Halaman

04 October 2012

Kabinet bayangan pembangkang bukti Anwar utamakan kroni

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kabinet bayangan pakatan pembangkang seperti yang didedahkan pengendali blog papagomo.com jelas membuktikan konsep kronisme yang dipopularkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mengikut pendedahan yang dibuat pengendali blog berkenaan,

Anwar sendiri akan mengetuai Kerajaan Pakatan Rakyat dengan menjadi Perdana Menteri jika PR berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).


Beliau yang dikatakan ‘master mind’ dalam pembentukan ‘kabinet angan-angan’ itu turut menyenaraikan isterinya, Wan Azizah Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai menteri.

Tidak cukup dengan itu, beliau membayangkan untuk melantik rakan-rakanya seperti Azmin Ali, Husam Musa dan Elizabeth Wong untuk menjawat jawatan portfolio penting dalam kerajaan.

Kabinet bayangan itu jelas menampakkan usaha Anwar menjadikan pentadbiran negara sebagai milik keluarga dan sahabat-sahabatnya jika PR berjaya membentuk kerajaan.

Sebelum ini, Anwar mempelopori kronisme dalam pentadbiran kerajaan ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri di mana banyak projek-projek besar diserahkan kepada kroni beliau.

Sewaktu Anwar berada dalam kerajaan dengan beliau turut memegang jawatan Menteri Kewangan, saudara mara dan sahabat handainya diberi projek-projek besar yang setiap satu bernilai ratusan juta ringgit, menyebabkan Kerajaan BN dihentam hebat oleh pembangkang.

Nampaknya Anwar tidak belajar daripada kesilapan lalu dan meneruskan dasar kronisme dalam membentuk kerajaan bayangan PR, bagi membolehkan beliau dan kroninya terus membolot projek-projek jika PR diberi mandat untuk memerintah negara.

Jika diteliti kabinet bayangan Ketua Pembangkang itu, tidak ada langsung hasrat atau cadangan beliau untuk membela nasib rakyat yang mengundi PR.

Secara jelas ia membuktikan hasrat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, seterusnya membolot projek-projek bagi kepentingan diri beliau, keluarga dan sahabat handai.

 Hal ini patut disedari oleh rakyat dan mereka tidak perlu lagi memberi sokongan atau cuba mengalih selera untuk mengundi PR pada PRU13.