Halaman

13 December 2012

Radio Manis FM jadi medium penyaluran maklumat

Oleh: Suriati Ali


Radio Manis FM milik kerajaan negeri kini menjadi medium utama bagi penyaluran pelbagai maklumat mengenai dasar dan polisi kerajaan kepada rakyat Terengganu dan para peminat setia siaran tersebut di Pantai Timur.


 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata radio berkenaan boleh diikuti melalui frekuensi 102.0 FM di Terengganu, 90.6 FM di Kelantan dan 95.1 FM di Pahang.

 “Selepas mula bersiaran beberapa bulan lalu di bangunan Epic, Jalan Pejabat Kuala Terengganu, kini Manis FM semakin mendapat perhatian pendengar, termasuk di Selatan Thailand.

“Selain penyaluran informasi Manis FM bertindak sebagai medium hiburan yang tidak melampau bagi menghiburkan penduduk tempatan dan negeri-negeri berdekatan yang menerima siaran tersebut,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Haji Tengku Hassan Tengku Omar (BN- Ladang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

 Katanya, pada masa ini, selain Terengganu, Manis FM boleh didengar penduduk di Kelantan, Pahang, Johor Timur dan Selatan Thailand.

 “Seperti siaran radio lain, Manis FM juga kini mempunyai peminat tegarnya sendiri, terutama beberapa program harian yang disiarkan radio itu,” katanya.

 




Adakah Pas amal nilai mulia?

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Pemimpin Pas dilontarkan dengan persoalan sama ada mereka dan pengikut parti itu mengamalkan nilai-nilai mulia apabila kanak-kanak yang belajar di tadika milik parti itu diajar memijak gambar-gambar pemimpin negara.

YB Haji Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) turut mengajukan soalan sama ada parti itu mengamalkan nilai-nilai mulia apabila pemimpin dan pengikut Pas menggelarkan pemimpin Umno ‘taghut’ dan melakukan pelbagai perkara lagi yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Berucap membahaskan Bajet 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, beliau berkata amalan buruk yang dilakukan pemimpin Pas dan pengikut mereka tidak membawa sebarang faedah kepada pembangunan negeri ini.

“Sebaliknya Kerajaan Barisan Nasional melaksanakan pelbagai program dan projek untuk rakyat, termasuk pemberian bantuan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemberian bantuan kepada golongan ibu tunggal, keluarga berpendapatan rendah dan belia yang bergaji kecil, sudah pasti mereka akan menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, rakyat kini tahu berterima kasih dan bersyukur dengan pemberian kerajaan dan mereka akan menterjemahkannya dalam bentuk undi menjelang pilihan raya nanti.

Dalam perkembangan lain, YB Haji Nawi meminta jabatan-jabatan berkenaan supaya mengadakan penyelarasan antara agensi sebelum melaksanakan sesuatu projek seperti pemasangan kabel elektrik dan telefon serta paip air bagi mengatasi masalah kerosakan jalan di seluruh negeri.

Beliau berkata, apa yang berlaku sekarang ini bila jalan raya siap dibina atau baru dibaiki, terdapat kerja-kerja memasang kabel elektrik atau paip air menyebabkan jalan berkenaan rosak teruk.

Pas sentiasa menghalalkan cara

Oleh: Aida Abd Rahman

Sikap pembangkang yang sentiasa menghalalkan cara demi kepentingan politik mereka boleh diumpamakan sebagai `kisah Tok Guru Cicak’, kata YB Dato’ Rosol Wahid (BN-Ajil) ketika membahaskan Bajet 2013, pada persidangan DUN , semalam (12 Disember).

Menurut beliau, pengalaman bertemu dengan suku kaum Batak dan berkongsi cerita mengenai sikap masyarakat berkenaan yang amat menghormati cicak itu menjadi bahan  untuk dikongsi pada perbahasan persidangan DUN kali ini.

“Wahai anak cucuku, jadilah kamu seperti cicak, kerana cicak di mana-mana mereka boleh berada. Di Amerika, di Ajil, Rusila, Bukit Payong juga ada. Malah cicak juga hebat boleh `tepek’ di atap…tidak jatuh.

