Pengumuman calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dilakukan pada waktu yang sesuai dengan mengambil kira isu strategik khususnya kelebihan kepada calon BN sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
"Ia akan sampai waktu di mana apabila Presiden (Umno) sudah membuat keputusan, maka mereka yang hendak jadi calon itu akan diberitahu, tetapi kita tidak boleh buat satu keputusan mengatakan sekarang masanya, apabila tiba waktu yang sesuai, ikut situasi, ikut keadaan dan ikut calon yang berkenaan.
“Kita kena ada satu pendirian yang akan strategik , bila Perdana Menteri hendak buat satu keputusan pun kena ada isu yang strategik. Apakah (dengan) mengumumkan lebih awal itu akan memberi kelebihan kepada kita atau hal-hal yang lain," katanya di sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi dan Profesional, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.
Tan Sri Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Umno Pahang yang meminta pucuk pimpinan supaya menimbangkan untuk mengumumkan nama calon BN lebih awal supaya gerak kerja kempen dapat dilaksanakan lebih teratur.
Katanya, apa yang lebih mustahak adalah semua pemimpin dan ahli parti Umno sebulat suara dan akur menerima keputusan senarai calon PRU13 itu nanti.