Halaman

10 January 2013

Amaran ribut Sonamu tidak jejas promosi TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Amaran Ribut Sonamu yang dijangka melanda Terengganu sebelum ini tidak menjejaskan usaha promosi dan kempen Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 yang giat diatur kerajaan negeri sejak tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pihaknya tetap meneruskan segala perancangan yang digariskan bagi menjayakan TMT serta mencapai sasaran empat juta pelancong akan ke negeri itu sepanjang tempoh tahun ini.

“Walaupun dengan hebahan dan berita mengatakan ribut berkenaan akan melanda Terengganu dan menimbulkan ketakutan ramai, kerajaan negeri tetap meneruskan segala perancangan dan apa sahaja acara yang sudah diatur selagi ia tidak menjejaskan persiapan dan perjalanannya.

“Suasana panik (amaran ribut) itu sementara. Kadang-kadang lebih baik kita melihat dari sudut positif,” katanya kepada Teganukita, di pejabat beliau, hari ini.

Datuk Abdul Rahin berkata, tempahan penginapan dan pengangkutan daripada pelancong luar yang mahu keTerengganu sejak beberapa bulan lalu juga tidak terjejas dengan amaran ribut itu.

Katanya, hanya segelintir sahaja pelancong yang membatalkan tempahan yang dibuat dalam tempoh yang singkat dan secara `ad-hoc’ berikutan bimbang terhadap ancaman itu sekiranya mereka berada di negeri ini.

Menurutnya, sebaik sahaja amaran ribut itu dilaporkan tidak akan berlaku, kebanyakan pelancong yang menangguh percutian ke negeri ini mula menukar fikiran untuk meneruskan semula percutian ke sini.


Pas dibidas isu guna nama Allah

Oleh: Suriati Ali 

 Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat membidas tindakan pemimpin Pas yang membuat kenyataan bersama kepimpinan pakatan pembangkang lain bersetuju bahawa nama Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam di negara ini.

Katanya, pemimpin Pas tidak faham bahawa perlunya realiti masyarakat setempat sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan agama Islam, khususnya dalam isu pengunaan kalimah Allah.

 “Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan tanpa melihat realiti sebenar masyarakat negara ini dan tidak wajar menyamakan Malaysia dengan negara luar seperti Indonesia dan negara-negara Arab.

“Penggunaan nama Allah oleh penganut agama lain jelas menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat negara ini, selain bertentangan dengan Perlembangaan negara,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah di Dewan Orang Ramai, Kampung Maras, Kuala Terengganu, hari ini.

 Katanya, pemimpin Pas, terutama Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang berani mengeluarkan kenyataan berkaitan itu kerana mempunyai pelbagai agenda tersendiri, termasuk meraih sokongan pimpinan pembangkang bukan Islam.

“Mereka tidak sedar, apa yang diputarbelitkan itu memberi kesan buruk kepada masyarakat seagama selain menimbulkan isu perkauman.

“Dalam realiti masyarakat di Malaysia hari ini, nama Allah hanya boleh digunakan untuk agama Islam saja. Kita belum pernah dengar mana-mana penganut agama lain yang memanggil tuhan mereka dengan nama Allah.

“Sekiranya terdengar, masyarakat bukan Islam menyebut nama Allah dalam perbualan, perkara itu mungkin menjadi tabiat atau kebiasaan kerana gemar bergaul dengan masyarakat Islam,” katanya.

 

Prof Dr. Yahaya yakin mampu terajui UniSZA

Oleh: Noraini Jusoh

Prof Dr. Yahaya Ibrahim yang dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkuatkuasa 1 Januari lalu yakin mampu menerajui institusi terbabit dengan lebih dinamik.

Beliau yang merupakan mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysa Terengganu (UMT) percaya, berbekalkan pengalaman berkhidmat di UMT beliau dapat membawa suatu perubahan baharu kepada UniSZA.

"UniSZA telah lama bertapak dan usaha melakukan tranformasi bukan perkara yang mudah tanpa kerjasama semua pihak.

"Buat permulaan, saya akan berbincang dengan mereka yang terlibat bagi mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi serta mengenalpasti peluang yang boleh diterokai bagi memperkukuh imej universiti ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai majlis makan malam sempena menghargai jasa beliau kepada warga UMT yang dianjurkan universiti terbabit, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, apa yang berjaya beliau laksanakan di UMT akan dibawa ke UniSZA bagi menjayakan misi menjadikan UniSZA sebagai insitusi pendidikan terulung di negara ini.

"Pihak UMT juga telah membuka ruang untuk kita wujudkan kerjasama dan pihak kami akan gunakan ruang dan peluang yang diberi secara optimum,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan hubungan dua hala itu terus berkekalan dan warga UniSZA dapat memberikan kerjasama kepadanya dalam memastikan hala tuju universiti itu bergerak lancar dan seiring dengan matlamat kerajaan dalam memperkasa pendidikan negara.