“Bila turun, turun kepala dahulu, kera naik nyior (pokok kelapa) tidak turun kepala dahulu, betapa hebatnya cicak. Tok guru cicak pesan kepada anak cucu dia sebelum mati, wasiat terakhir dia `wahai cicak sekelian jika kamu nak berak nanti, kamu tengok orang dulu’..tiba-tiba belum habis pesanan tok guru cicak mati.

“Sebab itu hari ini, cicak apabila ada orang dia berak, ada tempat tadah dia berak, sedangkan niat tok guru cicak nak beritahu, ` jika kamu nak berak nanti, kamu tengok orang dulu, kalau ada orang kamu jangan berak’, jadi ayat yang mengatakan `kalau ada orang kamu jangan berak’ itu tidak sempat keluar sebab dia mati terlebih dahulu,” katanya.

Demikian juga katanya, sikap pembangkang apabila hanya menceritakan apa yang menguntungkan mereka dan tidak secara terperinci kerana setiap perkara yang merugikan mereka tidak akan digembar-gemburkan.

Katanya, dalam pelbagai perkara perlu jelas dan tiada niat tersembunyi di sebalik apa yang dilakukan kerana kepentingan peribadi, malah kita juga harus bertanggungjawab dengan apa yang dinyatakan.

 

Pasar Payang akan diubahsuai

 Oleh: Suriati Ali 




 Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) yang sememangnya terkenal sebagai salah satu daya tarikan utama pelancong di Terengganu akan diubahsuai dan dinaiktaraf bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.


 Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said, berkata pengubahsuaian PBKP kepada pasar yang lebih kondusif terpaksa dilakukan memandangkan bangunan asal kini tidak lagi selesa bagi menampung bilangan pengunjung yang semakin bertambah.

 "Pembinaan siling asal yang terlalu rendah menyebabkan keadaan di dalam pasar itu terlalu panas terutama apabila terlalu ramai pengunjung, jadi kerajaan negeri akan mengubahsuai pasar itu dengan peruntukan sebanyak RM8 juta," katanya.
Beliau berkata, reka bentuk PBKP baru itu nanti menitikberatkan ciri-ciri Melayu Terengganu untuk disesuaikan dengan konsep Bazar Warisan dan beberapa bangunan lain yang terletak di kawasan berhampiran.

 "Semasa pengubahsuaian itu dilakukan peniaga sedia ada akan dipindahkan dengan sebahagian daripada mereka akan ditempatkan sementara di tempat letak kereta bertingkat PBKP.

 “Manakala bagi peniaga barangan basah seperti ikan dan ayam pula akan dipindahkan ke Pasar Chabang Tiga," katanya ketika menjawab soalan YB Dr Haji Alias Razak (Pas-Bukit Tunggal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

 Katanya, apabila siap pengubahsuaian kelak, peniaga barangan basah dan peniaga produk lain seperti sutera, songket dan batik diasingkan di mana peniaga ikan dan ayam akan terus kekal di PCT.

Langkah itu penting kerana barangan basah dianggap tidak sesuai jika berada di bawah satu bumbung atau berdekatan dengan produk lain, termasuk barangan kraf dan makanan tradisional.

 “Pada masa sama, kerajaan ingin mendidik peniaga barangan basah supaya lebih berdisplin dan pandai menjaga kebersihan dan bukannya sikap pengotor seperti yang diamalkan sekarang dengan membuang ikan busuk dan perut ayam di dalam sungai,” katanya.

 Menteri Besar turut memberitahu, bahagian barangan basah di PBKP sebenarnya sudah tidak selamat dan ia disahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menyatakan besi struktur lantai di pasar itu sudah reput.

 

Pegawai tentang kerajaan disaran letak jawatan

Oleh: Aida Abd Rahman


Pegawai kerajaan yang bertindak menentang dan tidak dapat menerima dasar kerajaan perlu meletak jawatan,demikian gesaan YB Dato’ Rosol Wahid (BN-Ajil) ketika membahaskan Bajet 2013 pada persidangan DUN, semalam (12 Disember).

 “ Saya memohon dengan rasa rasa rendah diri dan rasa tawaduk, jika tidak suka kepada kerajaan saya mempersilakan dengan segala hormatnya meletak jawatan. Itu cara yang lebih baik, kerana adalah tidak wajar jika mereka makan rezeki daripada kerajaan, pada masa yang sama menentang kerajaan,” katanya.

