Halaman

18 December 2012

PDKT perkenal kaedah 'penarafan' ukur kejayaan JKKK

Oleh; Esah Abdullah


Pejabat Daerah Kuala Terengganu (PDKT) akan memperkenalkan satu kaedah ‘penarafan’ bagi mengukur tahap kehebatan sesebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mulai tahun depan.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail berkata, kaedah penarafan ini memberi penekanan terhadap tujuh kategori termasuklah dari segi keselamatan, kesihatan, pendidikan, kejiranan, komuniti, fizikal.

“Kita akan membuat pemarkahan melalui kategori berkenaan bagi menentukan sesebuah kampung itu mencapai tahap kemajuan sebenar,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan JKKK Daerah Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) semalam

Hadir sama Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) (PPD) Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh; PPD Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik; PPD Wakaf Mempelam Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah dan PPD Bukit Payong, Encik Zaidi Muda.

Katanya, satu pembengkelan akan diadakan pada 27 hingga 29 Disember ini bagi tujuan permarkahan terhadap 292 buah JKKK dalam daerah Kuala Terengganu yang telah mengisi borang yang diedarkan.

Menurutnya, setiap keluarga perlu mengisi satu borang biodata isi rumah dan melaluinya JKKK dinilai mengikut tujuh kategori,” katanya.

 “Kita ingin mewujudkan kampung ku rumah ku di mana semua anggota dalam komuniti itu mengambil tanggung jawab bersama terhadap keselamatan, kesihatan dan apa saja aktiviti serta saling menyayangi antara satu sama lain,” katanya.

Pada majlis berkenaan JKKK Bukit Wan telah dinobatkan sebagai JKKK Cemerlang 2012 manakala JKKK Gong Lingai (kedua), JKKK Jalan Tekukur (ketiga) dan JKKK Beladau Kepong (Keempat).

Tempat pertama menerima wang tunai RM5,000 beserta sijil, kedua RM3,000 ketiga RM2,000 dan tempat keempat RM1,000.

Manakala 23 daripada 292 JKKK lagi terpilih sebagai JKKK aktif sepanjang tahun dan masing-masing menerima wang tunai RM500 beserta sijil. Semua hadiah disampaikan oleh Haji Wan Nawawi.

Kem ‘unleash your power’ di Kemaman

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Empower Kemaman akan mengadakan kem ‘Unleash Your Power’ di Dewan Teater, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kemaman, selama dua hari bermula 20 Disember ini.

Peyelaras Program Empower Kemaman, Nurelaini Zakaria berkata, kem yang kali ketiga dianjurkan ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar lepasan UPSR pada tahun ini dalam membuat persediaan untuk melangkah ke sekolah menengah pada tahun hadapan.

"Program kali ini akan melibatkan 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UPSR tahun 2012 di sekitar Kemaman.

"Terdapat enam buah sekolah yang akan mengambil bahagian, antaranya SK Kampung Baru Kerteh, SK Jabor, SK Kijal, SK Chukai, SK Ayer Puteh dan SJK (C) Kuala Kemaman,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, YB. Ir Rosli Othman.

Difahamkan, Program Empower Kemaman terbahagi kepada dua bahagian iaitu berasaskan latihan kemahiran akademik untuk pelajar sekolah dan latihan kemahiran keusahawanan untuk masyarakat setempat.

Merupakan salah satu program di bawah Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) program-program di bawah kelolaan Pusat Empower Kemaman sedang rancak dijalankan dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dari semua pihak.

 

‘Sentuhan’ TPM bakal jadi tonik BN rampas DUN Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sudah lima penggal kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berada di bawah kuasa pembangkang (Pas) menyebabkan ia jauh ketinggalan walaupun berada di pinggir bandar.

Tidak banyak perubahan berlaku di kawasan berkenaan walaupun ketika Pas memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, di mana wakil rakyatnya turut menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di zaman pemerintahan Pas.

