Halaman

10 January 2013

Amaran ribut Sonamu tidak jejas promosi TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Amaran Ribut Sonamu yang dijangka melanda Terengganu sebelum ini tidak menjejaskan usaha promosi dan kempen Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 yang giat diatur kerajaan negeri sejak tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pihaknya tetap meneruskan segala perancangan yang digariskan bagi menjayakan TMT serta mencapai sasaran empat juta pelancong akan ke negeri itu sepanjang tempoh tahun ini.

“Walaupun dengan hebahan dan berita mengatakan ribut berkenaan akan melanda Terengganu dan menimbulkan ketakutan ramai, kerajaan negeri tetap meneruskan segala perancangan dan apa sahaja acara yang sudah diatur selagi ia tidak menjejaskan persiapan dan perjalanannya.

“Suasana panik (amaran ribut) itu sementara. Kadang-kadang lebih baik kita melihat dari sudut positif,” katanya kepada Teganukita, di pejabat beliau, hari ini.

Datuk Abdul Rahin berkata, tempahan penginapan dan pengangkutan daripada pelancong luar yang mahu keTerengganu sejak beberapa bulan lalu juga tidak terjejas dengan amaran ribut itu.

Katanya, hanya segelintir sahaja pelancong yang membatalkan tempahan yang dibuat dalam tempoh yang singkat dan secara `ad-hoc’ berikutan bimbang terhadap ancaman itu sekiranya mereka berada di negeri ini.

Menurutnya, sebaik sahaja amaran ribut itu dilaporkan tidak akan berlaku, kebanyakan pelancong yang menangguh percutian ke negeri ini mula menukar fikiran untuk meneruskan semula percutian ke sini.