 Dato’ Rosol menzahirkan rasa terkilan dengan tindakan pegawai kerajaan yang memperolehi gaji serta pendapatan daripada bekerja di pelbagai sektor kerajaan tetapi melakukan pengkhianatan terhadap kerajaan.
“ Ini satu yang amat malang apabila pegawai kerajaan menentang kerajaan. Mereka boleh melakukan apa sahaja terhadap rakyat dengan melengah-lengahkan program, melengahkan kerja untuk memburukkan imej kerajaan,” katanya.

Katanya, sikap buruk pegawai kerajaan seumpama itu juga tidak mencerminkan akhlak orang Islam yang baik dan bukan amalan dianjurkan Rasulullah s.a.w.

Selain itu juga, Dato’ Rosol berkata, kehidupan hari ini pastinya lebih baik daripada 10 hingga 20 tahun dahulu walaupun pembangkang mengatakan kemajuan dan perkembangan semasa yang turut menuntut kenaikan harga barang keperluan seperti minyak, beras dan gula.

 “Tetapi Alhamdulillah, dengan kenaikan harga barang, tetapi harta kita juga semakin bertambah. Hari ini harga minyak (diesel) naik, daftar kereta Proton Saga sahaja di seluruh negara berjumlah  50,000 buah, masa minyak 30 sen seliter, masa gula 20 sen sekilo, gandum 10 sen sekilo, gula-gula lima biji dengan harga lima sen, berapa ramai rakyat kita mampu memiliki kereta.

 “Jadi, persoalannya mana hendak, jika barang naik, kita naik (memiliki) kereta dengan barang dan minyak murah , tetapi kita jalan kaki, jika jawapan dia baik berjalan kaki, maka orang berkenaan kalau tidak `gila’ mereka mungkin `bengong’.

 “Sebab itu apa yang kita rasa hari ini merupakan nikmat yang cukup baik dikurniakan Allah s.w.t hasil kecaknaan kerajaan hari ini,” katanya.

 

Kolej Inforana terokai pasaran antarabangsa

KOLEJ Inforana Sdn. Bhd. melancarkan Program Kemanusiaan dan Kembara Kemahiran dalam usaha menjenamakan semula kolej itu ke negara-negara Asia Tenggara dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Pengarah Eksekutifnya, Ahmad Ramzi Abdul Rahman berkata, sehubungan itu sebagai permulaannya, dua kumpulan yang masing-masing disertai seramai 40 pelajar akan ke Bukit Tinggi, Indonesia pada bulan April dan Phnom Penh, Kemboja pada Ogos depan.

Menurut beliau, menerusi program itu, pelajar dalam bidang kulinari yang terpilih akan menyertai program berkenaan selama empat hari di negara-negara berkenaan.

“Pelajar terlibat akan mengajar penduduk di sana terutamanya golongan remaja mengenai menu masakan Malaysia. “Malah program tersebut menjadikan mereka sebagai duta makanan Malaysia serta memberi peluang untuk mempamerkan kebolehan pelajar dalam bidang masakan,” katanya.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said di Kampus Inforana di sini baru-baru ini.

Ahmad Ramzi berkata, adalah menjadi hasrat kolej melalui ilmu yang diberikan itu dapat dimanfaatkan kepada penduduk setempat selain untuk memperkenalkan masakan Malaysia di negara mereka.

“Ini kerana dua negara berkenaan sering menjadi kunjungan rakyat Malaysia dan ini memberi kelebihan kepada mereka untuk menawarkan masakan Malaysia,” tambah beliau.

Inforana Holding pada masa ini merupakan satu-satunya kolej di negara ini yang menawarkan pelbagai kursus di peringkat sijil dan diploma Kemahiran Malaysia serta menawarkan kursus-kursus seperti Pengajian Bidang Perhotelan,

Persijilan Bidang Pelancongan dan Pengajian Bidang Jahitan dan Fesyen. Kebanyakan pelajar yang menyertai pengajian di kolej berkenaan mendapat pembiayaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (Kementerian Sumber Manusia),

Yayasan Terengganu dan Yayasan Pelajaran Mara. Sejajar dengan perkembangan semasa, Kolej Inforana juga bercadang untuk menawarkan kursus-kursus kepada pelajar di luar negara terutama di negara jiran seperti Indonesia mulai tahun depan.