Dalam beberapa siri lawatan di kawasan itu sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berjanji akan memberi tumpuan utama di Manir jika Barisan Nasional (BN) menang di situ pada pilihan raya umum akan datang.

Antara janji tersebut ialah menyediakan lebih banyak kediaman lebih selesa kepada penduduk tempatan dan penyediaan prasarana yang lebih baik kepada peniaga dan penghuni di situ.

Selama ini pemimpin Pas ‘lepas tangan’ dan tidak mengambil berat kebajikan penduduk di kawasan itu.

Setiap kali penduduk ditimpa musibah, pemimpin Umno dan BN yang datang dulu bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik.

Sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Manir pada 22 Disember ini, Umno akan melancarkan ‘Gelombang Kebangkitan DUN Manir’ yang bakal menjadi pencetus semangat kepada jentera parti bagi merebut semula DUN tersebut daripada tangan pembangkang.

Lebih 20,000 penduduk tempatan dijangka hadir pada majlis itu serta menghadiri Jamuan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata pihaknya amat mengharapkan ‘sentuhan’ Tan Sri Muhyiddin bagi membolehkan Umno dan BN menang di kawasan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerja dengan bersungguh-sungguh pada pilihan raya ini bagai memastikan kemenangan BN.

“Kita penuh yakin, pesanan dan amanat TYAB imbalan Perdana Menteri dan dengan kerjasama penuh yang diberikan YAB Menteri Besar, kita dapat menawan semula DUN Manir pada pilihan raya kali ini,” ujarnya penuh yakin.

 

TPM temui penghulu, pemimpin masyarakat, imam, bilal Terengganu

Kira-kira 4,000 orang pemimpin masyarakat terdiri daripada penghulu, imam, bilal dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan menghadiri pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Sabtu ini (22 Disember).

Pertemuan tersebut diatur di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, bagi membolehkan pemimpin nombor dua negara bertemu dengan pemimpin masyarakat di negeri ini.

Beliau dijangka menyampaikan amanat kepada pemimpin masyarakat itu serta menjelaskan isu-isu semasa berkaitan pentadbiran Kerajaan Pusat.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri yang dijadualkan melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan Pegawai Tadbir Negeri dan pegawai kanan agensi-agensi negeri di Auditorium kompleks sukan berkenaan.

Beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada jam 8.30 pagi dan terus ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir untuk menghadiri majlis bersama Pemimpin Bersama Rakyat.

17 December 2012

Perlu gandakan usaha, jika mahu DUN Manir menang

Oleh: Suriati Ali

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Encik Yusof Awang Hitam mengajak semua jentera parti di DUN itu supaya bersama beliau menggandakan usaha dan bekerja keras supaya Manir kembali kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

 “Sudah lebih 26 tahun atau lima penggal kerusi DUN Manir dimenangi Pas, kita sebagai jentera parti patut malu dengan keadaan yang tidak berubah-ubah ini.

 “Oleh itu, marilah kita bersama-sama menanam jati diri yang kuat dan ikhlas bekerja bagi memastikan perjuangan dan hala tuju sebenar DUN Manir dapat tercapai, selain setiap perjuangan dalam parti memberi pulangan yang positif,” katanya kepada Teganukita hari ini.

Katanya, dia mengetahui rakyat sudah jemu dengan sandiwara wakil rakyat PAS yang gagal berkhidmat untuk memajukan kawasan itu, termasuk sewaktu Pas memerintah Terengganu.

“Kalau nak kira kecil hati, memang kita berkecil hati kerana sudah lama kita kalah di kawasan ini, tetapi BN terus melakukan pelbagai program untuk membantu rakyat.

“Umno dan BN menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan rakyat seluruh negeri, termasuk di bidang pendidikan dan agama.

“Oleh itu, tidak ada sebab mengapa rakyat negeri ini mahu menukar kerajaan. Kini menjadi tugas besar jentera Umno untuk menjelaskan segala kekeliruan di kalangan rakyat supaya mereka menyokong Kerajaan BN pada PRU 13,” katanya.

