Halaman

06 January 2013

TV3 singkap kejayaan Bukit Wan dalam segmen 'Teganu Kita'

Oleh; Esah Abdullah


TV3 akan menyiarkan kejayaan Kampung Bukit Wan dari pelbagai sudut kepimpinan, pentadbiran, pendidikan, sumber kekayaan baru, produk , pertanian, ternakan serta aktiviti harian masyarakat dalam segmen Teganu Kita yang bersiaran setiap Khamis jam 6 petang.

Pengambaran telah bermula minggu lalu dengan menemubual Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)Haji Chek Harun Ismail.

Kampung Bukit Wan yang pernah menempa nama sebagai johan dalam Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung anjuran kerajaan Terengganu pada 2010, berada dalam lokasi DUN Batu Rakit serta Daerah Kuala Terengganu.

 Kampung tersebut telah mewakili Terengganu ke Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan 2012 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di mana keputusan bagi anugerah itu dijangka akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada penghujung bulan ini.

Rancangan berdurasi 30 minit itu yang menyingkap dan memaparkan kejayaan demi kejayaan yang dicapai sehingga dinobatkan sebagai johan akan keudara pada penghujung bulan ini dengan gabungan tiga penyampai, Nik Suryani Megat Deraman, Khairul Irwan Rosli (Ikhwan Hotfm) dan Engku Azmin Engku Zaini.