Halaman

06 November 2012

JANGAN SILAP TAFSIR MENGENAI AYAT ALQURAN TIDAK ADA PAKSAAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Ahli Dewan Undangan Negeri Adun Tepoh, Haji Mohd.Ramli Noh menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengenai kebebasan beragama, termasuk kepada orang Melayu amat mengelirukan dan boleh menyesatkan umat Islam.

 Katanya, penafsiran Ahli Parlimen Lembah Pantai tentang tiada paksaan dalam beragama di dalam ayat al-Quran surah al-Baqarah (ayat 256) amatlah tidak tepat.

Firman Allah s.w.t, "Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.

Ayat itu bukannya memberi makna orang Melayu yang telah Islam tidak boleh dipaksa kekal dalam agama Islam dan boleh juga memilih agama lain, sebagaimana tafsiran Nurul Izzah kerana ahli tafsir menafsirkan bahawa ayat ini dituju kepada orang yang belum memeluk Islam dan jika mahu mereka memeluk Islam hendaklah bukan dipaksa tapi atas kerelaan dan kefahaman hasil dari dakwah.

Kata Haji Mohd.Ramli, tafsiran yang sebenar ayat tersebut bahawa orang Islam tidak boleh memaksa orang kafir untuk masuk Islam, namun jika sekiranya mereka telah Islam, dia mesti atau wajib mengikut ajaran dan peraturan yang telah ditetapkan Islam dan boleh dihukum menurut hukuman Islam jika membuat kesalahan yang bertentangan dengan hukum Islam.

Agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain atau disebut sebagai fahaman pluralisme di mana semua agama dianggap sama sahaja, katanya kepada Pengarang Teganukita mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah yang berpendapat kebebasan agama juga bukan sahaja kepada bukan Islam, tetapi setara, melibatkan orang Melayu (Islam) juga.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu menyifatkan kenyataan NurulIzzah itu cukup mengelirukan dan boleh menyesatkan.

 

Belanja RM3 juta sedia 135,620 topi keledar untuk pengguna jalan raya

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak RM3 juta diperuntukkan Kementerian Pengangkutan melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) bagi menyediakan 135,620 topi keledar untuk diagihkan secara percuma kepada pengguna jalan raya sejak 2009 hingga Julai lalu.

Menterinya, Dato’ Seri Kong Cho Ha, berkata pemberian topi keledar termasuk kepada kanak-kanak yang membonceng melalui siri kempen keselamatan jalan raya bagi menyedarkan mereka mengenai kepentingan pemakaian topi itu.

"Inisiatif program itu banyak membantu dalam pengurangan kes kemalangan maut yang melibatkan kecederaan kepala penunggang dan pembonceng motosikal," katanya yang juga Pengerusi MKJR. Beliau berkata demikian dalam majlis Makan Malam dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke 53 MKJR Malaysia di Wisma Darul Iman di sini, malam kelmarin (3 November).

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Dato’ Yap Kin Sian. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Setiausaha Agung MKJR merangkap Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Leslie Leon dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Wong Shaw Voon.

Dato' Seri Cho Ha berkata kerajaan juga memperkenalkan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya kepada pelajar sekolah rendah sejak 2008 secara berperingkat-peringkat sebagai satu usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di peringkat awal.

 

05 November 2012

Kerajaan sasar 50,000 rumah siap menjelang akhir tahun

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan berjaya menyiapkan 41,555 buah rumah sehingga ini di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di seluruh negara.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW), Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal berkata, daripada jumlah itu 13,741 merupakan pembinaan baru manakala 27,814 adalah membaik pulih.

 “InsyaAllah sasaran kerajaan membina 50,000 buah di bawah PBR berjaya dicapai menjelang bulan Disember nanti,” katanya di majlis Penyerahan Kunci Rumah PBR dan Sijil Penghargaan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) 2012 di Bandar Al-Muktafi Billah Shah Dungun hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKLBW, Dato’ Ibrahim Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Dato’ Haji Din Adam ; Adun Air Putih YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Haji Wan Mat Amin Wan Daud.

