Halaman

16 December 2012

Kerajaan terima RM10 juta setahun dari Syarikat Possti

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bersetuju menyerahkan segala pengurusan Pusat Taman Ilmu di Besut kepada Syarikat Possti Sdn Bhd selama 40 tahun dengan bayaran RM10 juta setahun kepada kerajaan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, syarikat itu bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan semua aspek pengurusan Taman Ilmu.

“Taman ilmu akan meneruskan konsep mini program untuk universiti-universiti dari dalam dan luar negara seperti yang dirancang kerajaan dan pelaksanaan itu akan diteruskan oleh syarikat berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak ada keupayaan untuk mengurus pusat tersebut dan memilih sebuah syarikat berpengalaman untuk mengurusnya dan berdasarkan perjanjian keutamaan tetap diberikan kepada anak-anak tempatan untuk belajar di situ.

Segala kelengkapan infrastruktur di pusat berkenaan selama tempoh perjanjian itu akan diselenggara oleh syarikat berkenaan dan dilaksanakan mengikuti perancangan awal kerajaan negeri.

“Segala pembangunan yang ada sekarang akan diteruskan dan diurus oleh pihak syarikat dan ini meringankan bebanan kerajaan apabila pengurusan diambil alih oleh syarikat berkenaan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini sudah ada enam buah universiti dari luar negara telah bersetuju untuk membuka cawangan di taman berkenaan.

“Kita sedia maklum untuk menguruskan sesebuah pusat pendidikan tinggi ini bukan suatu perkara yang mudah dan kerajaan tidak mahu mengambil risiko dengan menyediakan peruntukan yang besar untuk mengurus segala keperluan di situ,” katanya.

Namun katanya, kerajaan tetap komited memantau dan mengambil pengajaran sepanjang tempoh perjanjian kerana selepas itu ia akan diserahkan kembali kepada kerajaan negeri.