Halaman

22 December 2012

Sikap cakna pemimpin Umno dorong ahli Pas masuk Umno

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Sikap cakna pemimpin Umno yang tidak jemu-jemu menghulur bantuan dan menjenguk penyokong tegar Pas, Hassan Tahir, 67, dari Kampung Pulau Bahagia, Manir, yang terlantar sakit sejak empat tahun lalu, mendorong beliau dan seisi keluarga keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.


Hassan berikrar mulai saat ini, dia dan semua ahli keluarganya akan memberi sokongan padu kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan ia dapat menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir.

Beliau menyifatkan dirinya amat bertuah kerana menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, hari ini.

“Hati saya amat tersentuh dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang sudi bertanya khabar saya dan keluarga.

"Sebelum ini tidak ada pemimpin Pas yang menjenguk dan bertanya khabar sejak saya terlantar sakit,” kata Hassan ketika ditemui selepas Tan Sri Muhyiddin menziarahinya di kediamannya di Kampung Pulau Bahagia.

Hassan berkata, dia merupakan penyokonng tegar Pas sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan menyertai pelbagai program dan ceramah yang dianjurkan parti tersebut.

“Saya sedar selama ini perjuangan saya dalam Pas sia-sia saja dan kebajikan saya tidak terjaga, terutama bila saya sakit.


Tidak ada pemimpin Pas yang datang dan beri bantuan. “Sebaliknya, pemimpin Umno pula yang mengambil berat soal kebajikan saya dan keluarga. Pak Yusof (Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam) sering datang melawat saya dan menghulurkan macam-macam bantuan,” katanya.

Sikap prihatin pemimpin Umno membuatkan Hassan terfikir berapa ruginya dia menyokong Pas, lalu membuat keputusan untuk menyokong Umno dan BN.

“Bila dapat tahu Timbalan Perdana Menteri akan melawat saya di rumah, saya rasa tersentuh lalu membuat keputusan untuk keluar Pas dan masuk Umno.

Saya minta isteri (Latifah Yusof, 66) dan semua lapan orang anak saya ikut jejak langkah saya,” katanya.

 Hassan kemudiannya menyerahkan borang keahlian Umno beliau, isteri dan semua anaknya kepada Tan Sri Muhyiddin sebelum Timbalan Perdana Menteri beredar dari rumahnya.