Halaman

01 November 2012

Pelita anjur sayembara puisi TMT 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Hadiah wang tunai bernilai RM7,000 menanti orang ramai yang berminat menyertai pertandingan Sayembara Menulis Puisi Tahun Melawat Terengganu 2013 yang tarikh tutupnya akan berakhir 15 Disember ini.

Ketua 1, Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), Syed Mohammed Nor Tuan Long berkata, sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, pertandingan sayembara menulis puisi moden (sajak) yang bertemakan “Citra Terengganu” ini menawarkan hadiah yang sangat lumayan.

“Johan pertandingan sayembara ini akan menerima wang tunai berjumlah RM2000, naib johan RM1500 dan tempat ketiga RM1000.

“Manakala lima hadiah saguhati berupa wang tunai RM500 setiap satu bakal menanti pemenang pertandingan yang terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia kecuali Ahli Jawatankuasa Penyelenggara dan Ahli Jawatankuasa Penilai serta kaum keluarga mereka yang terdekat,” ujarnya ketika ditemui Teganukita semalam.

Katanya, puisi yang dihasilkan mestilah asli dan menggunakan bahasa Melayu, bertulisan fon 12 dan jenis tulisan Arial atau Times New Roman.

 ‘Selain itu, karya yang dihasilkan hendaklah asli dan belum pernah diterbitkan oleh mana-mana pihak,” ujar beliau. Pertandingan sayembara anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama PELITA ini mensyaratkan setiap karya yang dihantar melalui pos atau emel akan menjadi hak milik pihak penganjur.

 “ Kepada sesiapa yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan dengan barisan urus setia sayembara. “Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan Abdul Mubin Ismail (0199532200) atau Kamarulzaman Ismail (0179660538), tambahnya.

 

Jadilah seorang penderma organ - isteri MB

To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud diberi penerangan mengenai kempen kesedaran pendermaan organ.
Oleh; Esah Abdullah

Penderma organ masih kurang di negeri ini  iaitu 1,700 orang dan jumlah ini jauh berbeza dengan bilangan sebenar rakyat yang ada.

Yang Dipertua Persatuan Badan Amal dan Kebajikan Isteri wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) yang juga isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, pendermaan organ kurang mendapat sambutan walaupun kempen kesedaran giat dilakukan.

Katanya, pada 2006 hingga hanya terdapat 88 orang pengikrar diikuti 438 (2010) dan 535 orang tahun lalu manakala sehingga Julai tahun ini terdapat 422 orang.

"Ini menunjukkan penerimaan rakyat di negeri ini semakin meningkat, namun usaha gigih perlu berterusan bagi meningkatkan lagi kesedaran orang ramai di negeri ini," katanya di majlis perasmian Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, sejak program ini diperkenalkan pada 1975, hanya dua orang saja yang berjaya membuat pemindahan organ di negeri ini.

 Menurutnya, bilangan pesakit sentiasa meningkat setiap tahun di negara ini dan sehingga Julai tahun ini 15,000 pesakit sedang menunggu buah pinggang di mana bilangan ini tidak termasuk pesakit yang menunggu pemindahan jantung, hati dan paru-paru.

 “Penderitaan yang mereka alami bukan setakat menderita akibat penyakit sebaliknya mengalami bebanan dari seri kewangan, mengalami tekanan emosi di samping berkorban masa untuk mendapatkan rawatan,” katanya.


Katanya, setiap tahun kerajaan memperuntukkan belanja untuk pembangunan kesihatan dan perubatan namun semua itu tidak akan memberi makna sekiranya rakyat tidak bersama kerajaan dalam merealisasikan hasrat tersebut.

Tambahnya, pemindahan organ dan tisu salah satu cabang rawatan yang terbukti dapat menyelamatkan nyawa serta meningkatkan kualiti hidup seseorang pesakit, tetapi jika tiada pendema tiadalah berlaku pemindahan organ.

“Sebagai rakyat yang pemurah dan prihatin marilah sama-sama berikrar sebagai penderma organ dan maklumkan hasrat murni ini kepada keluarga agar bila berlaku kematian keluarga tidak ragu-ragu untuk memberi keizinan,” katanya.

Menurutnya, tiada halangan dari segi undang-undang dan agama kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan pendermaan organ diharuskan dalam Islam.

