Halaman

22 December 2012

Ucap selamat tinggal kepada Pas-MB

Oleh; Esah Abdullah



Setelah 32 tahun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berada di bawah cengkaman Pas, saya harap masyarakat di sini perlu mengucapkan selamat tinggal kepada parti itu yang hanya tahu berjanji tetapi tidak menunaikannya.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sudah sampai masanya penduduk Manir membuat perubahan dan mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Dia perintah pun tak beri apa-apa kepada rakyat, pemimpin BN juga yang datang bantu orang sakit dan baiki rumah orang susah,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Kebangkitan Masyarakat DUN Manir di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, sehingga ini sudah 347 unit rumah mampu milik dibina oleh kerajaan BN untuk masyarakat dalam kawasan ini. “Saya janji jika DUN Manir menang BN selepas PRU nanti, 1,000 unit rumah mampu milik akan dibina,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 20,000 hadirin yang membanjiri padang bola.

Tambahnya, tiga gelanggang futsal lagi akan dibina sebagai tambahan untuk golongan muda menjalan aktiviti masing-masing.

 “Saya harap rakyat memilih kerajaan BN untuk terus kekal memerintah negeri dan negara dan menikmati pembangunan yang dijanjikan,” katanya