Halaman

12 November 2012

MB lawat projek-projek di Kemaman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melakukan lawatan kerja sehari di daerah Kemaman bagi meninjau beberapa projek besar di sekitar Bandar Cukai.



Dalam lawatan tersebut yang bermula kira-kira jam 9 pagi ini, beliau turut melawat tapak projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang, Projek Membenteng Tebing Sungai Kemaman di Bandar Chukai dan projek menaiktaraf Sungai Chukai Di Bawah Tebatan Banjir Bandar Chukai.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Setiausaha Kejaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustafar Khalid dan ketua-ketua jabatan berkaitan.

Menteri Besar dan rombongan turut menaiki bot menyusuri Sungai Chukai hingga ke Sungai Yakyah bagi melihat ekologi kawasan tersebut.



11 November 2012

MB: Parti PAS tidak kuat di Terengganu.


Dato' Seri Ahmad Said melayani tetamu Veteran UMNO Malaysia

Oleh: Mohammad Ishak 

Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) bakal menyaksikan pilihan raya yang sengit kerana Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja berhadapan dengan pembangkang malah dengan pihak luar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’Seri Ahmad Said,berkta, Terengganu yang pernah berdepan dengan PAS dan dua kali kalah pada pilihan raya mempunyai pengalaman luas untuk berhadapan dengan pembangkang.

Menurutnya, kekalahan pertama pada 1959 dan kedua 1999 bukan disebabkan PAS mempunyai kekuatan di Terengganu sebaliknya semangat jati diri ahli Umno tidak tebal dan mudah menerima pujukkan.

Dato' Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu berkata,kemenangan Pas pada 1999 menjadi kenangan pahit apabila ahli parti itu melakukan pelbagai tindakan sehingga sanggup menghalau kanak –kanak Tadika, menutup balai raya dan menahan kereta Ahli Exco.

“Apa yang menyedihkan  pemimpin Pas tidak berbuat sesuatu terhadap tindakan ahli parti dan begitu angkuh apabila mereka dapat memerintah Terengganu bagi kali kedua,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan ahli Veteran UMNO Malaysia di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, ahli Umno negeri ini bangkit dengan sepenuh semangat untuk menentang kezaliman Pas dan akhirnya berjaya merampas kembali negeri ini ke pangkuan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Pas sebenarnya tidak kuat di Terengganu sebaliknya ramai ahli Umno ketika itu berpaling tadah kerana tidak puas hati terhadap sesuatu menyebabkan mereka mengundi Pas.

Menteri Besar berkata, ketika ini kerajaan negeri mempunyai kekuatan lebih untuk berhadapan pembankang kerana mempunyai beberapa agensi yang ditubuh khas untuk membantu rakyat dan sentiasa turun padang bersama masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua Vetran UMNO untuk sama-sama menyingsing lengan, menyusun langkag dan mara sederap kepemimpinan UMNO untuk mempastikan kejayaan dan kemenangan BN dalam PRU13 nanti.

Kerajaan Terengganu sumbang RM50,000 kepada Yayasan Veteran Umno Malaysia

Oleh: Mohammad Ishak 

Perhimpunan Agung Tahunan Veteran UMNO Malaysia Kali Ke 5 yang berlangsung di Kuala Terengganu membuka lembaran baru kepada organisasi itu apabila mesyuarat berkenaan meluluskan usul penubuhan Yayasan Veteran Umno Malaysia (YVUM).

Penubuhan yayasan itu juga memalui detik bersejarah apabila ahli perwakilan apabila secara sukarela merka mengutip derma kilat untuk tujuan menubuhkan yayasan yang dianggap nadi penting kepada perjuangan veteran untuk mempertahankan maruah bangsa melalui UMNO.

Hasil kutipan kilat dari perwakilan perhimpunan itu berjaya mengumpul RM3,000 daripada 600 perwakilan yang menghadiri persidangan dua hari di sebuah hotel terkemuka di negeri ini.

Bertambah mengembirakan ahli veteran berkenaan apabila Yang Amat Menteri Besar, Dato’Seri Ahmad Said mengumumkan sumbangan RM50,000 kepada yayasan itu sebagai geran pelancarannya.

