Halaman

16 December 2012

Himpunan kasih sayang satukan pemimpin dan rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Program Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia Janji Ditepati anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dilihat mampu menyatukan pemimpin dan rakyat.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, program seumpama itu merupakan landasan yang terbaik dalam memperkukuh hubungan sekaligus menzahirkan rasa sayang kerajaan terhadap rakyat dan juga sebaliknya.

"Saya amat berbangga dengan penganjuran program yang berkonsepkan turun padang dimana dapat mengeratkan silaturahim antara pemimpin dengan masyarakat setempat.

"Dengan tema 1Malaysia, Janji Ditepati Kasih Sayang untuk rakyat telah terbukti kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat dan tidak mempunyai kepentingan peribadi jauh sekali berkehendakkan kuasa,” katanya.

Teks ucapan Menteri Besar dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said pada majlis perasmian penutup program tersebut di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Penerangan, Tarmidzi Hashim, Pengarah JPNT Hajah Azizah Awang, serta pemimpin setempat dan ketua-ketua jabatan yang lain.

Katanya, dibawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno nasib rakyat sentiasa terbela kerana kerajaan yang memerintah pada hari ini telah menunaikan segala janji yang pernah dibuat dalam pilihan raya lalu.

"Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan, baucer buku untuk pelajar universiti antara contoh sumbangan yang diberikan pihak kerajaan kepada semua tanpa mengira fahaman politik,” ujarnya.

Tambah beliau, di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada seluruh rakyat di negeri ini khususnya diharap sentiasa bersatu demi mengekalkan pemerintahan kerajaan yang mengutamakan rakyat.