Halaman

03 October 2012

Generasi muda tolak pembangkang


Golongan belia kini mula sedar mereka tidak lagi berpeluang untuk menikmati pelbagai kemudahan seperti yang disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) jika pembangkang memerintah negara ini.

Ini kerana sejarah telah membuktikan janji oleh pembangkang tidak dikotakan. Sekarang generasi muda mula melihat BN sebagai kerajaan yang prihatin dan berbuat kebajikan.

Faktor penolakan belia terhadap BN pada 2008 adalah kerana mereka disogok dengan pelbagai persepsi salah tentang BN, selain faktor calon tidak menepati kriteria mereka dan juga program BN yang dilihat tidak mesra belia.

Bagaimanapun kerajaan BN hari ini telah berubah dan menunjukkan kesungguhan mendekati golongan belia dengan pelbagai cara termasuk laman sosial facebook dan twitter selain kekerapan turun padang oleh pemimpin BN.

Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang dekat di hati golongan belia kerana telah banyak bantuan diberikan kepada golongan ini.

Justeru itu tidak hairanlah jika kajian Majlis Belia FELDA mendapati lebih 60 peratus belia di seluruh negara kini menyokong BN.

Persepsi buruk yang dilempar pembangkang kononnya kerajaan BN zalim, menindas rakyat dan mengabaikan rakyat termasuk belia ternyata tidak dapat mempengaruhi mereka kerana golongan belia sudah merasai satu demi satu hasil usaha kerajaan BN, baik ke atas diri mereka mahupun keluarga mereka.

Contohnya dalam isu perumahan, kerajaan BN telah mengotakan janjinya dengan melaksanakan PR1MA dan kalau kata kos kehidupan meningkat, kerajaan beri BR1M dan KR1M untuk meringankan beban rakyat.

Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang dekat di hati golongan belia kerana telah banyak bantuan diberikan kepada golongan ini.

Perdana Menteri sendiri ‘turun padang’ dan sering dilihat mendekati generasi belia, termasuk beberapa kali menonton siaran langsung pertandingan bola sepak menerusi skrin besar bersama-sama golongan belia.

Pengundi muda yang merupakan lebih 40 peratus pengundi baru cenderung menyokong BN untuk kesinambungan pembangunan, perpaduan, kesejahteraan dan pertumbuhan ekonomi yang mewujudkan pelbagai peluang mereka membina kehidupan lebih baik dan masa depan yang meyakinkan.

Golongan muda perlu menolak pemimpin-pemimpin yang suka mencetuskan huru-hara, menimbulkan propaganda dan persepsi tanpa disokong bukti serta fakta kukuh hingga menyebabkan fitnah terhadap pihak lain.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya, sikap ahli politik yang suka menimbulkan persepsi salah terhadap pihak lain diibaratkan seperti politik ‘ala syaitan’ yang hanya akan memburukkan pihak lain.

Beliau berkata, banyak kategori pemimpin yang perlu ditolak orang muda antara yang lain ialah mereka yang tidak memiliki kepakaran dalam bidang yang dipimpin.

“Mana mungkin seseorang yang tidak memiliki kepakaran akan berjaya dalam bidang yang dipimpinnya, justeru, orang muda perlu bijak menilai siapa pemimpin yang akan mereka pilih pada PRU13 nanti,” katanya.

Generasi muda bertanggungjawab mengubah struktur politik negara masa kini, jadi mereka perlu bijak menganalisis maklumat yang diperolehi dari pelbagai sumber, bukan percaya bulat-bulat maklumat tersebut yang belum pasti sama ada dari fakta betul atau salah.

Jika mereka tidak menganalisis maklumat yang diperolehi itu, ia akan mencetus fitnah terhadap pihak lain dan budaya fitnah dilarang dalam Islam.