mengikut Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, semua individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah layak menerima bantuan RM250 atau separuh daripada BR1M yang dimulakan tahun lalu.

Bagi bajet 2013, kira-kira 4.3 juta isi rumah yang menikmati BR1M tahun lalu turut layak menerima bantuan yang serupa tahun ini.

Mereka yang telah menerima BR1M sebelum ini, tidak perlu mendaftarkan nama kerana ia akan menggunakanpakai pendaftaran sedia ada.

Cuma mereka yang tercicir daripada senarai penerima bantuan sebelum ini perlu mendaftar bagi menikmati bantuan tersebut pada tahun ini. Bajet 2013 menunjukkan dengan jelas keprihatinan Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) bagi meringankan beban rakyat, termasuk golongan pelajar dan siswazah menganggur.

Bagi siswazah mereka turut menerima bantuan baucer buku bernilai RM250 bagi memberi pelbagai keperluan pembelajaran mereka.

Dan untuk rakyat Terengganu pula, golongan remaja lebih bertuah kerana sebelum Aidilfitri baru-baru ini mereka telah menerima ‘duit raya’ daripada kerajaan negeri sebanyak RM200 seorang melalui program Bakti Remaja.

Inilah kelebihan yang terdapat pada Kerajaan BN yang sentiasa mengambil berat masalah rakyat dan menunaikan setiap janji yang dilafaz, sekaligus menepati slogan “Janji Ditepati”.