Halaman

06 October 2012

Terengganu terpahat di peta dunia - PM

Perdana Menteri, Dato' Seri Moh Najib Tun Abdul Razak diiringi Dato' Seri Haji Ahmad Said serta pelabur utama melihat upacara pecah tanah kilang berkenaan di Kertih, Kemaman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

 Oleh: Kamarudin Mat Akib

Negeri Terengganu, khususnya Kertih, amat bertuah kerana ia akan terpahat di peta dunia dalam sektor industri bioteknologi dengan terbinanya loji bio-metionina pertama di dunia.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata rakyat negara ini tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti kita mampu mempunyai projek sebesar ini (dengan pelaburan RM2 bilion) yang akan membawa Terengganu sebaris dengan pengeluar dan pengeksport global.

Gimik majlis pecah tanah yang dilakukan Perdana Menteri.
“Tapi hari ini, ianya terbukti menjadi kenyataan, hasil daripada perancangan yang teliti serta pelaksanaan yang baik oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, hari ini.


Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif CJ Cheiljedang, Encik Kim Chul Ha dan Naib Presiden Eksekutif Arkema, Encik Marc Schuller.


Projek pembinaan loji bio-metionina tersebut diusahakan CJ Cheiljedang dari Korea dan Arkema dari Perancis, akan memulakan operasi pada akhir tahun depan.



Loji pengeluaran 80,000 tan metrik bio-metionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar dan turut memberi manfaat kepada ramai penduduk sekitarnya yanag akan membekalkan petai belalang sebagai bahan utama kilang.

Perdana Menteri berkata, pihaknya berharap projek tersebut juga akan turut memanfaatkan penduduk di negeri lain di maan mereka juga boleh mengusahakan tanaman petai belalang untuk dijual ke kilang berkenaan.