 

Warga ILP Kuala Terengganu diminta bersama-sama tingkatkan produktiviti kerja

 Oleh: Suriati Ali 

Warga Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu diminta bersama-sama berusaha gigih bagi mencapai transformasi minda dan peningkatan produktiviti kerja.


Pengarah ILP itu, Encik Abdul Halim Abd Rahman, berkata kita sewajarnya mengamalkan pemikiran kritis dan konstruktif dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam dengan penyelesaian secara kreatif dan inovatif.

 Katanya, dia tidak mahu melihat budaya `automasi’ menjadi satu hakikat dalam sektor awam.

“Kita hendaklah sentiasa berfikir di luar kotak kebiasaan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Hari Kreativiti dan Inovasi ILP Kuala Terengganu, di Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Haji Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali itu turut dihadiri Dekan Fakulti Pengajian Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Wan Mohd Norsani Wan Nik.

Sebanyak 13 kumpulan daripada pelbagai jurusan mengambil bahagian dalam Pertandingan Rekacipta dan Inovasi.



Program itu diadakan bagi memberi pendedahan dan pengiktirafan kepada pelajar supaya bijak meneroka pembaharuan atau inovasi sesuatu produk berkaitan bidang yang diceburi.

Encik Abdul Halim, dengan lahirnya budaya inovasi, ia dapat meningkatkan pembudayaan kreativiti, budaya kerja berpasukan dan pemuliharaan aset organisasi dan mengurangkan pembaziran.

“Proses membudayakan inovasi bukan hanya memfokuskan kepada ruang yang sempit iaitu menglibatkan penghasilan kerja semata-mata malah perlu dilihat dari pelbagai sudut,” katanya.

 




Tidak berhasrat balik Kelantan

Oleh; Esah Abdullah

Saya tidak berminat untuk balik ke negeri asal saya Kelantan sebaliknya serasi dan selesa menjadi pendidik di negeri ini kerana pelbagai kemudahan pendidikan disediakan kerajaan negeri untuk pelajar dan guru di sini.

Cik Rubinidevi a/p Velod, 26, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Kuala Terengganu menyatakan demikian ketika ditemui di majlis Pengagihan Komputer Riba kepada Guru-guru Tahun 5, di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Beliau yang mengajar bahasa Inggeris bagi Tahun 2 dan 5 merasa beruntung kerana ditugaskan ke negeri ini setelah tamat pengajian di Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras dua tahun lalu.

 “ Kerajaan negeri ini begitu ambil berat terhadap perkembangan pelajar-pelajar dan juga guru di negeri ini malah kalau diberi pilihan saya ingin terus berkhidmat di sini,” katanya yang turut menerima komputer riba daripada Menteri Besar.


Sementara itu Encik Tan Chong Huat, 57, guru SK Gong Kapas Kuala Terengganu menyifatkan apa yang dilaksana keajaan negeri bertepatan dengan zaman siber yang semua urusan berada dihujung jari.

“Sekarang pelajar dan guru bertukar nota pelajaran melalui kemudahan IT di mana guru menghantar soalan latihan terus ke e-book milik pelajar,” katanya yang berpengalaman 32 tahun menjadi pendidik.

Katanya, apa yang kerajaan rancang hari ini untuk kebaikan pelajar itu sendiri apabila berada di pusat pengajian tinggi nanti kerana di sana semua nota pembelajaran tidak lagi menggunakan kertas sebaliknya melalui talian terus.


Manakala Wan Shamsuria Wan Lias, guru SK Kijal Kemaman berkata ramai rakan sealiran yang bertugas di luar Terengganu menyatakan cemburu dengan pelajar dan guru di negeri ini yang mendapat perhatian lebih dari kerajaan.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan yang memberi banyak kemudahan kepada para guru bagi melancarkan tugasan di sekolah contohnya komputer riba untuk menyimpan makumat pelajar bagi bagi persekolah tahun depan,” katanya.

 





Borang untuk bekas tentera tidak berpencen diedar hari ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cawangan Kelantan dan Terengganu akan mengedar 50,000 keping borang permohonan untuk bekas tentera tidak berpencen di kedua-dua negeri itu bermula hari ini.