Katanya, kerajaan berharap bantuan yang diberikan dapat membantu rakyat menjalani kehidupan yang lebih selesa dan dimanfaat sepenuhnya oleh ahli masyarakat selain menjadi manifestasi kepada komitmen kerajaan membantu rakyat yang memerlukan.



Katanya, kementerian turut merangka program membantu anggota isi rumah dari keluarga miskin dan miskin tegar untuk mendapatkan kemahiran dan seterusnya peluang pekerjaan yang bersesuaian melalui kursus kemahiran dalam pelbagai bidang.

“Ini penting sebagai satu cara untuk menambah pendapatan mereka bagi memperbaiki taraf hidup masing-masing iaitu apabila anak-anak mereka memperolehi pekerjaan yang baik dan mampu memberikan keselesaan,” katanya.

Beliau seterusnya mengucapkan syabas kepada pihak Ketengah yang menjayakan PLKK untuk membantu penduduk meningkatkan kemahiran dan kebolehan dalam usaha mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.

“Saya harap kursus kursus-kursus yang dijalani dapat membantu mereka memperbaiki nasib keluarga dan sebolehnya keluar dari kelompok golongan miskin atau miskin tegar dan insyaAllah program ini akan berjalan terus bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak muda memiliki kemahiran yang bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu seramai 30 daripada 70 penerima bantuan baiki rumah menerima kunci rumah masing-masing serta 195 pelatih berjaya menamatkan pelbagai kursus jaya diri di bawah Ketengah melalui usahasama enam syarikat pengendali kursus.

 



Pembinaan Taman Ilmu di Bukit Dendong,Besut diteruskan.


Sebahagian komponen bangunan Taman Ilmu yang sudah siap

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan Taman Ilmu di Bukit Dendong,Besut, menjadi gajah putih sebaliknya usaha meneruskan pembinaan kompleks berkenaan akan terus diberi perhatian.

Menteri Besar,Dato’Seri Ahmad Said berkata, tidak timbul isu Taman Ilmu akan diberhentikan pembinaanya, sebaliknya memberi jaminan kerajaan akan memberi syarikat dari Korea untuk meneruskan beberapa kompenen yang belum disiapkan di situ.

Menteri Besar berkata, Taman Ilmu yang akan menempatkan pelbagai kolej universiti dari luar negara akan menjadi pusat ilmu dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Kompleks berharga 180 juta yang dibina pada 2008 terletak di pinggir pantai di Bukit Dendong, sebelum ini menjadi kebimbimbangan penduduk tempatan kerana kemungkinan ia akan terbiar dan menjadi gajah putih kerana gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Malah, beberapa NGO berasaskan pendidikan dari daerah Besut, pernah menghantar memorendum kepada kerajaan negeri supaya memprcepatkan pembinaan kompleks terbabit.

Ahmad berkata, tawaran kepada syarikat dari Korea itu diharap dapat mempercepatkan beberapa komponen bangunan yang ada di situ .

Ketika ini beberapa bangunan termasuk masjid, perpustakaan, dan bangunan pentadbiran giat dibina.

Menurut Ahmad, Taman Ilmu bakal mengubah landskap daerah Besut kepada daerah pendidikan kedua negeri ini selepas Dungun yang mempunyai pusat berasaskan pelajaran.

Beliau berkata, kompleks itu akan menempatkan beberapa universiti kolej yang akan menerima pelajar tempatan dan luar negeri apabila ia dijangka dapat beroperasi sepenuhnya akhir 2013.

Kerajaan sasar lahir 40,000 usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan mensasarkan untuk melahirkan 40,000 usahawan sepanjang lima tahun di bawah Pelan Strategik MARA 2011-2015.



Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tahun lepas seramai 10,552 usahawan berjaya dilahirkan dan 90 usahawan adalah di bawah program ‘groom big’.

