Halaman

18 December 2012

Tiada laporan banjir di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Bilik Gerakan Bencana Banjir Terengganu belum menerima sebarang laporan banjir dan pemindahan  mangsa ke pusat pemindahan banjir di negeri ini, walaupun hujan lebat beserta angin kencang yang berterusan sejak malam tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, berkata pihaknya sentiasa bersiap-sedia pada sebarang kemungkinan sekiranya terdapat laporan kejadian banjir dan memerlukan bantuan pemindahan segera.

“Setakat ini, tiada laporan banjir dan semua pusat pemindahan yang bersedia untuk beroperasi bila-bila masa diperlukan juga masih kosong.

 “Sehingga tengahari ini, beberapa paras sungai di beberapa sungai utama negeri ini juga masih ditahap sederhana dan tidak berbahaya kepada penduduk sekitar,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Malah, daripada 21 stesen sukatan jumlah hujan harian seluruh Terengganu pula merekodkan hanya dua lokasi mengalami hujan sangat lebat melepasi 60 milimeter, masing-masing di Jambatan Jerangau, Dungun (74 mm) dan Pengkalan Berangan, Marang (67 mm).

Lain-lain kawasan yang disukat sejak 12 Disember lalu masih di tahap rendah dan sederhana.

Sementara Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan ribut petir dan hujan lebat di  Pahang (Rompin, Pekan dan Kuantan), Kelantan (Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Jeli dan Kuala Krai) dan Terengganu (Setiu, Kuala Terengganu dan Kemaman) dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.

Malah, keadaan cuaca yang sama juga dijangka berlaku di Perak (Hulu Perak), Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai Jaya dan Pontian), Pahang (Maran, Bera dan Jerantut), Kelantan (Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan Gua Musang) dan Terengganu ( Besut, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun).

Keadaan ini berkemungkinan menyebabkan angin kencang.

Manakala angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Pahang, Sabah (Pantai Barat dan Kudat), Wilayah Persekutuan, Labuan, Sarawak (Miri), Samui, Condore, Bunguran, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Jumaat ini ( 21 Disember).

Selain daripada itu, kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung Malaysia turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. Keadaan ini juga dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.

 Keadaan angin kencang dan laut bergelora juga membahayakan bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.