Halaman

03 October 2012

BN mampu tawan 26 kerusi

Oleh: Aida Abd Rahman

Barisan Nasional (BN) dijangka mampu memenangi sekurang-kurangnya 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini berdasarkan iklim politik yang kian stabil di peringkat negeri mahu pun nasional.

 Pengarah Strategik Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada kajian secara menyeluruh yang dilakukan pihaknya serta suasana politik negeri serta negara yang bertambah baik.

 “Saya menjangkakan kita boleh menang paling minima 26 kerusi DUN. Kita boleh menang antara 25 dan 26 kerusi. Malah tidak mustahil kita boleh tambah dua lagi kerusi. Ini bermakna, enam daripada 32 kerusi (DUN) itu masih ada potensi untuk kita tawan semula.

 “Kita buat kajian saintifik dan sekiranya iklim politik stabil di peringkat nasional dan jentera kita meningkat dari masa ke semasa, tidak mustahil kita boleh memberi kemenangan yang lebih besar daripada yang saya jangka. Itu yang saya jangka. Bukan Umno (Perhubungan) negeri,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Rosli berkata, selain faktor iklim politik yang kian stabil, jentera pilihan raya di peringkat akar umbi juga semakin bersedia untuk menghadapi PRU 13.

Menurut beliau, kemenangan BN nanti harus didokong oleh status calon PRU13 nanti sama ada individu yang diketengahkan sebagai calon itu diterima rakyat atau sebaliknya.

 “Cuma sekarang, tinggalnya orang hanya membicarakan tentang calon saja. Jadi, saya rasa kebijaksanaan Menteri Besar dan pucuk pimpinan negara (Perdana Menteri) yang akan membuat keputusan muktamad bagi menamakan calon pilihan rakyat.

“Calon berkenaan pastinya akan memberi impak kepada rakyat di mana mereka akan mengundi bukan saja parti yang baik juga kepada calon yang baik dan perkara itu membantu menambahkan lagi kerusi untuk memberi kemenangan besar kepada BN,” katanya.

Menurutnya, pemimpin tertinggi hingga ke akar umbi juga harus menasihat kepada rakyat supaya mereka mengutamakan parti berbanding calon.

 Katanya, semua pemimpin dan rakyat negeri dan negara ini harus melihat PRU13 sebuah pilihan raya yang luar biasa dan turut memerlukan perubahan dari aspek mengetengahkan calon juga dalam keadaan luar biasa.

 Beliau berpandangan pada PRU13 ini akan melibatkan 30 peratus muka baru yang akan bergandingan dengan pemimpin berpengalaman dan juga generasi muda.

 “Saya optimis bahawa generasi muda dalam pimpinan parti harus diberi tempat yang sewajarnya tanpa meninggalkan pemimpin-pemimpin yang agak lama yang telah berjasa dan memiliki pengalaman mahu pun kriteria hebat sebagai pemimpin.

 “Generasi muda perlu (calon) memandangkan pengundi muda, `first timer’ pun ramai. Kurang-kurang mereka terasa bahawa ada gabungan di antara muka lama, muka baru, berpadu dalam satu pasukan,” katanya.