Halaman

30 September 2012

MB anggap Bajet 2013 terbaik dan bertanggungjawab

Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said (gambar kecil) menyifatkan Bajet 2013 adalah yang terbaik dan bertanggungjawab kerana mengambil kira keperluan semua masyarakat.

Katanya, kerajaan Terengganu akan mengikut langkah Kerajaan Pusat untuk membayar bonus sebulan setengah gaji kepada kira-kira 18,000 penjawat awam termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Bagi tujuan itu, kita menyediakan sejumlah peruntukan untuk diagihkan kepada seluruh kakitangan kerajaan di negeri ini.

"Kita akan ikut Kerajaan Pusat (bayar bonus), kita beri bonus sebulan setengah gaji seperti yang dibuat Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Larian Jambatan Sultan Mahmud di Dataran Bangau, Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bayaran bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam itu akan dibuat dua kali iaitu setengah bulan pada Disember ini manakala selebihnya pada Januari depan.


Sementara setengah bulan lagi telah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri tempoh hari. Dato’ Seri Haji Ahmad seterusnya berharap rakyat negeri ini termasuk penjawat awam sentiasa berterima kasih atas keprihatinan kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti bayaran bonus, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dana hari perayaan dan sebagainya.

 Menurutnya, jika rakyat mengekalkan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), segala bantuan itu akan diteruskan dan mereka tidak akan menikmati peluang seumpama itu sekiranya memilih pembangkang untuk berkuasa.

"Apa yang penting BN terus memerintah Terengganu dan bantuan seperti BR1M, wang ihsan dan dana raya untuk rakyat dapat diteruskan untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

 Beliau berharap agar segenap lapisan masyarakat terutama kakitangan kerajaan berpuas hati dengan pelbagai insentif kerajaan dalam bajet tersebut yang kesemuanya untuk kesejahteraan mereka.

"Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, kelmarin menunjukkan kerajaan telah mengubah prinsipnya untuk dinikmati rakyat dan kakitangan kerajaan juga perlu bekerja lebih keras lagi," katanya.