Halaman

02 October 2012

Kelab Veteran MAYCTerengganu tubuh 1Komuniti 1Malaysia

Oleh; Esah Abdullah

Kelab Veteran MAYC Kebangsaan akan memperkenalkan program `1 Komuniti 1 Malaysia’ di seluruh negara dalam usaha menggerakkan aktiviti di peringkat kampung.

Presidennya, Dato’ Nasir Safar berkata, sebagai permulaan setiap negeri akan menubuhkan `I Komuniti 1 Malaysia’ sebelum dilaksanakan di setiap daerah yang memberi tumpuan kepada aktiviti di peringkat komuniti kecil seperti yang dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu.

Menurut beliau, program itu akan dijadikan model kepada generasi baru yang ingin menjadi pemimpin supaya sentiasa mendekati masyarakat di akar umbi.

`Program tersebut adalah sebagai usaha dan sumbangan kelab veteran untuk bersama-sama kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri,’’ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Veteran MAYC Terengganu di Laman Inap Desa, Teluk Ketapang, Seberang Takir semalam.

Hadir sama Pengerusi Kelab Veteran MAYC Terengganu, Encik Alias Mustafa. Katanya, melalui program itu akan diketengahkan aktiviti di peringkat komuniti setempat seperti bidang pendidikan, agama, kebudayaa dan sukan.

 Nasir berkata, sehingga ini semua negeri telah menubuhkan kelab veteran masing-masing kecuali Perak yang akan dilancarkan pada 12 Oktober ini dan diikuti Pahang. Selain itu katanya, dengan penubuhan kelab veteran itu dapat mengumpulkan semula seramai mungkin bekas-bekas ahli Mayc di seluruh negara.

“Sebahagian besar golongan ini masih berkemampuan untuk melaksanakan pelbagai program jika bukan dari segi fizikal, tetapi dari idea yang boleh diketengahkan,” katanya.

 Dalam perkembangan lain beliau mengingatkan semua jawatankuasa kelab veteran yang dilantik perlu menjalankan tugas yang diamanah dengan ikhlas dan jujur.

 ``Mereka diberi masa tiga bulan dan jika dilihat tidak mampu menggerakkan kelab tersebut saya tidak teragak-agak untuk menarik balik jawatan yang diberikan,’’ tegasnya.

Ini kerana katanya,semua jawatan dalam kelab veteran itu dilantik oleh Presiden dan jawatan berkenaan boleh ditarik pada bila-bila masa jika gagal berfungsi dengan baik.

 Sempena majlis itu, Kelab Veteran MAYC negeri turut menyampaikan anugerah `Jasamu Dikenang’ kepada sepuluh orang bekas pemimpin MAYC di peringkat negeri. Mereka menerima cenderamata dan sijil yang disampaikan oleh Dato’ Nasir.