Halaman

07 January 2013

TESDEC-UiTM tandatangan MoA tawar kursus perancang pelancongan kepada lepasan graduan

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menawarkan Kursus Perancang Pelancongan kepada lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) khususnya anak Terengganu.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Che Razali Adis yang mewakili TESDEC dan Rektor UiTM, Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi, mewakili UiTM.

Majlis menandatangani MoA itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Che Razali berkata, tawaran kursus jangka pendek selama sembilan bulan yang julung kali diadakan itu melibatkan 20 peserta pada peringkat awal yang terdiri daripada lepasan graduan dalam bidang berkaitan pelancongan di peringkat diploma mahupun ijazah.

"Peserta yang terpilih akan mengikuti kelas teori selama empat bulan di TESDEC dan menjalani latihan praktikal di majlis-majlis daerah atau agensi pelancongan selama lima bulan.

"Setiap pelatih turut diberikan elaun sara hidup sebanyak RM500 dan selepas menamatkan kursus ini mereka akan dianugerahkan sijil daripada UiTM,” ujarnya kepada sidang media selepas selesai majlis MoA tersebut di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej TESDEC, di sini.

Katanya, kursus ini diharap dapat membantu memberi nilai tambah kepada graduan terbabit dalam melengkapkan diri sebelum menceburi bidang pekerjaan yang sebenar.

"Penawaran kursus ini juga merupakan komitmen TESDEC dalam membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dan bersama-sama meningkatkan pembangunan dan tahap ekonomi rakyat di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Abdol Samad berkata, dengan kepakaran tenaga pengajar dari UiTM terutamanya dalam bidang pelancongan dapat melancarkan lagi proses pembelajaran para pelatih semasa mengikuti kursus ini.

"Program ini lebih kepada pendedahan bagaimana mahu menjadi seorang perancang pelancongan yang mampu mewujudkan satu persekitaran pelancongan serta membangunkan kawasan berkenaan dengan mengenalpasti prospek-prospek pelancongan yang boleh dikomersilkan,” katanya.

Menurut beliau, melalui kerjasama antara TESDEC dan UiTM ini, diharap dapat membantu siswazah yang belum mempunyai pekerjaan menonjolkan potensi diri sekaligus menyakinkan pihak berkaitan untuk mengambil mereka bekerja.