“Tahun ini kita mensasarkan untuk melahirkan seramai 11,000 usahawan dengan 100 usahawan ‘groom big’,” katanya di majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Bandar Al Muktafi Billah Shah Dungun hari ini.

 Hadir sama, Ketua Pengarah MARA, Dato’ Ibrahim Ahmad; Ketua Pengarah Kemas, Tuan Hassan Mohd Amin dan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud.

Katanya, dalam mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) MARA mempunyai kapasiti melalui integrated approach di mana pelbagai fasiliti dan kemudahan awam disediakan di bawah satu bumbung meliputi khidmat nasihat, latihan, pembiayaan perniagaan, mewujudkan premis perniagaan, inkubator dan pensijilan.

“Tahun lepas MARA telah mengeluarkan pembiayaan perniagaan melebihi RM400 juta melibatkan 6033 permohonan dan kita akan memberi fasiliti seperti ini kepada usahawan yang bernaung di bawah Ketengah,” katanya.

Katanya, dari segi pendidikan MARA sedang mengembangkan kecemerlangan pendidikan sedia ada untuk dipasarkan hingga ke peringkat global dan yakin kualiti pendidikan berkualiti bertaraf dunia merupakan satu pelaburan jangka panjang yang berdaya maju dan mampu menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara.

Tambahnya melalui kerjasama strategik ini pihaknya mensasarkan 350 orang pelajar cemerlang bagi pengambilan pertama tahun depan untuk melanjutkan pengajian peringkat persediaan iaitu A-level dan International Baccalaureate di Kolej Ketengah yang dulu dikenali Kolej Risda sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka di luar negara.

 “Model pendidikan di Kolej Ketengah ini akan menggunakan pendekatan sepertimana Kolej MARA Banting (KMB) dan Kolej MARA Seremban (KMS) yang telah mencapai prestasi terbaik selama 10 tahun,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kemudahan Kolej Ketengah yang dilengkapi 16 bilik kuliah, sebuah dewan utama dan auditorium, kompleks sukan (padang bola sepak,tenis, futsal) serta asrama yang selesa, tenaga pengajar yang profesional dan berpengalaman dari MARA.

“Saya yakin perkongsian kepakaran dan kemahiran peajar kolej ini mampu memberikan satu pencapaian ampuh dalam memacu kecemerlangan sepertimana yang dicatat oleh KMB dan KMS,” katanya.

Hadi tanding Pekan hanya gimik politik Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umno Terengganu menganggap kenyataan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti sebagai gimik politik murahan parti itu.

Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif  Abd Rahman (gambar) berkata, Presiden Pas itu tidak akan sanggup meninggalkan kerusi tradisi beliau iaitu Parlimen Marang, untuk menentang Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pekan pada PRU 13.

“Itu hanya gimik politik murahan Pas yang bertujuan untuk menghangatkan suasana politik semasa. Hari ini Pas tidak ada modal politik lagi bagi menarik orang ramai menyokong perjuangan parti itu, lalu mereka mengadakan cerita murahan seperti ini,’”katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi kelmarin bahawa beliau sedia bertanding di Pekan pada PRU 13 yang kini disandang Perdana Menteri.

Presiden Pas itu berkata, beliau akan mematuhi apa saja keputusan yang dibuat oleh Pas dan sedia beralih kerusi jika diputuskan demikian.

“Kita tidak yakin Presiden Pas akan meninggalkan kerusi Marang dan bertanding di kawasan Parlimen Pekan,” kata Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersedia menghadapi tentangan daripada Presiden Pas untuk bertanding di mana-mana kerusi di seluruh negara.

“Kita sentiasa bersedia untuk menentang bukan saja Presiden Pas, tetapi semua pemimpin parti itu,’ ujar beliau.


JPN anjur program pendidikan kebersihan

Oleh: Noraini Jusoh

 Majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan program pendidikan kebersihan kawasan sekolah peringkat negeri Terengganu 2012 telah berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.

 Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh adik Ahmad Fadhlur Ridhwan Ahmad Sabri dari Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) SMK Panji Alam yang merupakan johan dalam acara hafazan peringkat kebangsaan sempena majlis tilawah al-Quran pendidikan khas peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin berkata, pertandingan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama JPNT ini antaranya bertujuan membudayakan amalan menjaga kebersihan di kalangan pelajar sekolah.

 “Terdapat pelbagai kategori yang telah dipertandingkan dan apa yang membanggakan ianya turut melibatkan murid Orang Asli dan Pendidikan Khas.

“Bagi kategori murid Orang Asli antara pertandingan yang telah diadakan ialah pidato bahasa Melayu, pidato bahasa Inggeris, dan pertandingan mewarna, di mana johan menerima RM200, naib johan RM150 dan ketiga RM100 beserta sijil, plak dan mock cheque bagi setiap pemenang,” ujarnya dalam ucapan aluan majlis tersebut.

 Katanya, pemenang mewarna sekolah rendah kategori sindrom down dan pertandingan melukis poster sekolah menengah bagi kategori yang sama turut menawarkan hadiah serupa seperti yang dimenangi murid Orang Asli.

YB Tuan Haji Ramlan Ali merangkap Timbalan Pengerusi 1, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri telah menyempurnakan majlis perasmian penyampaian hadiah bagi pertandingan program pendidikan kebersihan pada kali ini.

 

Penghuni Pangsapuri Ladang bersatu

Oleh: Noraini Jusoh 

Perbezaan fahaman politik tidak menjadi penghalang kepada penghuni pangsapuri Ladang Gemilang 1 mengadakan aktiviti kemasyarakatan secara bersama.

Ketua Wanita Umno, Pangsapuri Ladang Gemilang 1, Puan Salbiah Yusof berkata, walaupun terdapat perbeza fahaman politik, kaum wanita di sini khususnya sentiasa bekerjasama dan saling tolong menolong menjayakan sesuatu aktiviti yang dianjurkan.

“Sebagai contoh, melalui program salam sayang yang pihak kami anjurkan ini umpamanya, selain dapat berkumpul mengadakan majlis bacaan yasin yang dapat mengeratkan silaturahim di antara penduduk, program sebegini juga dapat membuka ruang kepada penghuni di sini duduk berbincang menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi.

“Melalui perbincangan, kita dapat meyelesaikan sesuatu isu yang timbul dengan lebih berkesan tanpa perlu menunding jari kepada pihak-pihak tertentu,” ujarnya ketika ditemui Teganukita selepas selesainya program tersebut, semalam.

Puan Salbiah berkata, hubungan seperti adik beradik antara penghuni pangsapuri terbabit memudahkan mereka berurusan.

 “Saya sangat berpuas hati kerana program salam sayang pada kali ini mencapai sasaran kerana sebahagian besar yang hadir terdiri daripada pembangkang.

 “Tujuan pihak kami menganjurkan program sebegini sebenarnya adalah untuk memberi penjelasan lanjut kepada kaum wanita khususnya mengenai isu-isu yang sering diputarbelitkan oleh pihak pembangkang terutamanya isu hak milik pangsapuri Ladang Gemilang 1.

 “Justeru, pihak kami telah menjemput Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh untuk memberi keterangan lanjut serta membuka peluang kepada penghuni disini mendapat penjelasan daripada Dato’ secara terus,” ujarnya.

 Katanya, dalam perkembagan lain, Persatuan Wanita Umno Pangsapuri Ladang Gemilang 1 turut aktif menganjurkan aktiviti kemasyarakatan lain, antaranya seperti majlis sebatang kara, gotong royong membersihkan surau serta aktiviti ziarah orang sakit untuk mengekalkan hubungan baik antara mereka yang telah lama terjalin.

 

Jawatankuasa Pengundi Luar Parlimen Marang sangat aktif

Oleh : Amirullah Othman 

Seramai 250 orang Jawatankuasa daripada semua Pusat daerah mengundi (PDM) dalam Parlimen Marang telah hadir ke Angullia Beach Resort semalam.

