Halaman

18 December 2012

‘Sentuhan’ TPM bakal jadi tonik BN rampas DUN Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sudah lima penggal kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berada di bawah kuasa pembangkang (Pas) menyebabkan ia jauh ketinggalan walaupun berada di pinggir bandar.

Tidak banyak perubahan berlaku di kawasan berkenaan walaupun ketika Pas memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, di mana wakil rakyatnya turut menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di zaman pemerintahan Pas.

Dalam beberapa siri lawatan di kawasan itu sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berjanji akan memberi tumpuan utama di Manir jika Barisan Nasional (BN) menang di situ pada pilihan raya umum akan datang.

Antara janji tersebut ialah menyediakan lebih banyak kediaman lebih selesa kepada penduduk tempatan dan penyediaan prasarana yang lebih baik kepada peniaga dan penghuni di situ.

Selama ini pemimpin Pas ‘lepas tangan’ dan tidak mengambil berat kebajikan penduduk di kawasan itu.

Setiap kali penduduk ditimpa musibah, pemimpin Umno dan BN yang datang dulu bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik.

Sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Manir pada 22 Disember ini, Umno akan melancarkan ‘Gelombang Kebangkitan DUN Manir’ yang bakal menjadi pencetus semangat kepada jentera parti bagi merebut semula DUN tersebut daripada tangan pembangkang.

Lebih 20,000 penduduk tempatan dijangka hadir pada majlis itu serta menghadiri Jamuan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata pihaknya amat mengharapkan ‘sentuhan’ Tan Sri Muhyiddin bagi membolehkan Umno dan BN menang di kawasan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerja dengan bersungguh-sungguh pada pilihan raya ini bagai memastikan kemenangan BN.

“Kita penuh yakin, pesanan dan amanat TYAB imbalan Perdana Menteri dan dengan kerjasama penuh yang diberikan YAB Menteri Besar, kita dapat menawan semula DUN Manir pada pilihan raya kali ini,” ujarnya penuh yakin.