 

Lebih 20,000 penduduk dijangka hadir pada program Jamuan Rakyat Bersama TPM

Oleh: Suriati Ali

Lebih 20,000 penduduk tempatan dijangka menghadiri Jamuan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, Kuala Terengganu pada 22 Disember ini.

 `Gelombang Kebangkitan DUN Manir’ akan turut dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sempena lawatan kerja beliau ke Terengganu.

 Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata ketibaan Tan Sri Muhyiddin bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan disambut lebih 1,500 pemuda Umno bermotosikal.

Manakala 1,000 pelajar dari empat sekolah rendah dan menengah berdekatan dan masing-masing 50 kenderaan pacuan empat roda dan motosikal klasik akan turut menyambut ketibaan dua pemimpin itu.

 “Timbalan Perdana Menteri kemudian akan dibawa menziarah penduduk Hassan Tahir yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta merasmikan Rumah Rehat 1Malaysia di kampung sama.

“Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk penyampaian bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana dan penyampaian cek kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

 Menurut Encik Yusof,  apa yang istimewanya meja bulat dan bangku buluh berukuran 65 meter yang pernah menjadi tempat utama Perdana Menteri menjamu selera pada tahun lalu turut direka cipta penduduk tempatan.

“Hasil kerja tangan penduduk kampung yang dibina secara bergotong-royong sejak seminggu lalu itu kini hampir siap dan hanya menunggu masa untuk digunapakai,” katanya.

     

Peruntukan RM45,000 ceriakan bot penambang

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri telah meluluskan sejumlah RM45,000 untuk menceriakan bot penambang di seluruh negeri Terengganu.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sumbangan tersebut dijangka akan diberikan sendiri oleh YAB Menteri Besar kepada pengusaha bot penambang pada awal Januari depan.

"Pemberian sumbangan ini bertujuan untuk membantu pengusaha bot penambang menghias dan mengecat semula bot bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

"Justeru, permohonan RM1500 bagi setiap bot penambang telah diluluskan kerajaan negeri dan kira-kira 30 buah bot penambang yang akan menerima sumbangan ini nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Bantuan Nelayan Ihsan Samudera Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bertempat di Dewan Besar Bangunan Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, baru-baru ini.

Menurut Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, di DUN Seberang Takir sendiri sebanyak 24 buah bot penambang bakal menerima sumbangan tersebut.

Katanya, sudah menjadi matlamat kerajaan Barisan Nasional (BN) meringankan beban rakyat dan telah terbukti nasib golongan nelayan tidak pernah diabaikan melalui pelbagai bantuan yang telah disalurkan kepada mereka.

 

Kerajaan warta kawasan padi kekal

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bercadang mewartakan seluas 24,000 hektar sebagai kawasan padi kekal di negeri ini bagi memberi jaminan ia dapat diusahakan secara berterusan oleh golongan petani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, langkah ini diambil berikutan kebimbangan tanah-tanah padi di negeri ini sudah banyak bertukar menjadi tanah perumahan kerana ditukar syarat

“Usaha ini juga sebagai jaminan kepada rakyat bahawa bekalan makanan utama itu tidak tergugat dan sentiasa mencukupi untuk keperluan tempatan,” katanya.

Katanya, ini satu projek besar sumbangan kerajaan untuk rakyat dan sanggup mewujudkan jelapang padi sendiri tanpa mendapat subsidi dan insentif daripada kementerian di peringkat awalnya.

“Kita mengambil langkah awal dengan membina Jelapang padi di Kampung Jelapang Setiu seluas 100 hektar dengan kos kemudahan asas lebih RM50 juta,” katanya

Katanya, setelah melihat kejayaan petani di Setiu, kerajaan akan memberi tumpuan di kawasan baru iaitu di daerah Marang.