Pengarah JHEV Cawangan Kelantan dan Terenganu, Mejar Abu Bakar Siddik Sulaiman, berkata pihaknya menganggarkan terdapat kira-kira 12,000 bekas tentera tidak berpencen di Terengganu dan 32,000 orang di Kelantan.

"Namun, jumlah sebenar hanya diketahui apabila mereka ini tampil untuk mendapatkan borang permohonan yang akan melayakkan mereka menerima sumbangan RM1,000 seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dalam pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini.

 "Sehubungan itu, jabatan berharap agar semua bekas tentera tidak berpencen ini supaya mengambil borang yang mula dikeluarkan esok dan tamat pada 30 Nov ini," katanya.

 Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat prosedur sumbangan itu kepada ketua-ketua cawangan daerah dan anggota jawatankuasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

 

JKM sedia peruntukan RM630,000 hadapi banjir

Oleh: Noraini Jusoh 

Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan kira-kira RM630 ribu sebagai persediaan menghadapi ancaman banjir tahun ini.


Pengarah JKM, Encik Zuhami Omar berkata, peruntukan tersebut bertujuan untuk membeli barangan keperluan harian untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir nanti.

“JKM akan menyediakan keperluan asas seperti beras, gula selain menyediakan selimut, tikar dan tuala untuk mangsa-mangsa banjir,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Barang-barang tersebut akan dihantar ke 110 pusat pangkalan hadapan di seluruh daerah di negeri Terengganu, terutamanya kawasan-kawasan yang biasa dilanda banjir.

"Jika dahulu Kuala Berang antara tempat yang selalu dilanda banjir tetapi kini keadaan sudah berubah dan fenomena banjir sukar diramal akan melanda kawasan mana, justeru pihak kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga," ujarnya.

Beliau berkata, tahun ini 353 buah pusat pemindahan terdiri daripada sekolah, balai raya, masjid dan surau yang dapat menampung hampir 49 ribu mangsa banjir disediakan di seluruh negeri ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian banjir di kawasan mereka agar pihak berwajib dapat menghulurkan bantuan dengan kadar segera.


Umno siap siaga hadapi PRU 13

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umno Terengganu siap siaga dalam semua aspek bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU), termasuk menggerakkan jentera pilihan raya di setiap peringkat dan menyediakan bilik gerakan di semua peti undi, bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).



Penelitian terperinci panel hakim bagi Pertandingan Kecemerlangan Kesiapsiagaan Peti Undi Negeri Terengganu, mendapati jentera parti Umno telah melakukan persiapan rapi dan teratur serta moral dan keyakinan petugas menghadapi PRU 13 berada pada tahap maksimum.

Malah, lebih membanggakan apabila panel tersebut mendapati peti-peti undi Umno di seluruh negeri telah membuat bacaan sikap pengundi di kawasan masing-masing secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti pengundi luar, bagi rujukan pucuk pimpinan parti.


Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata panel hakim itu yang dilantik Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu bagi meneliti persiapan jentera parti di seluruh negeri memulakan tugas mereka di Peti Undi Pasir Akar (DUN Hulu Besut, Bahagian Besut), pada 5 Oktober lalu.

“Bagi mengadili persiapan peti-peti undi berkenaan, peneltian panel hakim ini meilputi persiapan di kalangan kepimpinan Umno dari peringkat cawangan, peti undi, DUN, Bahagian hinggalah kepada Badan Perhubungan Umno Negeri.

“Dalam lawatan di setiap peti undi yang telah ditetapkan, pihak kami turut menilai organisasi yang ada, termasuk sayap-sayap parti, Pemuda, Wanita, Puteri, DUN dan Parlimen,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, panel hakim berkenaan turut menilai portfolio yang diwujudkan di peringkat peti undi bagi mengendalikan urusan pilihan raya seperti jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi, jawatankuasa penerangan, kewangan, perbekalan, ‘polling and counting agent’, keselamatan, pengundi luar dan Ketua 5/Ketua 10.

“Panel juga turut menilai persiapan dari segi penyediaan perayu-perayu undi, gerak mesra, Teknologi Maklumat (IT) dan tugas-tugas khas,” tambah beliau.

