Halaman

10 January 2013

UMT dirombak bagi kecemerlangan pendidikan

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakukan rombakan secara menyeluruh bagi membolehkan institusi pendidikan itu terus cemerlang dan kekal unggul dalam sistem pendidikan negara.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, berkata pihaknya kini dalam proses menstruktur semula pengurusan dan pentadbiran UMT serta melakukan transformasi terhadap program-program yang ditawarkan di universiti tersebut.

"Buat masa sekarang, pihak pendaftar dan bendahari sedang sibuk menyusun semula pusat-pusat yang dapat menyokong aspek akademik, penyelidikan, infrastruktur dan tenaga pengajar supaya tenaga kerja di peringkat sokongan dapat memberikan sokongan kepada pengajaran dan pembelajaran dengan lebih efektif.

"Rombakan di peringkat pentadbiran dibuat bertujuan untuk memperkukuhkan sistem sokongan yang menjadi nadi kepada kelancaran pengurusan sesebuah institusi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas majlis penghargaan kepada mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Dato’ Dr Ibrahim berkata, pihaknya juga melakukan transformasi terhadap bidang akademik bagi meneliti semula keberkesanan program akademik yang ditawarkan di UMT.

"Program di peringkat diploma mahupun ijazah akan dikaji semula dan sekiranya bagus akan terus diperkukuh dan program yang tidak relevan akan dimansuh dan diperkenalkan program baru,” katanya.

Tambah beliau, UM T juga bakal memperkenalkan program di peringkat antarabangsa yang akan melibatkan tenaga pengajar dari luar negara bagi membawa institusi tersebut ke peringkat lebih tinggi.