Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor meluangkan masa menghadiri majlis persandingan anak sulung Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, hari ini.
Dato' Seri Mohd Najib disambut ribuan rakyat jelata ketika tiba di perkarangan rumah Menteri Besar Terengganu |
Sejurus tiba, beliau disambut Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud memasuki kediaman untuk bersuai kenal sebelum diiringi ke pentas utama dan menyaksikan persandingan kedua mempelai, Puan Nor Asdayana Dato' Seri Haji Ahmad dengan suaminya, Mohd Hafiz Adnan.
Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Paduka Rosmah menepung tawar pengantin sebelum makan beradap bersama pengantin dan kedua ibu bapa pasangan pengantin.
Turut hadir di majlis itu, Tengku Seri Bendahara Raja; Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Hadir sama, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri ketua-ketua jabatan, pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat setempat.
Selain itu, lebih 10,000 penduduk seluruh Terengganu, khususnya dari kawasan Kijal membanjiri majlis yang bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang itu.