Halaman

22 December 2012

TPM lulus peruntukan RM4.9 juta untuk DUN Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sempena lawatan kerja ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, membawa ‘ole-ole’ berupa peruntukan sebanyak RM4.9 juta bagi membiayai projek pembangunan di kawasan berkenaan.



Daripada jumlah itu, RM2 juta akan digunakan bagi membaiki dan membaikpulih rumah penduduk di kawasan itu yang uzur. Manakala RM2.9 juta bakal digunakan bagi membiayai pelbagai projek kecil yang dirancang di kawasan berkenaan.


Dalam ucapannya di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata pihaknya prihatin dan komited dalam membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan.

“Kita mahu menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh masyarakat daripada pelbagai kategori seperti petani, peniaga, pengusaha industri kecil dan sederhana serta kakitangan awam dan swasta,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membeza-bezakan dalam pemberian bantuan dan subsidi kepada rakyat di mana semua pemohon yang layak akan menerima habuan masing-masing.

Katanya, kerajaan memberi bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik kerana mereka semua adalah warga negara ini.

Beliau berharap rakyat di kawasan DUN Manir akan terus memberi sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak program dan projek dapat dilaksanakan di kawasan itu.