Halaman

20 December 2012

BPUNT lancar 'perang' dengan mereka yang pertahan amanat Presiden Pas

Oleh; Esah Abdullah

Biro Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) akan melancarkan ‘perang habis-habisan’ dengan mereka yang mempertahankan amanat yang dikeluarkan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (1981) sehingga ia ditarik balik.

Ketua Penerangan BPUNT, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jadikan ia suatu jihad demi memulih akidah dan persaudaraan di kalangan umat Islam.

“Saya menyeru seluruh rakyat negeri dan negara ini yang beragama Islam menolak ‘amanat’ itu dengan penuh kesedaran dan keinginan untuk melihat umat Islam kembali bertaut dan bersatu di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sehubungan itu katanya, enam pendekatan akan diambil berhubung isu berkenaan dengan mendesak secara berterusan Presiden PAS itu agar menarik balik amanatnya yang dibuat di Banggol Peradong kerana ia menghuru-harakan orang Islam dari segi akidah dan persaudaraan

Kedua; menggerakkan seluruh jentera Penerangan UMNO bahagian dan cawangan di negeri ini agar menjelaskan kepada rakyat perkara yang menyebabkan kesesatan umat Islam akibat amanat ini.

Ketiga; akan menyerahkan memorandum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin supaya bertindak sewajarnya terhadap amanat ini.

Keempat; menyokong usaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) agar ‘memerangi’ amanat yang memecah-belahkan umat Islam hingga ke beberapa negeri lain dan membuat penjelasan sewajarnya.

Kelima; mengeluarkan bahan-bahan bacaan dan tontonan kenapa amanat Dato’ Seri Abdul Hadi itu dianggap menyesatkan, mengeliru dan memporak-perandakan umat Islam di Terengganu dan beberapa negeri lain, termasuk di Kelantan, Kedah, Pahang dan beberapa negeri lain.

Keenam; bekerjasama dengan UMNO Pusat dan negeri-negeri bagi mendesak Dato’ Seri Abdul Hadi supaya menarik balik dan memohon maaf kepada mereka yang tersesat akibat amanatnya.

Beliau seterusnya melahirkan rasa kesal dengan sikap degil dan tidak endah Dato’ Seri Abdul Hadi kepada gesaan supaya memohon maaf dan menarik balik amatnya itu.