Kerajaan negeri telah meluluskan sejumlah RM45,000 untuk menceriakan bot penambang di seluruh negeri Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sumbangan tersebut dijangka akan diberikan sendiri oleh YAB Menteri Besar kepada pengusaha bot penambang pada awal Januari depan.
"Pemberian sumbangan ini bertujuan untuk membantu pengusaha bot penambang menghias dan mengecat semula bot bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.
"Justeru, permohonan RM1500 bagi setiap bot penambang telah diluluskan kerajaan negeri dan kira-kira 30 buah bot penambang yang akan menerima sumbangan ini nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Bantuan Nelayan Ihsan Samudera Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bertempat di Dewan Besar Bangunan Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, baru-baru ini.
Menurut Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, di DUN Seberang Takir sendiri sebanyak 24 buah bot penambang bakal menerima sumbangan tersebut.
Katanya, sudah menjadi matlamat kerajaan Barisan Nasional (BN) meringankan beban rakyat dan telah terbukti nasib golongan nelayan tidak pernah diabaikan melalui pelbagai bantuan yang telah disalurkan kepada mereka.