Halaman

30 September 2012

Bingkisan istimewa madu lebah dari 27 negara

Bingkisan istimewa dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berupa madu daripada 27 negara. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat melancarkan Perasmian Persidangan Persatuan Perlebahan SeAsia (AAA) & Apiekspo 2012 kali ke-11, menerima bingkisan istimewa daripada 27 negara yang menyertai program itu, di Dataran Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 Baginda kelihatan ceria dan sempat memegang beberapa botol madu sebaik empat petugas membawakan bakul dihias indah berisi pelbagai jenis reka bentuk bekas berisi madu daripada negara Asia dan juga seluruh dunia termasuk Venezuela, Kanada, United Kingdom, Czechoslovakia, China, Jepun, Thailand dan Filipina.


Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris; Pengerusi AAA, Profesor Siriwat Wongsiri dan Naib Pengerusinya, Dato’ Dr Makhdzir Mardan.

Cenderahati istimewa itu sebagai simbolik usaha baginda yang turut menyokong serta menggerakkan kemajuan dan pembangunan industri itu di Terengganu menerusi Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).


Sejurus kemudian, baginda bersama tetamu kehormat yang lain melawat ekspo yang menempatkan 32 ruang pameran dan jualan pelbagai jenis madu.

 Terengganu yang mewakili Malaysia menewaskan tiga lagi negara India, Vietnam dan Jepun untuk penganjuran kali ini, sementara penganjuran dua tahun lalu dijalankan di Korea Selatan.


Sebanyak 27 negara seperti Australia, Kemboja, Cameroon, Kanada, China, Mesir, Jerman, India, Indonesia, Iran, Jepun, Libya, United Kingdom, Venezuela dan Singapura menyertai persidangan enam hari yang bermula 28 September lalu.

Persidangan merangkumi ekspo dan bengkel turut membincangkan mengenai jenis, teknik pengeluaran, kajian bagi perubatan, kesihata, komestik serta hala tuju industri madu dunia, selain usaha bagi membangunkan industri lebah negeri bagi kemajuan ekonomi, warisan mahu pun pelancongan negeri.