Halaman

18 December 2012

Penyokong tegar Pas sokong BN

Oleh: Suriati Ali

“Dulu memang saya penyokong tegar Pas, tetapi kini kembali kepada Barisan Nasional (BN) selepas menyedari parti itu (Pas) tidak memberi apa-apa manfaat, sebaliknya hanya pandai menabur janji dan berceramah.

 “Sewaktu arwah ayah (Tahir Muda) sakit, wakil rakyat Manir, Dato’ Haji Harun Taib tidak pernah ziarah, sedangkan mereka berdua kawan baik ketika ayah masih sihat,” kata Pakcik Hassan Tahir, 69, dari Kampung Pulau Bahagia, Manir, Kuala Terengganu.

 Pakcik Hassan yang menghidap penyakit, diabetis, jantung dan darah tinggi bakal diziarahi Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebelum dijadualkan menemui rakyat di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Sabtu ini.

Katanya, mengenangkan sikap pemimpin Pas seperti itu dia dan ahli keluarganya tidak lagi berminat mengikuti aktiviti dan menyokong Pas walaupun ada jentera parti itu datang merayu undi .

 “Saya tidak akan berpatah balik memilih parti itu kerana menyedari segala kemudahan dan keselesaan yang dikecapi penduduk Manir sekarang ini adalah hasil daripada usaha pemimpin BN, bukannya wakil rakyat Pas.

“Kita sebagai penduduk kampung patut malu kerana lebih 26 tahun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dimenangi Pas,” katanya.

Pakcik Hassan turut memberitahu, hanya perasaan terharu dan gembira mampu digambarkan selepas mengetahui Tan Sri Muhyiddin mahu menziarahnya pada Sabtu ini.

“Pada awalnya, saya anggap berita yang disampaikan anak, Mohd Saiful Bahri, 29, tentang TPM mahu datang rumah, hanya gurauan.

“Namun selepas berita itu disahkan sendiri Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, barulah saya percaya..

“Saya anggap diri ini cukup bertuah kerana TPM sudi turun padang untuk menziarah sedangkan Wakil Rakyat di kawasan sendiri pun, tiada masa untuk berbuat demikian,” katanya.