 

Bantuan pakaian sekolah mampu ringan beban penerima

Oleh: Suriati Ali

 “Wang bantuan pakaian sekolah yang diterima ini cukup besar bagi saya dan suami kerana mampu meringankan beban, selain dapat menunaikan hajat anak kami.

 “Anak sulung dan kedua sudah lama berhajat untuk mengenakan pakaian baru bagi sesi persekolahan 2013, tetapi saya terpaksa tagguhkan dahulu untuk membelinya kerana kekurangan wang,” kata Mazlina Sapihi dari Kampung Bukit Chempaka, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

 Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah di Dewan Orang Ramai, Kampung Maras, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit.

Seramai 2,773 penerima membabitkan perutukan RM2,773 hadir menerima bantuan pakaian sekolah untuk anak masing-masing.

 Setiap keluarga hanya layak menerima RM100 atau RM200 saja iaitu masing-masing RM100 bagi pelajar sekolah menengah dan RM100 sekolah rendah.

 Puan Mazlina turut memberitahu, wang yang ada terpaksa digunakan untuk daktar anak ketiga masuk tadika dan beli pelbagai kelengkapan lain termasuk baju, beg sekolah.

 “Tiba cuti minggu nanti, saya akan tunaikan hajat anak kami itu untuk beli pakaian seragam, kasut dan beg sekolah baru walaupun rakan sebaya sudah lama memilkinya,” katanya.

 

Terima pandangan tambah baik perkhidmatan awam : SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersikap terbuka dan sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan pelbagai pihak bagi menambah baik sistem perkhidmatan awam negeri, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

 “Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan semua pihak bagi tujuan menambah baik sistem perkhidmatan dan juga pentadbiran negeri.

“Penambahbaikan itu juga seiring dengan perubahan sikap semua penjawat awam negeri ini supaya akhirnya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan berkata, semua penjawat awam juga harus menanam tekad baru di tahun 2013 yang baru bermula ini untuk membuang sikap yang boleh menjejaskan integriti, nilai dan etika kerja masing-masing.

Katanya, dalam usaha menambahbaik prestasi dan kecemerlangan bidang tugas, semua itu perlu didasari dengan aspek kemanusian yang mampu melengkapi kehidupan dan juga persekitaran walau di mana sahaja menjalankan tugas.

Beliau berkata, bagi mencapai tahap perkhidmatan awam yang bertaraf dunia, semua penjawat awam juga harus menyerapkan diri dengan ciri dinamik dan progresif serta tidak berada di takuk lama.

UMT dirombak bagi kecemerlangan pendidikan

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakukan rombakan secara menyeluruh bagi membolehkan institusi pendidikan itu terus cemerlang dan kekal unggul dalam sistem pendidikan negara.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, berkata pihaknya kini dalam proses menstruktur semula pengurusan dan pentadbiran UMT serta melakukan transformasi terhadap program-program yang ditawarkan di universiti tersebut.

"Buat masa sekarang, pihak pendaftar dan bendahari sedang sibuk menyusun semula pusat-pusat yang dapat menyokong aspek akademik, penyelidikan, infrastruktur dan tenaga pengajar supaya tenaga kerja di peringkat sokongan dapat memberikan sokongan kepada pengajaran dan pembelajaran dengan lebih efektif.

"Rombakan di peringkat pentadbiran dibuat bertujuan untuk memperkukuhkan sistem sokongan yang menjadi nadi kepada kelancaran pengurusan sesebuah institusi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas majlis penghargaan kepada mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Dato’ Dr Ibrahim berkata, pihaknya juga melakukan transformasi terhadap bidang akademik bagi meneliti semula keberkesanan program akademik yang ditawarkan di UMT.

"Program di peringkat diploma mahupun ijazah akan dikaji semula dan sekiranya bagus akan terus diperkukuh dan program yang tidak relevan akan dimansuh dan diperkenalkan program baru,” katanya.

Tambah beliau, UM T juga bakal memperkenalkan program di peringkat antarabangsa yang akan melibatkan tenaga pengajar dari luar negara bagi membawa institusi tersebut ke peringkat lebih tinggi.

 

Bantuan persekolahan RM100 akan dibayar minggu depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Bantuan persekolahan RM100 bagi setiap pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negara akan dibayar pada 15 Januari ini (minggu depan) bagi membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana menguruskan persekolahan anak masing-masing.

Ini merupakan kali kedua Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan khas kewangan bagi membantu rakyat, tanpa mengira ideologi dan fahaman politik, demi bagi membantu anak-anak di bangku sekolah.

Bagi tujuan tersebut Kerajaan Pusat akan membelanjakan RM540 juta bagi membiayai bantuan kepada 5.4 juta pelajar seluruh negara.

Tahun lalu, boleh dikatakan hampir kesemua pelajar yang layak mengambil bantuan tersebut di sekolah masing-masing, termasuk pelajar yang ibu bapa mereka memaki hamun dan mencaci pemimpin Kerajaan Pusat.