“Sebagai permulaan seramai 20 pelajar akan diterima masuk sebelum ia diperluaskan dengan bilangan yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

 

Sidang DUN-IQT akan dinaiktaraf kepada Kolej Universiti

Oleh; Esah Abdullah

Institut al-Quran Terengganu (IQT) akan dinaiktaraf kepada Kolej Universiti dan proses ke arah itu sedang berjalan.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, pada dasarnya kerajan telah bersetuju untuk menaiktaraf IQT ini kepada Kolej Universiti dan proses kearah itu berjalan lancar.

 “Insya-Allah perkara ini akan menjadi realiti,” katanya ketika sesi Pengulungan Wakil-wakil Kerajaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) petang semalam.
Katanya, kerajaan juga akan membuat penambahabaikan terhadap tempat penginapan untuk pelajar untuk memberi keselesaan terutama kepada pelajar-pelajar baru.

“Kita sentiasa berusaha memberi penekanan serius terhadap kebajikan pelajar dan juga kakitangan di institut ini dari semasa ke semasa seperti juga pusat-pusat pengajian lain,” katanya.

Menjawab pertanyaan YB Haji Ramlan Ali (BN-Jabi) yang mengatakan masih ada pelajar tercicir daripada mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) beliau berkata, usaha sedang dibuat untuk menangani masalah tersebut.

 “Tidak dinafikan masih ada sekolah yang tidak ada Kelas Kafa kerana ketiadaan bilik darjah serta masalah penyelarasan dengan aktiviti sekolah,” katanya

Menurutnya Yayasan Islam Terengganu (YIT) sentiasa megadakan perbincangan dengan pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan untuk menangani masalah itu dan setakat ini ada kelas yang dibuka di balai raya, balai Quran dan di bangunan khas seperti yang terdapat di Felda.

 “Insya-Allah perkara ini dapat diselesaikan kerana kerajaan bersungguh-sungguh untuk melihat anak-anak negeri ini mampu menguasai bahasa al-Quran serta khatam sebelum memasuki sekolah menengah,” katanya.

12 December 2012

Sidang DUN: Kompleks Pakar Materniti siap Mac tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Masalah kesesakan pesakit terutama yang melibatkan kes bersalin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dijangka dapat diselesaikan apabila Kompleks Pakar Materniti siap pada Mac tahun depan.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar, berkata kerajaan negeri akan memastikan masalah yang melibatkan kepentingan dan keselesaan rakyat itu dapat diselesaikan apabila bangunan enam tingkat yang dibina bersebelahan HSNZ siap kelak.

“Pada pandangan saya ia bukan mengaibkan tetapi sekadar keadaan penuh sesak dengan jumlah katil (Wad Bersalin HSNZ) yang terhad dengan `Bed Occupancy Rate’ (BOR) yang tinggi.
“Insya-Allah apabila Kompleks Materniti HSNZ siap pada Mac 2013 dengan tambahan katil di wad sebanyak 210 unit dan katil bersalin sebanyak 24 unit, masalah ini akan dapat diatasi,” katanya ketika sesi penggulungan Persidangan DUN pada hari ketiga, petang ini.

Beliau mengulas demikian sebagai menjawab kenyataan YB Dr Alias Razak (Pas-Bukit Tunggal) semalam, yang menyatakan keadaan wad bersalin HSNZ yang mengaibkan berikutan tidak mempunyai kemudahan dan ruang yang selesa untuk menempatkan ramai pesakit wanita khususnya bagi kes bersalin pada satu-satu masa.

Dr A Rahman berkata, pembinaan kompleks itu juga dapat menyelesaikan masalah parkir di HSNZ apabila sebanyak 385 parkir dibina untuk kemudahan menempatkan kenderaan di bangunan lima tingkat berkenaan.

Bagaimanapun, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sudah mewujudkan 220 lot parkir sementara pada November lalu sebelum parkir kekal dibina bagi mengatasi masalah itu.

 Pada masa yang sama, sebanyak RM150 juta menerusi peruntukan khas Kementerian Kewangan Malaysia secara `Private Financing Inisiative (PFI)’ disediakan bagi membangunkan hospital baru daerah Dungun.

 “ Untuk peringkat pertama, sebuah hospital dengan 108 unit katil akan dibina dengan menggunakan peruntukan tersebut.

