Halaman

17 December 2012

Warga emas gembira terima kunjungan

Oleh: Noraini Jusoh



Seorang warga emas di Kampung Gong Sentul melahirkan perasaan gembira menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said serta pemimpin setempat dan ketua-ketua jabatan yang lain.


Yusof @ Abd Rajab Muda, 68, berkata beliau begitu terharu apabila Dato’ Haji Abdul Rahin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu dan para sukarelawan sudi datang untuk bergotong royong mengecat rumahnya.
"Saya sangat gembira atas kunjungan ini dan terima kasih diucapkan kepada semua yang sudi hadir ke rumah saya yang serba kekurangan,” ujarnya ketika ditemui Teganukita di rumahnya pada program gotong royong ‘Titik Sentuhan’ baru-baru ini.

Aktiviti gotong royong yang diadakan bersempena Program Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia Janji Ditepati itu adalah anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Penerangan (Pengurusan), Tarmidzi Hashim; Pengarah Penerangan negeri, Azizah Awang dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Ismail Nik.

Selain sempat meluangkan sedikit masa mengecat rumah warga emas tersebut Dato’ Haji Abdul Rahin turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada Yusof yang telah kematian isteri dan tinggal berseorangan.

Yusuf yang mempunyai seorang anak yang sudah berkahwin dan tinggal berasingan dengannya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang cakna dan prihatin terhadap rakyat.