Halaman

17 December 2012

Kerajaan sedia timbang wujudkan Kolej Sukan Negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri sedia menimbang cadangan untuk mewujudkan Kolej Sukan Negeri Terengganu sekiranya  mampu memberi manfaat dan impak positif kepada golongan belia di negeri ini pada masa depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, baru-baru ini.

 “Insya-Allah perkara ini akan diperbincangkan dan dilakukan kajian secara terperinci. Kerajaan Barisan Nasional yang memimpin Terengganu hari ini akan melihat cadangan (YB Mohd Zawawi Ismail (BN-Kuala Berang), jika kewujudan kolej itu nanti mampu mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada generasi muda dan belia negeri ini, kita bersedia untuk mewujudkannya satu masa nanti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa merintis jalan dan usaha untuk terus memperkasa bidang sukan di negeri ini sebagai kesinambungan kegemilangan sukan yang diraih Terengganu sejak kebelakangan seperti dalam Sukan Malaysia (Sukma) sejak empat tahun berturut-turut sejak 2008 lalu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyediakan  peruntukan besar setiap tahun termasuk RM25.5 juta pada tahun depan bagi bagi melaksanakan pelbagai program dan pembangunan sukan seperti pembinaan asrama atlet Majlis Sukan Negeri di Gong Badak, pembinaan Kompleks Sukan atau Mini Stadium di Hulu Terengganu serta membina 32 buah gelanggang futsal baru di setiap Dewan Undangan Negeri sebagai usaha berterusan menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti riadah.

 “Bagi memastikan kejayaan yang telah dicapai berterusan, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sentiasa merangka strategi pelaksanaan yang terbaik termasuk mengadakan kerjasama dan persefahaman dengan Universiti Malaysia Pahang bagi menerokai bidang Kejuruteraan Mekanikal dalam sukan melalui kajian-kajian yang berkait dengan Biomekanik iaitu Sains Pergerakan Sukan.

 “ Hasil penemuannya akan digunakan untuk meningkatkan prestasi atlet-atlet kita ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan matlamat kita untuk menjadikan ‘Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan’, katanya.