Halaman

08 January 2013

Musim `ikan lik' aktiviti riadah, tambah pendapatan

Oleh: Aida Abd Rahman

Musim tengkujuh yang lazimnya menyekat pelbagai aktiviti terutama kepada nelayan kecil mencari sumber laut bukan halangan kepada segelintir penduduk di Terengganu untuk menambah punca pendapatan.

Musim `ikan lik’ iaitu menghambat dan menangkap ikan yang bertelur di hulu sungai sebaik hujan pada musim tengkujuh antara Oktober hingga Januari , mungkin asing bagi segelintir penduduk, namun tidak bagi mereka yang tinggal berhampiran sungai di sekitar Setiu dan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Kelebihan fenomena alam itu digunakan sebaiknya oleh sekumpulan pemuda dari Kampung Pulau Sekati, Manir apabila mereka berkampung di Sungai Lawit, Tasik Kenyir, baru-baru ini untuk menjayakan program Pemantapan Kepimpinan Belia 4B (M) Cawangan Kampung Sekati sambil menjalankan aktiviti `ikan lik’.

Pengerusi Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Kampung Sekati, Encik Mohd Yassin Embong, berkata seramai 25 ahli persatuan yang menyertai aktiviti itu berjaya menaikkan lebih 50 kilogram pelbagai spesies ikan sungai seperti ikan lampan, baung, sebarau dan toman.

“Aktiviti memancing di Tasik Kenyir bukan asing kepada kami. Malah, setiap tahun kami ke Tasik Kenyir untuk aktiviti riadah sambil berkumpul bersama rakan dan belia kampung ketika cuaca baik.

“Bagaimanapun, aktiviti ikan lik pertama kali kami dapat lakukan dan ternyata ia pengalaman menyeronokkan dan sukar ditemui di tempat lain," katanya.

Katanya, kebanyakan penduduk yang tinggal berhampiran sungai menjadikan ia sebagai sumber pendapatan sampingan pada musim tengkujuh, bagaimanapun hasil tangkapan yang diperolehi ketika itu diagihkan sesama mereka untuk dijadikan menu utama sebaik pulang ke rumah masing-masing.