Halaman

03 October 2012

Program Salam Sayang Wanita UMNO dekati pengundi


Wanita sedang mengikuti ceramah pada majlis Salam Sayang di Rumah Murah Seberang Jertih.

Oleh: Mohammad Ishak 

Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Besut memulakan langkah mendekati ahli terutama pengundi wanita dengan mengadakan program “Salam Sayang” yang bermula semalam.

Ketuanya, Engku Naimah Engku Taib berkata, program yang dirancang peringkat nasional itu disambut baik oleh wanita bahagian dan memilih Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih sebagai lokasi pertama pergerakan itu menemui wanita.

Katanya, menerusi program itu pemimpin wanita setempat dengan dibantu beberapa agensi berkaitan akan mengadakan sesi bual bicara dan majlis penerangan isu semasa berhubung perkembangan politik negara.

Menurutnya, semua jentera wanita bahagian itu juga diminta memberi kerjasama kepada program berkenaan yang akan diadakan di kawasan peti undi masing-masing.

“Kami akan bergerak dalam satu tem dan mengadakan perjumpaan dengan semua ahli parti di semua peringkat sambil beramah mesra dengan mereka,”

katanya. Engku Naimah berkata, jentera wanita terutama skuad Jalinan Rakyat (JR) akan memastikan semua program yang dilaksanakan oleh wanita dapat berjalan dengan baik dan lancar bagi mempastikan mesej yang akan disampaikan diterima ahli akar umbi.

Beliau berkata, walaupun pilihan raya umum (PRU13) tidak mungkin diadakan pada tahun ini berdasarkan beberapa faktor tetapi usaha memberi penerangan dan mendampingi pengundi wanita tetap diteruskan dari masa ke semasa.

Sehingga ini,katanya, beliau berpuas hati dengan peranan dan tanggungjawab yang dilakukan oleh jentera wanita untuk membantu parti menghadapi PRU13 kerana wanita mahu Barisan Nasional (BN) terus kekal mentadbir negeri dan negara.