"Projek ini akan dibina melibatkan dua fasa di mana fasa pertama melibatkan kerja awalan serta kerja berkaitan, manakala fasa kedua membabitkan kerja pembinaan hospital baru serta kerja-kerja berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, fasa pertama projek berkenaan dijangka akan ditender pada pertengahan 2013.

Sementara itu, menurut Dr A Rahman isu bilik bedah Hospital Besut (HB) yang kurang digunakan adalah disebabkan HB belum dinaiktaraf sebagai hospital berpakar dan setakat ini, tiada jawatan pakar bedah di hospital berkenaan.

Sehingga kini, HSNZ dan Hospital Kemaman (HK) sahaja bertaraf hospital berpakar di Terengganu. Namun begitu, pasukan doktor pakar bedah dan pakar orthopedik dari HSNZ sudah menjalankan 44 pembedahan di HB dari Januari lalu sehingga kini.

Beliau juga memberi jaminan untuk memastikan penggunaa dewan bedah di HB akan dipertingkatkan lagi oleh pasukan pakar orthopedik HSNZ .

Ketika ditanya YB Dr Syed Azman Syed Nawawi berhubung kelewatan Kompleks Pakar Materniti berkenaan siap, Dr A Rahman menjelaskan pihaknya hanya menerima kompleks berkenaan apabila siap sepenuhnya bagi menjalankan operasi, bagaimanapun punca masalah kelewatan itu perlu dirujuk kepada Exco berkaitan (Infrastruktur).

 

Sidang DUN: Pemandu cuai, dorong kemalangan di LPT2

Oleh: Suriati Ali 

Sebanyak 209 daripada 290 kes kemalangan yang dilapor berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi laluan Bukit Besi-Ajil-Gemuruh adalah disebabkan kecuaian pemandu dan bukannya berpunca daripada kesilapan kerajaan membina kemudahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri YB Datuk Haji Za'abar Mohd Adib, berkata LPT yang dibuka September tahun lepas hingga Oktober tahun ini turut mencatatkan 66 kes kemalangan disebabkan faktor persekitaran termasuk perlanggaran dengan haiwan seperti lembu, babi dan kambing..

 “Manakala 15 kes lagi disebabkan masalah mekanikal kenderaan

"Daripada kes-kes kemalangan itu, yang paling banyak direkod ialah kes kemalangan disebabkan kecuaian pemandu iaitu sebanyak 209 kes," katanya.

 Beliau menjawab soalan YB Mohd Nawawi Ismail (BN-Kuala Berang) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk mengatasi masalah kemalangan yang berlaku di lebuh rayaberkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.

YB Datuk Haji Za'abar berkata, kerajaan telah mengambil berbagai langkah bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan bantuan juruperunding bagi membaiki dan mengenal pasti punca dan lokasi yang sering berlaku kemalangan.

 Antara pihak bertanggungjawab memastikan tiada haiwan ternakan berkeliaran di LPT2 selain kerosakan aset di lebuh raya tersebut diatasi segera katanya.

YB Datuk Haji Za'abar berkata, pengguna lebuh raya juga dinasihat menggunakan kemudahan hentian sebelah Bukit Besi dan kawasan rehat Ajil untuk rehat seketika jika penat atau mengantuk.

 

Wakil Pas puji usaha Kerajaan BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) memuji usaha yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk memberi subsidi diesel kepada golongan nelayan kerana ia membantu menambah pendapatan mereka.

Beliau berkata, usaha-usaha lain seperti membina kilang ais untuk kegunaan nelayan tempatan juga baik kerana memudahkan nelayan mendapatkan bekalan air batu bagi kegunaan mereka.

Pada masa yang sama beliau meminta kerajaan negeri supaya membuka peluang kepada pelabur bagi membina kilang baja dan makanan ternakan supaya petani dan penternak mudah mendapatkan kemudahan tersebut.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas, berkata jika barangan berkenaan dikeluarkan di negeri ini, ia akan membantu mengurangkan kos petani dan penternak, sekaligus menurunkan harga produk pertanian dan ternakan.

Sementara itu, beliau berkata, sempena persidang DUN kali ini yang merupakan kali terakhir untuk penggal ini, beliau mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada ahli-ahli DUN jika beliau melakukan kesilapan sepanjang persidangan dewan diadakan.