 Program ini turut dihadiri oleh Y.B Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar selaku Pengerusi Pengundi Luar dan NGO’S Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Encik Othman Endut Setiausaha Pengundi Luar dan NGO’S Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Encik Anuar Yahya Pengerusi Pengundi Luar UMNO Bahagian Marang, Pengerusi Pengudi luar UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Pengerusi Pengundi Luar UMNO Bahagian Kuala Nerus, Pengerusi Pengundi Luar UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Pengerusi Pengundi Luar UMNO Bahagian Setiu serta semua pengerusi dan setiausaha pengundi luar Pusat Daerah Mengundi(PDM) dalam Bahagian Marang.

Dalam perjumpaan ini banyak amanat yang disampaikan Dato’ Abdul Rahman yang inginkan semua jawatankuasa bersiap sedia kerana perjuangan dan peperangan sangat hampir sekarang.

Beliau turut mengingatkan semua jentera parti supaya ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan sentiasa bersemangat untuk parti tercinta Barisan Nasional dan bukannya merasa lemah semangat apabila calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan tidak memenuhi kehendak mereka.

 Jentera pengundi luar yang hadir dalam pertemuan semalam amat berpuas hati kerana mereka dapat meluahkan segala permasalahan yang telah dialami sebelum ini seperti sumber kewangan yang tidak cukup untuk diberikan kepada pengundi luar yang balik mengundi, jumlah duit tidak setimpal dengan kos tambang balik terutamanya kepada pengundi yang bekerja di Sabah dan Sarawak.

 Segala permasalahan ini dapat di jawab dan mampu menyelesaikan kekusutan yang sering berlaku sebelum ini. Ini merupakan satu program yang sangat baik untuk menuju ke arah kemenangan Barisan Nasional di Malaysia, Terengganu dan khasnya di Marang.

 

MAYC Marang anjur Program Santai Belia.

Oleh : Amirullah Othman 

Untuk memenuhi hasrat belia Marang untuk duduk semeja bersama pemimpin setempat, MAYC kawasan Marang bersama-sama Persatuan Belia Pengadang Baru dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Marang menganjurkan program yang di beri nama “Program Santai Belia”, semalam.

Program ini berjaya mengumpulkan seramai 300 orang belia untuk bersoal jawab tentang isu-isu semasa bersama pemimpin setempat dan dijamukan dengan ayam bakar dan mee goreng oleh Persatuan Belia Pengadang Baru.

Turut hadir dalam program itu ialah Y.B Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar selaku Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Encik Yahya Mohd Khatib Setiausaha Agung Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan, Encik Amirullah Othman Pengerusi Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu, Encik Mohd Shamsir Mohd Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Encik Jasmira Othman Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Marang, Jawatankuasa JKKK dan Jawatankuasa Kelab-Kelab Belia (MAYC) Kawasan Marang.

 Dato’ Haji Abdul Rahman sangat gembira dengan semangat orang muda di Marang kerana sangat kuat hubungan silaturahimnya apabila kerap bertemu mesra dan mengadakan program-program untuk golongan belia.

Program seumpama ini sangat baik untuk memastikan hubungan generasi Y di Parlimen Marang terus utuh dan selalu berhubungan dengan pemimpin-pemimpin di Marang.

Beliau juga menyatakan rasa bangga dengan komitmen jawatankuasa Kelab-Kelab Belia (MAYC) Kawasan Marang selalu hadir untuk memberikan sokongan kepada semua bentuk program yang dijalankan oleh kerajaan.

 Ini menunjukkan sekarang ini golongan muda mudi telah faham tentang senario politik negara mahu pun negeri Terengganu dan telah tahu hala tuju yang patut mereka sokong. Pada Pilihanraya Umum Ke 13 nanti, undi golongan muda mudi adalah penentu kepada kemenangan Barisan Nasional.

Oleh itu, kerjasama dari golongan belia dan beliawanis amat ditagih untuk membawa seberapa ramai golongan muda untuk terus menyokong dan mengundi Barisan Nasional.