Seramai 135 peserta kontijen dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan menyertai kejohanan Majlis Sukan Kebudayaan Perkhdimatan Pelajaran (MSKPP) peringkat kebangsaan yang berlangsung di Shah Alam , Selangor pada 18 hingga 23 Disember ini.
Kontijen Terengganu yang terdiri daripada guru dan kakitangan sokongan JPNT akan menyertai sembilan acara sukan dalam misi merebut juara seperti bola sepak, bola sepak veteran, bola jaring, takraw, tenis, bola tampar, ping pong, boling dan golf.
Pengarah JPNT, Encik Zakaria Hussin berkata, walaupun Terengganu menduduki tempat ke empat pada pesta sukan yang diadakan di Johor tahun lalu, tetapi berkeyakinan untuk menjadi juara tahun ini.
``Kita hantar kontijen terbaik tahun ini di samping membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah pada pesta sukan tersebut tahun depan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bendera negeri kepada ketua Kontinjen negeri yang juga Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu Encik Azhar Abu Bakar di perkarangan JPNT semalam.
Beliau yang juga Yang Dipertua MSKPP negeri berkata, Terengganu berharap peserta dapat menunjukkan kehebatan dan kebolehan dalam acara sukan yang dipertandingkan.
Namun begitu katanya, dalam memastikan semangat kesukanan dijaga, kesabaran dan ketabahan penting untuk mengelakkan sebarang masalah yang boleh merugikan kepada peserta.
`Peserta juga perlu menjaga nama baik negeri dan sekaligus mengharumkan nama Terengganu sebagai satu kuasa sukan yang terbaik pada masa ini,’’ katanya.