Halaman

30 September 2012

Sultan Terengganu gembira kejayaan negeri di bawah kepimpinan MB

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin melahirkan sukacita kerana banyak kejayaan telah dicapai oleh negeri ini di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 Antaranya kejayaan mengekalkan kecemerlangan akademik dalam UPSR selama 11 tahun berturut, PMR, SPM dan STPM masing-masing selama empat tahun berturut dan juga menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) empat tahun berturut sekali gus meletakkan nama Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu dan kuasa baru sukan di negara ini.

 “Beta percaya dan yakin melalui perancangan rapi kerajaan, lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan serupa akan dicapai dalam bidang yang lain pada masa hadapan, InsyaAllah,” .

Baginda bertitah demikian di Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Singgahsana Istana Maziah hari ini.

Sultan Mizan Zainal Abidin juga menghargai usaha kerajaan yang menitikberatkan kebajikan dan keperluan rakyat ke arah melahirkan persekitaran yang lebih sempurna dan memperbaiki taraf hidup rakyat .

“Pelbagai bantuan telah disalurkan bagi mengubah taraf hidup rakyat bermula daripada bantuan pakaian sekolah, pemberian percuma e-book, bantuan menyambung pelajaran ke institusi pendidikan tinggi, penyakit kronik, kebajikan, bencana alam sehinggalah penyediaan tempat tinggal yang selesa,” titah baginda.

 Titah baginda, rakyat perlu memupuk budaya berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan dan usaha yang dilakukan dan pada masa yang sama budaya meminta dan mentaliti subsidi perlu dikikis segera di kalangan rakyat.

“Beta percaya dengan usaha murni ini kerajaan mampu membantu mengurangkan taraf kemiskinan rakyat terutama golongan miskin tegar yang dianggarkan 603 ketua isi rumah dan 7,579 ketua isi rumah golongan miskin,” titah baginda.

Sultan Mizan Zainal Abidin turut melahiran keyakinan, pelaksanaan projek perumahan mampu milik yang kerajaan sasarkan sebanyak 10,000 buah sehingga 2013 bagi golongan berpendapatan rendah akan tercapai dan iltizam untuk rakyat menikmati suasana kehidupan lebih baik akan menjadi realiti.

 “Beta berharap kerajaan dapat mengambil langkah berjimat cermat dan berhemah dalam urusan pentadbiran negeri tanpa mengabaikan penekanan kepada kepentingan mengurangkan dan meringankan beban hidup rakyat,” titah baginda.