“Saya yakin kita mampu mewujudkan jelapang padi kedua di negeri ini, kerana Marang mempunyai banyak kawasan padi yang luas untuk dibangunkan,” katanya.

 

TPM lawat Terengganu 22 Disember


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu pada 22 Disember depan (Sabtu).

Beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan terus ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir untuk menghadiri majlis bersama Pemimpin Bersama Rakyat.

Timbalan Presiden Umno itu dijadualkan menikmati makan tengahari pada jamuan rakyat yang dirancang di DUN berkenaan.

Pada sebelah petang pula beliau akan menghadiri pertemuan khas dengan Pegawai Tadbir Negeri dan pegawai-pegawai kanan GLC di Stadium Tertutup Gong Badak.

Selepas itu, beliau akan menghadiri satu lagi program bersama-sama pemimpin masyarakat di stadium yang sama. Beliau dijangka berlepas ke Kuala Lumpur sebaik saja selesai majlis berkenaan.

 

Hadi didesak tarik balik amanat


Puluhan ribu ahli dan pengikut tegar Pas dikesan masih berpegang teguh kepada amanat Presiden, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 yang mengkafirkan UMNO sehingga mereka kekal sehingga kini menganggap orang UMNO adalah kafir.


Perkara itu didedahkan sendiri aktivis yang juga bekas ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N al-Afghani berikutan masih ramai pengikut tegar parti itu percaya, pemimpin serta ahli UMNO jauh lebih hina daripada orang-orang bukan Islam.

Sehubungan itu, Zainon mendesak Abdul Hadi yang kini memegang tampuk kepemimpinan Pas menarik balik amanat berkenaan demi kepentingan umat Islam di negara ini kerana selagi beliau tidak berbuat demikian, orang Melayu akan kekal berpecah sampai bila-bila.

Katanya, dalam soal tersebut Abdul Hadi perlu meletakkan kepentingan akidah jauh lebih penting daripada pertimbangan politik kerana jika tidak, puluhan ribu pengikut Pas terus bergelumang dengan dosa akibat mengkafirkan saudara seagama hanya kerana perbezaan politik.

“Kepimpinan Pas tidak boleh berdiam diri dalam hal ini seolah-olah Abdul Hadi tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika mengeluarkan amanat kerana kesannya kepada masyarakat terlalu besar.

Soal kafir-mengkafir ini isu akidah jauh melebihi kepentingan politik. “Saya salah seorang ahli Pas yang terpengaruh dengan amanat tersebut sehingga sanggup mengkafirkan ayah dan abang sendiri. Sehingga kini saya tidak tenang kerana dihantui dosa itu.

Saya memohon kepada Allah agar diampunkan dosa sebelum ajal menjelma. “Tapi sebagai individu bertanggungjawab apatah ketika berkuasa, Abdul Hadi perlu membetulkan semula akidah pengikut Pas kerana masih terdapat puluhan ribu ahli parti yang taksub dan menganggap Umno kafir,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Zainon, walaupun sudah 31 tahun berlalu, tetapi amanat Abdul Hadi membarah sehingga ke hari ini di dalam jiwa dan pemikiran pengikut tegar Pas menyebabkan mereka menolak mentah-mentah apa sahaja termasuk kebaikan yang cuba dibawa kerajaan.

Dalam pada itu, Zaiton berkata, beliau sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai ‘serangan’ yang bakal dilemparkan pemimpin Pas termasuk ‘tuduhan wajib’ seperti dibeli oleh Umno kerana bertindak mendesak Abdul Hadi menarik balik amanat beliau yang membawa perpecahan.

“Saya buat semua ini atas sifat keinsafan diri demi untuk melihat akidah orang Islam khususnya pengikut tegar Pas yang bertindk mengkafirkan saudara seagama dapat diperbetulkan semula dan bagi tujuan itu, saya sedia bersemuka dengan mana-mana pemimpin Pas,” katanya.