Halaman

08 January 2013

UMNO TERENGGANU SIAP SIAGA UNTUK PRU 13

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Umno Terengganu telah siap siaga untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU 13), kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT), Dato’ Tengku Putera Awang.

Beliau menyatakan demikian kepada Teganukita dengan kedudukan tahap siaga itu 85 peratus.

Pada masa ini katanya, kita mempunyai jentera di 1,092 cawangan, 342 Pusat Daerah Mengundi (PDM), 8 Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jentera di semua peringkat itu sudah siap siaga untuk memastikan Barisan Nasional mendapat mandat berterusan dari rakyat,” katanya.

Katanya, perpaduan dalam parti juga telah berada pada tahap yang cukup baik dan pembangkang jangan mengharapkan untuk menangguk kesempatan dengan mengharapkan perpecahan dalaman parti Umno.

Beliau menyedari bahawa peranan pengundi muda adalah penting dan Pergerakan Pemuda dan Puteri telah memainkan peranan yang cukup berkesan, tegasnya.

Apa yang penting katanya, ahli dan penyokong Umno di semua peringkat hendaklah dipastikan keluar mengundi apabila tiba masanya dan tidak sia-siakan kuasa yang ada dalam menentukan masa depan bangsa dan negara.

“Berdasarkan simulasi pengundian dan perujian ke atas jentera parti, kita amat berpuas-hati dan ini diperakui sendiri oleh pihak Umno pusat terhadap tahap kesiapsiagaan kita,” ujarnya.