Halaman

04 October 2012

Pas gagal, tutup peluang kekal di DUN Bukit Payong

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegagalan Pas melaksanakan sebarang pembangunan dan kebajikan kepada rakyat sudah cukup untuk menutup peluang pembangkang mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Pas yang hanya menang dengan majoriti 313 undi gagal memikul mandat penduduk yang sudah tersilap percaturan memilih mereka pada PRU12 lalu.

 Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata pemimpin Pas hanya sekadar ada pada nama selaku Ahli Dewan Undangan Negeri, hakikatnya Kerajaan BN juga yang melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin bagi memastikan tiada rakyat di DUN berkenaan terpinggir.

“Sebuta sahaja Adun Pas, bagaimanapun kerajaan BN yang memikul tanggungjawab tanpa henti, terus komited dan bekerja keras bagi memastikan nasib rakyat di sini tetap terbela dan mendapat bantuan sewajarnya,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Encik Zaidi berkata, Pas bukan sahaja gagal menjadi pemimpin yang baik dan bertanggungjawab, malah prinsip perjuangan mereka kian jauh tersasar apabila sanggup bersekongkol dengan parti lain seperti PKR dan DAP, di mana Pakatan Rakyat itu jelas tidak sefahaman dalam memperjuangkan kesucian agama Islam.

Sehubungan itu, Encik Zaidi berkata, jentera parti di DUN berkenaan sudah bersiap-sedia `bertempur’ bagi mengembalikan semula kawasan itu kepada BN pada PRU nanti.

 Katanya, jentera parti sudah memperkemaskan gerak kerja di setiap peti undi DUN melibatkan persiapan dari segi daftar pemilih, gerak saraf, sistem maklumat, bacaan sikap serta kepimpinan bagi memastikan persiapan berdepan PRU berjalan lancar dan mantap.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan muda dan pengundi atas pagar juga sudah ramai menyokong BN kerana melihat dasar kerajaan negeri mahu pun Pusat yang sentiasa memberi tumpuan kepada semua golongan termasuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia, Dana Bakti Remaja dan juga Dana Hari Raya.

Sebagai contoh, katanya seramai 4,694 penduduk di DUN itu menerima Dana Hari Raya berjumlah RM1.4 juta pada tahun ini, meningkat kira-kira RM100,000 berbanding tahun lalu.

 “Kebanyakan rakyat amat berpuas hati dengan prestasi semasa Kerajaan BN dan Umno yang jelas meringankan bebanan rakyat serta menepati janji yang dibuat, malah mereka juga tidak bercakap kosong seperti pembangkang yang hanya tahu menabur janji dan mengadu-domba bagi memecah-belahkan kepimpinan hari ini,” tambahnya.