Halaman

22 December 2012

Petanda awal BN bakal tawan Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kehadiran luar biasa di majlis Jamuan Rakyat 1 Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, sempena kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, hari ini, merupakan petanda awal Barisan Nasional (BN) menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, pada pilihan raya akan datang.


Dalam ucapannya, Timbalan Presiden Umno itu amat teruja dengan kehadiran yang begitu ramai walaupun dalam keadaan lebat sejak awal pagi, menandakan rakyat tempatan mula beralih sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Saya yakin kehadiran yang begitu ramai hari ini menandakan petanda awal ‘Gelombang Perubahan Ubah Manir’ akan dapat dicapai pada pilihan raya akan datang,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh lebih 20,000 orang yang hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerap datang ke negeri ini bagi melihat usaha-usaha dan program yang dilaksanakan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat di negeri ini.

“Kita mahu memastikan program dan projek berkenaan dapat memberi faedah yang maksima kepada rakyat. Kita mahu negeri Terengganu berubah wajah menjadi negeri yang maju,” katanya.

Beliau berkata, hasil penelitiannya didapati pemimpin Umno dan BN di negeri ini komited dalam melaksanakan tugas mereka dan bekerja bersungguh-sungguh bagi membantu penduduk negeri ini.