Persidangan Persatuan Perlebahan SeAsia & Apiexpo (AAA) ke-11 2012 yang berlangsung lima hari berakhir hari ini menjadi satu platform bagi mempromosi Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 ke seluruh dunia.
Kebanyakan peserta bukan sahaja mendapat pendedahan serta berpeluang menerokai keunikan dan keindahan Terengganu, malah dapat menyebar informasi kepada rakan dan saudara mereka mengenai negeri ini apabila pulang ke negara masing-masing nanti.
Naib Pengerusi Persatuan Perlebahan SeAsia (AAA), Dato’ Dr Makhdzir Mardan (gambar), berkata persidangan itu bukan sahaja berjaya mencapai matlamat bagi membawa industri lebah ke peringkat lebih global dan berdaya saing, pada masa yang sama turut memperkenalkan Terengganu ke mata dunia, apatah lagi dalam usaha kerajaan mempromosikan TMT tahun depan.
“Peserta turut berpeluang melawat tempat menarik seperti Tasik kenyir, Pulau Kapas dan Pusat Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu dalam tempoh tujuh hari lalu.
“Ada di kalangan mereka memanjangkan tempoh berada di sini dengan menyambung percutian untuk ke tempat menarik, sekali gus dapat mempromosi lebih banyak tarikan sempena TMT 2013 nanti,” katanya ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Perpisahan Sempena Persidangan AAA dan & Apiekspo ke-11 2012,di Hotel Primula Beach Resort, semalam.
Berkenaan berangkat ke majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Tengku Sri Temenggong Raja, Tengku Sri Paduka Raja dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.
Hadir sama, Penasihat Undang-undang negeri, YB Noorbahri Baharuddin dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.
Dato' Dr Makhdzir berkata, kesemua peserta persidangan membelanjakan lebih RM1 juta bagi tujuan penginapan, tiket penerbangan dan makan-minum selain membeli-belah cenderahati dan produk tempatan sepanjang seminggu berkampung di negeri ini.
Seramai 300 peserta menyertai persidangan dengan 243 daripada mereka merupakan peserta dari 29 negara Asia, Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan seperti China, Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja, Iran, Jepun, Australia, Venezuela, Kanada, United Kingdom, Czechoslovakia, Cameroon, Jerman, Mesir, India dan Libya.