Ahmad membuat pengumuman itu ketika meraikan kunjungan veteran UMNO pada majlis makan malam di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi  yang turut dihadiri Ahli-Ahli Yang Berhormat negeri ini serta bekas Yang Berhormat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perhimpunan itu, Dato’ Yahya Hashim (gambar) berkata, beliau tidak menyangka sikap perihatin Menteri Besar yang meluluskan peruntukan begitu besar untuk pertubuhan itu menjalankan pelbagai aktiviti untuk ahli dan masyarakat.

Yahya berkata, walaupun ia baru dicetuskan oleh perwakilan tetapi yayan itu diharap dapat memberi peluang ahli mempelbagai aktiviti sosiol dan ekonomi.

Beliau berharap, pimpinan kerajaan negeri di bawah UMNO dapat mencontohi Kerajaan Terengganu yang memberi sumbangan kepada yayasan berkenaan.

Hayati konsep merakyatkan pentadbiran

Oleh: Noraini Jusoh

Kakitangan awam di negeri ini perlu menghayati konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Demikian ditegaskan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dalam ucapannya sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Meraikan Persaraan Kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri (PPAT) 2012 baru-baru ini.

Menurutnya, seseorang yang dilantik sebagai penjawat awam perlulah sentiasa mengutamakan kehendak dan kepuasan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

 “Sebagai contoh, kakitangan yang berkhidmat di PPAT khususnya di bahagian kaunter perkhidmatan yang selalu berhubung dengan orang ramai yang kebiasaannya terdiri daripada pelajar hendaklah sentiasa mempamerkan senyuman supaya mudah didekati golongan sasaran.

“Kebiasaan anak-anak remaja akan lebih selesa sekiranya kakitangan awam menunjukkan sikap ingin membantu dan ini sekaligus dapat menarik mereka datang ke perpustakaan seterusnya memenuhi hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan kecemerlangan anak Terengganu,” ujarnya.

Katanya, kakitangan awam juga hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni serta jauhkan sikap pentingkan diri apatah lagi untuk kepentingan peribadi.

 “Jujur, amanah dan integriti antara sifat yang perlu diamalkan oleh seseorang kakitangan awam supaya produktivi kerja yang mereka tunjukkan akan dihargai serta diberi ganjaran oleh pihak atasan.

 Katanya, dalam usaha membantu kerajaan memodenkan perkhidmatan awam, mereka juga perlu berpengetahuan tinggi terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT).

“Justeru, segala kemudahan infrastruktur yang disediakan oleh pihak kerajaan boleh digunakan sebaik mungkin oleh penjawat awam untuk memajukan diri,” ujarnya.

 

Medan uji pelumba wanita

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan menguji 10 pelumba berbasikal wanitanya dalam berbaki dua kejohanan yang diatur persatuan itu hujung tahun ini.

Ketua jurulatih PLBT, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata ia sebagai pendedahan awal untuk memilih pelumba mewakili Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis.

Semua pelumba wanita itu yang diletakkan di bawah projek Sukma, akan diuji pada Kejohanan Berbasikal Trek Sportexcel di Kuala Lumpur bulan ini dan Kejohanan Grand Prix (GP) Series Sirkit ke-5 di Melaka pada hujung Disember.

“Setakat ini kami ada lapan muka baharu pelumba wanita yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lima daripada mereka berada di Kemaman dan dilatih Ahmad Musa, bekas pelumba berbasikal Terengganu manakala tiga lagi di Kuala Terengganu yang dilatih saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi pelumba sedia ada yang akan bersama lapan pelapis itu ialah Nurul Shuhada Zainal dan Umi Hamimah Ahmad, masing-masing pemenang pingat emas acara lebuh raya dan trek.

 

10 November 2012

Abdullah kecewa sikap membisu pemimpin PAS terhadap Nurul


Sidang Media Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin

Oleh: Mohammad Ishak 

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin kecewa dengan sikap membisu pemimpin Pas terhadap kenyataan yang mengelirukan oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataan kebebasan beragama hak semua kaum termasuk orang Melayu.

