Halaman

20 December 2012

EPIC “Back To School 2013” kembali lagi

Kakitangan EPIC bersama pelajar sempena program Back To School 2013.

Teks dan Gambar oleh Nurul Aziela Mohd Saberi 

Sebelum memasuki alam persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad telah mengadakan program bersama pelajar yang kurang berkemampuan yang dikenali sebagai Back To School 2013.

Program ini yang merupakan kali ketiga sejak tahun 2009, melibatkan 40 orang pelajar sekolah rendah bersama guru-guru pengiring sekolah masing-masing.

Berbeza daripada program-program lain, program Back To School 2013 ini bukan sahaja berinisiatif untuk meringankan beban yang ditanggung ibu bapa pelajar berpendapatan rendah untuk membiayai keperluan anak mereka bagi menjejaki alam persekolahan, tetapi juga akan menghiburkan anak-anak dengan pelbagai aktiviti yang mungkin belum pernah mereka kecapi.


Antara aktiviti menarik yang dijalankan melalui program ini ialah membawa murid-murid melawat tapak operasi Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), menonton wayang, bermain bowling serta membeli belah barangan keperluan sekolah di Mesra Mall, Kemasik.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam EPIC Berhad, Encik Zamri Awang, di samping membantu mereka yang kurang berkemampuan, program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan syarikat dengan pelajar tersebut di mana kakitangan syarikat yang terpilih atau dikenali sebagai ‘Buddy’, diberi tugas untuk menjaga dan bermesra dengan pelajar berkenaan.

“Sepanjang program Back To School 2013 yang dijalankan pada tahun-tahun lepas, kami dapat melihat sendiri kegembiraan pelajar-pelajar ini dengan membawa mereka ke kompleks membeli-belah kerana ada sesetengahnya tidak pernah berpeluang untuk merasa begitu” katanya.

Turut turun padang bersama-sama memeriahkan program, Pengurus Besar Bahagian Pentadbiran Sumber Manusia dan Perolehan Syarikat, Tuan Haji Mohd Isa Mujani.