Halaman

05 October 2012

Pusat Hemodialisis beroperasi awal tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Nasib pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan bakal terbela selepas sebuah pusat hemodialisis yang dikendalikan Persatuan Pusat Hemodialisis Prihatin Tengku Besar Terengganu bakal beroperasi awal tahun depan.

Pengerusinya, Dr Le Hong Bio, berkata sebanyak 20 unit mesin hemodialisis ditempatkan di pusat perubatan yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini sebagai memenuhi keperluan terhadap rawatan itu.

“Bangunan pusat hemodialisis itu sudah pun siap dan kini dalam proses memindahkan mesin serta peralatan perubatan lain sementara menunggu lessen penuh untuk beroperasi.

“Dua konsultan iaitu pakar dalam bidang nefrologi yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah akan memantau keseluruhan operasi dan rawatan di pusat itu,” katanya.

Pusat Hemodialisis itu akan diterajui Tengku Besar Terengganu Yang Teramat Mulia Syarifah Nong Fatimah Syed Abdullah Al-Saggof selaku presiden seumur hidup dan naib Presidennnya, Tan Sri Kuang Yong Kuan.