Haji Shamsuddin berkata, bagi menjayakan pertandingan itu lapan peti undi dipilih bagi mewakili lapan bahagian iaitu Pasir Akar (Besut), Tempinis (Setiu), Sekayu (Hulu Terengganu), Jeram (Kuala Nerus), Bukit Besar (Kuala Terengganu), Atas Tol (Marang), AMBS (Dungun) dan Beris Meraga (Kemaman).

“Panel hakim melawat peti undi terakhir semalam iaitu peti undi Sekayu di Kampung Durian Bador yang terletak dalam DUN Telemong dan Bahagian Hulu Terengganu,“ katanya.

Beliau berkata, panel penilai pertandingan kali ini lebih menarik kerana selain dianggotai Badan Perhubungan Umno Negeri, ianya turut disertai sama oleh wakil dari empat agensi kerajaan iaitu Ukom, Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Jasa dan Kemas di mana orang yang sama melawat kelapan-lapan peti undi yang dipilih dan proses penghakiman selesai dilakukan selama sebulan ini.

“Dalam hal ini, saya pasti keputusan yang bakal diumumkan nanti adalah adil dan saksama. Pihak panel hakim juga akan membuat keputusan berdasarkan prestasi dan kekemasan persediaan peti undi itu sendiri tanpa dipengaruhi unsur-unsur politik dalaman,” ujarnya.





Tadika YIT pilihan ibu bapa

Oleh:Noraini Jusoh 

Tadika Yayasan Islam Terengganu (TYIT) merupakan pilihan utama ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan awal pra-sekolah berikutan sistem pengajaran dan pembelajarannya yang ternyata berkesan.

 Pengarah YIT, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail, berkata tadika berkenaan telah ditubuhkan sejak tahun 1976 dan mula beroperasi di daerah Kemaman.

“Sejak penubuhannya kira-kira 36 tahun yang lalu, tadika YIT telah berkembang ke seluruh daerah dan buat masa ini kita ada 18 buah tadika dan tahun depan tiga buah tadika lagi bakal beroperasi di Seberang Takir, Kijal dan Ketengah Jaya,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Selari dengan matlamat kerajaan negeri untuk melahirkan anak-anak yang berilmu dan seimbang dari segi rohani dan intelektual, sistem pembelajaran di tadika YIT menggunakan sukatan pelajaran mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia, tetapi melebihkan pendidikan agama Islam.

“Sistem pembelajaran kita sama dengan pra-sekolah cuma kita lebih fokus kepada bidang agama dan untuk tahun ini kita mempunyai 3,600 kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 5 hingga 6 tahun belajar di tadika YIT.

“Apa yang membanggakan mereka menunjukkan prestasi cemerlang menerusi program pintar al-Quran yang mula diperkenalkan oleh YIT sejak tahun 2006 dan baru-baru ini ramai yang telah berjaya khatam al-Quran,” katanya.

Sehubungan itu, bagi merealisasikan generasi Ulul Albab yang diinspirasikan oleh kerajaan negeri, tanggungjawab mendidik anak-anak kecil seharusnya tidak hanya di tadika tetapi pendidikan di rumah juga penting. “Kanak-kanak ibarat kain putih dan menjadi tanggungjawab ibu bapa mencorakkannya supaya mereka menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat,” tambah beliau.


31 October 2012

Graduan ILP jadi perhatian industri

Oleh: Suriati Ali

 Kebijaksanaan Institut Latihan Perindustrian (ILP) melatih pelajar mengikut peredaran semasa membuatkan graduan institut itu menjadi perhatian dan rebutan industri terkemuka di negara ini.


Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Haji Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali, berkata berdasarkan rekod setiap tahun, kira-kira 88 peratus daripada 9,000 jumlah graduan berjaya mendapat pekerjaan selepas enam bulan atau setahun menamatkan pengajian.

Manakala bagi ILP Kuala Terengganu pula, hampir 93 peratus daripada 1,200 graduan tahun lalu berjaya mendapat pekerjaan di pelbagai industri dengan anggaran gaji permulaan RM1,200 sebulan.

“Lebih lama mereka bekerja, di samping menampilkan komitmen tugas berkualiti, lebih mahal gaji yang ditawarkan, ada kalanya boleh mencecah RM3,000 sebulan.

 “Angka yang dicatatkan itu, merupakan peratusan membanggakan sekaligus membuktikan `produk’ keluaran ILP berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran industri,” katanya.



Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kreativiti dan Inovasi ILP Kuala Terengganu, di Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Pengarah ILP Kuala Terengganu, Encik Abdul Halim Abd Rahman dan Dekan Fakulti Pengajian Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Wan Mohd Norsani Wan Nik.



 Sempena program itu, sebagai 13 peserta daripada pelbagai jurusan mengambil bahagian dalam Pertandingan Rekacipta dan Inovasi. Haji Syed Mohamad Noor turut memberitahu, pihaknya ada menubuhkan Unit Pemantauan Graduan bagi mengesan lebihan graduan yang masih menganggur.

“Jika mengetahui terdapat mana-mana industri memerlukan tenaga kerja, kita akan cadang mereka yang masih mencari kerja supaya bertugas di industri itu.

“,Melalui pendekatan ini, tiada lagi istilah graduan ILP bermungkinan menganggur, jika ada pun, ia berpunca daripada sikap graduan itu sendiri yang malas bekerja atau tidak mahu merantau,” katanya.

 Katanya, apa menyedihnya, ada juga kes mereka sudah pun mendapat pekerjaan tetapi hanya bertahan dua atau tiga bulan saja. Alasan berhenti cukup remeh iaitu tidak sesuai dengan jiwa.

 “Saya ingin mengingatkan pelajar yang masih belajar supaya jangan bersikap sedemikian apabila mendapat pekerjaan nanti.

“Tindakan itu bukan saja boleh menjejaskan imej ILP malah boleh menghilangkan kepercayaan industri terhadap keupayaan dan prestasi pelajar lain yang baru memohon pekerjaan,” katanya.


 

Asdi agih pendapatan 3.0 sen seunit bermula esok

Oleh: Aida Abd Rahman

Tabung Amanah Saham Darul Iman (Asdi) akan mengagihkan pendapatan 3.0 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir hari ini kepada 24,250 pelabur tabung unit amanah itu, bermula esok.

Agihan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM12.68 juta bakal dilaksanakan dalam bentuk 2.0 sen tunai dan 1.0 sen bonus unit.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah (gambar kanan), berkata berdasarkan keuntungan yang boleh diagihkan berjumlah RM12.89 juta, Pengurus Asdi, PTB Unit Trust Berhad menutuskan untuk mengagihkan pendapatan 3.0 sen seunit yang juga pulangan bersamaan 7.25 peratus berdasarkan nilai tabung seunit RM0.414 pada awal tahun kewangan.

“Bagi keseluruhan tahun kewangan sehingga 29 Oktober lalu, nilai aset bersih (NAB) Tabung Asdi meningkat RM17.86 juta atau 10.58 peratus menjadi RM186.66 juta berbanding awal tahun kewangan RM168.80 juta.

“Sementara NAB seunit bertambah sebanyak RM0.0277 atau 6.7 peratus dari RM0.4140 kepada RM0.4417,” katanya di sidang media sejurus selesai Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Mazlan berkata, bagi tahun kewangan hingga 29 Oktober lalu juga, Asdi berjaya merekod pendapatan yang direalisasikan berjumlah RM15.93 juta sebelum ditolak perbelanjaan berjumlah RM2.93 juta dan peruntukan cukai RM0.46 juta yang menghasilkan jumlah keuntungan bersih selepas cukai RM12.89 juta.

Katanya, jumlah keuntungan yang direalisasikan bersih itu juga bersamaan 3.05 sen seunit berbanding RM8.91 juta bersamaan 7.25 peratus berdasarkan nilai tabung seunit RM0.414 pada awal tahun kewangan ini.

Untuk rekod, Asdi merupakan tabung unit amanah yang berteraskan syariah dilancarkan pada 31 Oktober 1994 dengan saiz tabung yang diluluskan berjumlah 500 juta unit.

Sehingga 29 Oktober lalu, sejumlah 422.60 juta unit Asdi dilanggan oleh 24,450 pelabur. Selain itu, sepanjang tempoh penubuhannya Asdi sudah mengagihkan pendapatan berjumlah RM329.17 juta atau 74 sen seunit (70 sen agihan tunai dan 4 sen bonus unit) yang menjadikan purata agihan pendapatan setahun berjumlah 4.11 sen seunit.