Halaman

18 December 2012

Kem ‘unleash your power’ di Kemaman

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Empower Kemaman akan mengadakan kem ‘Unleash Your Power’ di Dewan Teater, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kemaman, selama dua hari bermula 20 Disember ini.

Peyelaras Program Empower Kemaman, Nurelaini Zakaria berkata, kem yang kali ketiga dianjurkan ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar lepasan UPSR pada tahun ini dalam membuat persediaan untuk melangkah ke sekolah menengah pada tahun hadapan.

"Program kali ini akan melibatkan 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UPSR tahun 2012 di sekitar Kemaman.

"Terdapat enam buah sekolah yang akan mengambil bahagian, antaranya SK Kampung Baru Kerteh, SK Jabor, SK Kijal, SK Chukai, SK Ayer Puteh dan SJK (C) Kuala Kemaman,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, YB. Ir Rosli Othman.

Difahamkan, Program Empower Kemaman terbahagi kepada dua bahagian iaitu berasaskan latihan kemahiran akademik untuk pelajar sekolah dan latihan kemahiran keusahawanan untuk masyarakat setempat.

Merupakan salah satu program di bawah Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) program-program di bawah kelolaan Pusat Empower Kemaman sedang rancak dijalankan dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dari semua pihak.