Malah, ibu bapa yang menjadi penyokong kuat pembangkang juga tidak segan silu untuk berjumpa dengan guru kelas anak masing-masing bagi mengambil bantuan tersebut.

Pemimpin Kerajaan Pusat, khususnya Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berfikir siang dan malam untuk merangka program-program yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Banyak sudah program yang diperkenalkan beliau sejak menerajui pentadbiran negara, teramsuk bantuan persekolahan sebanyak RM100 bagi setiap pelajar.

Sepatutnya rakyat negara ini berterima kasih kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya Perdana Menteri yang sentiasa prihatian terhadap nasib mereka, bukannya ‘mengigit tangan yang memberi’.

Islam sendiri menyarankan umatnya supaya bersyukur dengan nikmat dan rahman yang diberi oleh Allah kepada mereka dan berterima kasih kepada mereka yang memberi bantuan.


Primula sedia 30 menu istimewa sempena TMT

Menu istimewa tempatan yang disediakan pihak Primula Beach Resort Kuala Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.
Oleh; Esah Abdullah

 Primula Beach Hotel (PBH) Kuala Terengganu akan menyediakan lebih 30 menu istemewa tempatan sempena kempen Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT2013).

Pengurus Jualan dan Pemasaran PBH, Puan Tina Surinda Karim berkata, menu istimewa tersebut akan disajikan pada setiap hari Sabtu bagi sajian minum petang dengan menawarkan harga istimewa.

“Kita memperkenalkan menu istimewa Terengganu untuk dicuba para pelancong terutama yang menginap di sini dan mereka juga tidak perlu bersusah payah untuk mencari sajian ini di tempat lain,” katanya.

Menurutnya, menu yang disediakan termasuklah laksa, laksam, rojak betik, rojak katih, bekang telur, apam, ikan celup tepung, lompat tikam dan ketupat sotong.


 “Tidak ketinggalan menu wajib, nasi dagang dan keropok lekor serta pelbagai lagi hidangan masyarakat tempatan yang jarang ada dipasaran terbuka,” katanya.

Katanya, selain menikmati hidangan istimewa, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan tradisional negeri ini.

 

09 January 2013

Perpustakaan digital mudahkan pelajar UMT

Oleh: Noraini Jusoh

Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal menikmati kemudahan perpustakaan digital yang mungkin boleh digunakan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, berkata transformasi yang dibuat itu adalah untuk mewujudkan sistem ‘e-learning’ dengan lebih berkesan sekaligus memudahkan pelajar untuk membuat rujukan dan menyiapkan tugasan.

"Sekarang pelajar perlu ke perpustakaan untuk meminjam buku tetapi apabila siap kelak, mereka boleh gunakan kecanggihan teknologi dengan membuat urusan pinjaman buku secara dalam talian sahaja.

"Kerja-kerja pemindahan data manual kepada sistem digital sudah bermula dan semua pensyarah juga sedang menyiapkan modul pembelajaran untuk tujuan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai majlis penyampaian sumbangan wang zakat Bank Rakyat kepada anak-anak yatim sekitar UMT, di Masjid Kampung Mengabang Telipot, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, bagi melancarkan operasi pelaksanaannya, kemungkinan UMT akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta yang berminat untuk merealisasikan penubuhan perpustakaan digital tersebut.

 

DPPCT sertai kempen TMT

Oleh; Esah Abdullah

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (DPPCT) akan memperkenalkan tempat menarik, makanan tradisional dan budaya peranakan cina kepada pelancong bersempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT2013).

Pengerusi DPPCT, Dato’ Low Kian Chuan berkata, antara tempat yang akan ditonjolkan adalah kawasan Kampung Tiruk iaitu perkampungan yang didiami masyarakat cina sejak sekian lama dan Kampung Cina yang terletak dalam kawasan bandaraya Kuala Terengganu

Katanya, jika di bandingkan dengan negeri-negeri lain, Terengganu terlebih dahulu didatangi orang cina dan mempunyai pelbagai makanan yang istimewa tetapi kurang menonjol.

“Selain Kampung Cina, Kampung Tiruk turut didiami orang cina tetapi mengamalkan cara hidup seperti orang Melayu sehingga ada kalangan mereka yang boleh membaca dan menulis dalam tulisan jawi.

“Pelbagai makanan tradisional dan berbudaya peranakan cina seperti keropok ikan parang, roti paung dan pulut lepa juga perlu diperkenalkan kepada pelancong tempatan dan luar negara bersempena dengan TMT2013,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Majlis Makan Malam DPPCT ‘Tourism Resource Development Fund’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat DPPCT, Kuala terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, DPPCT merancang mengadakan majlis makan malam di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa pada 2 Februari ini yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Beliau juga menyarankan agar kerajaan negeri dapat menyediakan perkhidmatan penerbangan terus dari Singapura ke Terengganu bagi menggalakkan pelancong datang ke sini.

Katanya,sekarang pelancong dari negara tersebut perlu mendarat di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum datang ke Terengganu.