Pembangkang kini ibarat cacing yang kepanasan setelah Bajet 2013 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Haji Mohd Fuad Zarkashi berkata, melihat Bajet 2013 yang sebegitu rupa, yang telah mengembirakan semua golongan rakyat, mereka cuba mengalih pandangan rakyat terhadap isu lain.
“Pembangkang seolah terdesak mereka cuba mengalihkan pandangan rakyat dengan merancangkan perhimpunan besar-besaran pada 3 November depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan, Menangani Isu Lesbian,Gay, Bisexual,Transgender (LGBT) di Stadium Negeri Kuala Terengganu hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.
Katanya, apa yang diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu semalam itu tidak ubah sepeti cacing kepanasan yang tidak dapat dibendung akibat lahar pembentangan bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Jumaat lalu.
“Saya melihat mereka sudah tidak mampu berhujah dalam Parlimen dalam tempoh seminggu ini dan jalan terakhir mereka ialah menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada 3 november ini,” katanya.
Tambahnya, perhimpunan yang bakal diadakan itu adalah ekoran perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan tidak lama dulu bagi menuntut lapan perkara kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya nampak mereka ini tidak serik dengan Bersih 3.0 dan yakin ingin mengulangi perkara sama iaitu mewujudkan suasana ketegangan dan tidak harmoni kalangan rakyat di negara ini,” katanya.
“Mereka ingin menutup kelemahan mereka apabila pendedahan demi pendedahan salah laku pemimpin pembangkang dan yang terbaru mengenai penggunaan jet peribadi , maka jalan terakhir adakan perhimpunan yang dirancang itu,”.
“Pada saya tujuan mereka hanya untuk mengalihkan pandangan rakyat yang terbukti sedang gembira dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.