Halaman

18 December 2012

PDKT perkenal kaedah 'penarafan' ukur kejayaan JKKK

Oleh; Esah Abdullah


Pejabat Daerah Kuala Terengganu (PDKT) akan memperkenalkan satu kaedah ‘penarafan’ bagi mengukur tahap kehebatan sesebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mulai tahun depan.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail berkata, kaedah penarafan ini memberi penekanan terhadap tujuh kategori termasuklah dari segi keselamatan, kesihatan, pendidikan, kejiranan, komuniti, fizikal.

“Kita akan membuat pemarkahan melalui kategori berkenaan bagi menentukan sesebuah kampung itu mencapai tahap kemajuan sebenar,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan JKKK Daerah Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) semalam

Hadir sama Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) (PPD) Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh; PPD Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik; PPD Wakaf Mempelam Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah dan PPD Bukit Payong, Encik Zaidi Muda.

Katanya, satu pembengkelan akan diadakan pada 27 hingga 29 Disember ini bagi tujuan permarkahan terhadap 292 buah JKKK dalam daerah Kuala Terengganu yang telah mengisi borang yang diedarkan.

Menurutnya, setiap keluarga perlu mengisi satu borang biodata isi rumah dan melaluinya JKKK dinilai mengikut tujuh kategori,” katanya.

 “Kita ingin mewujudkan kampung ku rumah ku di mana semua anggota dalam komuniti itu mengambil tanggung jawab bersama terhadap keselamatan, kesihatan dan apa saja aktiviti serta saling menyayangi antara satu sama lain,” katanya.

Pada majlis berkenaan JKKK Bukit Wan telah dinobatkan sebagai JKKK Cemerlang 2012 manakala JKKK Gong Lingai (kedua), JKKK Jalan Tekukur (ketiga) dan JKKK Beladau Kepong (Keempat).

Tempat pertama menerima wang tunai RM5,000 beserta sijil, kedua RM3,000 ketiga RM2,000 dan tempat keempat RM1,000.

Manakala 23 daripada 292 JKKK lagi terpilih sebagai JKKK aktif sepanjang tahun dan masing-masing menerima wang tunai RM500 beserta sijil. Semua hadiah disampaikan oleh Haji Wan Nawawi.