Halaman

11 January 2013

PPNT bantu promosi TMT 2013

Oleh: Suriati Ali

Pelbagai pihak giat menyusun strategi bagi memastikan sasaran peningkatan 20 peratus setahun kadar pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 mampu direalisasikan.

 Kesempatan itu turut diambil Persatuan Permotoran Negeri Terengganu (PPNT) dengan diketuai presidennya, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin menganjurkan Konvoi Muhibah TMT 2013 di puluhan destinasi menarik di Johor.

 Majlis pelepasan konvoi itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato' Haji Abdul Rahin Mohd Said bersama Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Mohd Adzlan Dagang di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Sebaik tiba dilokasi yang disasarkan, termasuk Legoland Malaysia, Restoran Banafe Village, Restoran Selasih Puteri Pan Pacific dan Puteri Harbour Family, Tengku Sri Temenggong Raja akan menampal pelekat logo TMT 2013.

 Langkah itu sebagai tanda simbolik memberitahu orang ramai mengenai keistimewaan TMT 2013 yang menyajikan puluhan acara menarik dan lokasi istimewa yang patut dilawati apabila pengunjung tiba di Terengganu.

 TMT 2013 yang mensasarkan kehadiran empat juta pelancong menyajikan pelbagai program menarik yang bermula dengan karnival 1Malaysia pada Januari, kemudiannya disusuli dengan Le Tour De Langkawi 2013 yang melibatkan seluruh daerah di negeri ini pada Februari hingga Mac.

 Acara lain, International Terengganu Starhill 4X4 Challenge 2013 (pinggiran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak), Kenyir Lake International Triathlon 2013 di pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dan Cabaran Reka Cipta Islam dan Perasmian Kincir Air Taman Tamadun Islam sepanjang Mac.

 Kemudiannya pada April akan berlangsung Bidong Underwater & Land Challenge (Pulau Bidong), Petronas Cub Prix (Kompleks Sukan Gong Badak), Boat On The Road (Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir), Terengganu World Invitational Jetrace Chellenge 2013 (Pantai Batu Buruk) dan Kapas-Marang International Swimathon 2013 (Pantai Kelulut, Marang).

 Bagi melancarkan perjalanan hampir 450 kilometer dari Terengganu ke Johor itu, PPNT turut mendapat bantuan Kelab Radio Amatur Skuad 99, sebagai penyelaras komunikasi dua hala (walkie-talkie) di sepanjang konvoi berlangsung.

 Dato’ Abdul Rahin,berkata langkah PPNT mempromosi TMT 2013 wajar dipuji kerana bukan saja mampu merapatkan hubungan silaturahim antara ahli malah paling istimewa dapat memperkenalkan destinasi dan acara menarik yang disajikan kerajaan negeri.

 “Pihaknya sangat mengalukan-alukannya dan berharap ada pihak lain, termasuk agensi swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan, persatuan dan kelab di pelbagai daerah bersama-sama tampil mempromosi TMT 2013 

Menurutnya, jumlah kedatangan pelancong dan kemeriahan penganjuran pelbagai program tarikan pelawat tidak hanya tertumpu pada TMT 2013 sahaja, sebaliknya akan berterusan pada tahun-tahun seterusnya memandangkan sektor itu menjadi tulang belakang ekonomi negeri.

 “Untuk rekod, sejumlah 3.8 juta pelancong mengunjungi Terengganu pada 2011, manakala 3.9 juta pelancong melawat Terengganu pada tahun lalu,” katanya.