Halaman

20 December 2012

MB susur sungai dengan bot tradisional

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan menyusuri Sungai Terengganu (river cruise) dengan menggunakan bot tradisional, bagi mempromosikan perkhidmatan itu, Isnin ini (24 Disember).

Beliau dijadualkan menggunakan perkhidmatan tersebut bersama-sama pegawai kanan kerajaan, wakil media massa dan agen pelancongan, sambil menikmati makan malam di atas bot berkenaan.

Khidmat tersebut dikendalikan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) khusus bagi menggamit pelancong datang ke negeri ini, terutama menjelang Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Antara pakej yang disediakan ialah menyusuri Sungai Terengganu (river crusie), menyusuri Sungai Terengganu sambil menikmati makan tengahari, makan malam atau minum petang dan menaiki beca di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, khususnya di sekitar Kedai Payang.

Mengikut atucara program itu, Menteri Besar akan menaiki bot pada jam 5 petang dan singgah di Riyaz Heritage Resort & SPA bagi menikmati hidangan teh tarik dan kerepok lekor di Bytes Cafe.

Selepas itu beliau dan rombongan akan meneruskan perjalanan menaiki bot TTI menuju ke Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam dan menunaikan solat maghrib.

Beliau kemudiannya meneruskan perjalanan sambil menikmati hidangan makan malam di atas bot dan menikmati panorama malam di persekitaran TTI.