Katanya, Presiden Pas, Hadi Awang dan Mursidul Am Pas, Datuk Nik Azik Nik Mat, tidak ubah seperti setan bisu apabila tidak menegur Nurul yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menganggugugat umat Islam malah ia juga bertentangan dengan Islam.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, beliau hairan dengan sikap pemimpin Pas terbabit yang jelas mengambil sikap membisu terhadap kenyataan Nurul yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Menurutnya, Pas yang melebelkan parti Islam dan mendakwa memperjuangan Islam tidak lagi berani untuk mempertahankan hak dan kecusian Islam kerana ingin menjaga kepentingan politk mereka.

“Sepatutnya pemimpin Pas terlebih dahulu tanpil menasihatkan Nurul yang membuat kenyataan yang jelas bertentangan dengan syariat Islam,tetapi mereka hanya membidu,” katanya kepada media di kediamannya di Kampung Alur Lintang, Besut hari ini.

Sebelum itu Abdullah yang mengadakan program sesi minum pagi bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Besut di kediaman beliau.

Beliau memuji tindakan yang dilakukan oleh pelbagai NGO berasaskan Islam yang tanpil menyanggah kenyataan tidak beretika yang dilakukan pemimpin PKR itu.

Pengendali komputer perlu jaga maklumat parti


Peserta kursus pengendali kumputer UMNO Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Pengendali komputer yang bertugas di bilik gerakan dan pusat mengundi perlu beramanah dan tidak membocorkan rahsia parti kepada pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Muhammad Pehimi Yusof yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Besut berkata, banyak maklumat yang terkandung dalam sistem perlu dikawal dan tidak mudah diceroboh oleh pihak lawan.

Oleh itu, sebagai petugas komputer mereka adalah aset penting untuk menjaga rahsia dan maklumat parti daripada dibocorkan yang boleh menjadi modal dan strategi pembangkang terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU13) nanti.

Muhammad Pehimi mengingatkan perkara demikian kepada peserta kursus pengendalian komputer kepada Ketua Peti Undi dan Puteri UMNO Bahagian Besut, di Kem Seri Keluang, dekat Jertih, hari ini.

Kursus sehari anjuran Badan Perhubungan UMNO Terengganu dengan kerjasama Puteri UMNO Besut itu disertai 250 peserta dari seluruh cawangan di bahagian berkenaan.

Beliau berkata, semua petugas hendaklah memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh parti kerana mereka menjadi aset penting menyimpan maklumat parti.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Besut, Che Senah Sulaiman berkata, kursus berkenaan sebagai usaha untuk meningkatkan lagi kemahiran pengendali komputer yang mengandungi pelbagai maklumat dan data parti.

Penerima APC gembira

 Oleh: Noraini Jusoh

“Perasaan saya sungguh gembira sekali apabila tersenarai sebagai antara penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada kali ini.

 “Syukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan kesihatan yang baik kepada saya seterusnya dapat memberikan seluruh komitmen ketika menjalankan tugas yang diamanahkan,” kata Kamarulzaman Mahmood yang merupakan bapa kepada seorang cahaya mata.

Beliau merupakan salah seorang daripada 15 penerima anugerah di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Meraikan Persaraan Kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) 2012 yang berlangsung di Dewan Serbaguna PPAT, baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah telah menyempurnakan majlis pemberian anugerah kepada mereka yang cemerlang.

 Kamarulzaman yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Sains Pengajian Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama 13 tahun.

 “Sebelum ini saya pernah bekerja dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pembantu tadbir dan pernah menerima APC pada tahun 2006.

“Pada tahun 2008, saya berpindah ke bahagian Perkhidmatan Perpustakaan dan Maklumat PPAT dan memegang jawatan sebagai pustakawan,” ujarnya ketika ditemui Teganukita selepas selesai majlis tersebut.

Menurut beliau, majlis menghargai jasa pekerja perlu sentiasa diadakan supaya mereka rasa dihargai seterusnya sebagai pembakar semangat untuk meningkatkan mutu kerja.

 Katanya, anugerah yang diterima juga atas kerjasama yang erat dan saling membantu antara kakitangan PPAT dan berharap rakan sekerjanya yang lain turut berkongsi kegembiraan dengan penghormatan kali kedua yang diterimanya sebagai penerima APC.

 

Kolej Ketengah sedia lapan kursus

Oleh; Esah Abdullah

Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan mengendalikan lapan modul kursus bagi membangunkan usahawan sedia ada terutama yang berdaftar dengan Sistem Maklumat Usahawan (SMU).

Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud berkata, antara kursus yang disediakan termasuklah latihan keusahawanan (window dressing, excellent customer servise dan lain-lain), international business talks, packaging dan labeling.

Katanya, turut menyediakan kursus berkaitan advertising and promotion, khidmat nasihat mendapatkan GMP, HACCP, halal untuk pengusaha makanan, khidmat nasihat untuk mendapatkan ISO serta sistem pengurusan menggunakan ICT.

Katanya, kerjasama Ketengah dan MARA juga meliputi program melahirkan usahawan baru, mewujudkan peluang perniagaan, pembiayaan modal, program latihan, pemasaran dan promosi produk.

 “Kita juga bersedia membina premis perniagaan, kemudahan perkilangan, penjenamaan dan perlabelan serta memaju dan membangunkan usahawan sedia ada,” katanya.

Menurutnya, pihak Ketengah mensasarkan 4,000 orang usahawan dalam wilayah itu mampu dilahirkan melalui program ini dalam tempoh lima tahun.

 

Adi mahu tumpaskan juara empat kali Sukan SEA

Oleh: Aida Abd Rahman

Atlet lontar peluru kelahiran Marang, Adi Aliffudin Hussin yang meraih emas olahraga pertama Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) pada hari pertama kejohanan di Stadium MSN, Bukit Jalil, semalam mahu menjana momentum bagi menewaskan juara empat kali Sukan SEA, Chatchawal Polyeng selepas gagal dalam dua cubaannya sebelum ini di temasya Laos 2009 dan Indonesia 2011.

 Adi, 24, dua kali terpaksa akur dengan kejaguhan badang Thailand itu untuk sekadar berpuas hati dengan pingat perak, namun dia berazam untuk menokhtah penguasaan seterunya yang memegang rekod temasya 17.74 meter itu pada Sukan SEA akan datang di Myanmar tahun depan.

"Matlamat utama saya untuk tahun depan adalah mengalahkan Chatchawal akhirnya. Sukan SEA 2013 adalah penampilan ketiga saya sejak Korat 2007 yang mana saya bermula tanpa meraih sebarang pingat, diikuti dua perak pada dua temasya berikut, kedua-dua pun tewas kepadanya.

 "Saya mahu pingat emas lontar peluru menjadi milik saya tahun depan, tetapi saya perlu mula berusaha memperbaiki catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan iaitu 17.53m (pada kejohanan-kejohanan akan datang) jika ingin mencapai matlamat itu," kata penuntut tahun akhir Ijazah Pembangunan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM).

 Atlet yang meraih emas olahraga pertama SUKIPT ternyata berada pada kelas tersendiri dengan lontaran berjarak 16.33m, langsung bukan tandingan dua pencabar terdekatnya iaitu rakan sepasukan, Shahrin Salamat (13.83m) dan Tan Li Wern (12.73m) yang mewakili Politeknik Melaka.

 Mengakui catatan itu kurang memberangsangkan, Adi mempersoalkan kenapa acara lontaran dipertandingkan pada sebelah pagi.

"Mengikut pengalaman saya di peringkat antarabangsa, lontar peluru atau acara lontaran lain lazimnya berlangsung pada sebelah petang atau malam.

Kalau diadakan pada awal pagi, badan rasa 'ketat', otot masih belum cukup regang, jadi tidak berada pada tahap terbaik untuk membuat lontaran," jelasnya.

 Adi akan mewakili negara ke Sukan Universiti ASEAN pada Disember ini dan mempertahankan cuba dua pingat emas yang dimenanginya pada dua edisi sebelum.

UPM turut membolot dua lagi emas menerusi J. Karthik dalam acara 5,000m dan Norliyana Kamaruddin bagi lompat tinggi wanita.

Hasrat UPM menyapu bersih empat emas dipertandingkan semalam bagaimanapun tidak kesampaian apabila Daveera Sali Liau yang mewakili Politeknik Mukah Sarawak, mengungguli acara merejam lembing lelaki.

 Sukan karate-do yang membuka gelanggang pula menyaksikan penguasaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), apabila Wong Ken Yinn mengaut emas berganda dalam acara kata (pertunjukan) individu dan berpasukan.